Anak adalah satu anugerah buat Mama dan Papa. Oleh itu, setiap ibu bapa mesti impikan anak sendiri.
Puan Najhah Yusof kongsikan pengalaman rawatan beliau setelah 9 tahun mencuba dapatkan zuriat. Beliau mendapat idea untuk berdaftar dengan hospital kerajaan untuk cuba rawatan IVF (In Vitro Fertilisation) dan alhamdulilah, beliau dikurniakan seorang anak.
“Selama 9 tahun mencuba, alhamdulilah ini adalah pertama kali saya berjaya,”
ujar Puan Najhah.
Beliau memindahkan dua embrio, tetapi hanya satu sahaja yang melekat. Kemudian, anak pertamanya selamat dilahirkan. Dengan kelahiran secara Elective Cesarean, berat anak Puan Najhah ialah 3.88kg.
Perjalanan dan Proses Rawatan IVF di Hospital Kerajaan
Mula berdaftar pada 2019 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, dan pickup ovum pada September 2020. Mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak hospital, sepatutnya janji temu Puan Najhah adalah pada bulan Mac 2020, tetapi akibat pandemik, ia terpaksa ditunda ke September 2020.
Untuk kos rawatan pula, ia adalah kurang daripada RM5,000. Mama jangan risau, menurut Puan Najhah, beliau memaklumkan bahawa beliau juga tidak mempunyai simpanan khas untuk rawatan ini, dan tidak juga membayarnya sekaligus. Pihak hospital membenarkan mereka yang mendapatkan rawatan untuk membayar secara ansuran dan berperingkat.
Sewaktu OPU (Oocyte Pick Up), doktor dapat pickup sebanyak 6 telur. Kemudian, selepas disenyawakan, hanya 5 telur sahaja yang bertahan. Pada hari ketiga pula, dua embrio dipindahkan, dimana satu menempel dan tiga dalam simpanan.
Aktiviti yang Dilakukan Sebelum OPU & Sebelum Pemindahan
Puan Najhah turut kongsikan cara dan aktiviti yang dilakukannya sebelum OPU.
Sepanjang dua minggu, Puan Najhah menjaga emosinya. Sebelum membuat rawatan OPU, beliau tenangkan diri dengan pergi ke pantai dan air terjun, untuk merehatkan minda. Selain itu, Puan Najhah selalu ketawa dan tidak memikirkan hal-hal yang boleh mengakibatkan stres.
Selain daripada itu, Puan Najhah juga menjaga pemakanan seperti dinasihatkan doktor untuk memiliki saiz telur yang cantik. Kemudian, sebelum pemindahan, Puan Najhah juga banyak melakukan me time seperti pergi ke spa, mengurut, dan bercuti.
Akhirnya, selepas pemindahan dan menunggu keputusan selama dua minggu, beliau hanya menjaga pemakanan, berehat di atas katil, bergerak secara perlahan-lahan dan solat secara duduk di atas kerusi. Family support juga penting dalam keadaan ini dan mak dan kakak beliau sentiasa datang menghiburkan hari Puan Najhah.
Berserah kepada Tuhan juga amat penting. Sepanjang dua minggu, beliau melakukan solat hajat 1/3 malam untuk meminta keberkatan dan meminta bantuan pada yang Maha Esa.
Nasihat terakhir Puan Najhah adalah, jika anda mahu mendapatkan rawatan, cuba pergi dan daftar dahulu. Usah gelisah dengan tunggu giliran, leceh dan prosedur lambat. Rawatan di swasta amat tinggi sehingga beliau berhenti daripada membuat apa-apa rawatan. Dan akhirnya, beliau membuat keputusan untuk cuba di hospital kerajaan.
Prosedur IVF di Hospital Kerajaan
Mengikut pengalaman Puan Najhah, beliau mula berdaftar pada 2019 dan transfer pada November 2021. Disebabkan pandemik, masa mengambil lebih lama untuk teruskan prosedur.
1. Daftar
Boleh daftar di mana-mana klinik kesihatan ataupun klinik pesakit luar. Bagi prosedur IVF, hospital kerajaan menerima individu yang tidak pernah mempunyai anak.
2. Janji temu bersama Doktor
Lepas pendaftaran, anda akan berjumpa bersama doktor untuk menetapkan janji temu seperti ujian darah bagi isteri dan ujian air mani bagi suami. Disertakan juga dengan pemeriksaan yang lain untuk mengenal pasti masalah.
3. Kenalpasti Masalah
Setelah mengenalpasti masalah dan bergantung kepada individu tersebut, proses IUI (Intrauterine Insemination) akan bermula dan akan dilakukan maksimum sebanyak 3 kali. Jika tidak berjaya, barulah doktor akan memulakan kaedah IVF.
4. Tempoh Menunggu
Untuk Puan Najhah, tiada masa yang ditetapkan. Ia bergantung kepada keadaaan masalah individu, umur dan jumlah pesakit yang berdaftar. Walau bagaimanapun, untuk individu yang usianya lebih lanjut, proses mungkin dipercepatkan. Oleh sebab itu, lebih baik berdaftar dengan lebih awal.
5. Membuat Temu Janji
Tarikh temu janji akan diberikan beberapa minggu sebelum dan mudah untuk merancang masa anda yang duduk lebih jauh dari hospital. Pastikan anda mengambil cuti sebelum tarikh janji temu yang ditetapkan. Tempoh masa janji temu tersebut adalah setengah hari sahaja untuk berjumpa dengan doktor.
Nasihat Puan Najhah
Puan Najhah menasihatkan kepada mereka yang sedang mencuba, jangan berputus asa dan jangan pernah jemu berdoa pada yang Maha Esa.
Banyak yang telah dikongsikan oleh Puan Najhah Yusof tentang pengalaman beliau membuat rawatan di hospital kerajaan. Untuk maklumat lanjut tentang kaedah IVF, boleh klik disini.