KelabMama

DOKTOR INI KONGSI KISAH IBU HAMIL DEGIL DAPATKAN RAWATAN UNTUK DENGGI YANG KRITIKAL

Umum mengetahui bagaimana bahayanya penyakit demam denggi, angkara nyamuk aedes. Tak kira peringkat usia, jantina, mahupun tahap kesihatan, demam denggi boleh menjadi semakin teruk dan membawa maut.

Bagaimana pula kalau berlaku ke atas ibu mengandung? 

Mama, demam denggi sangat BAHAYA untuk ibu-ibu yang mengandung. Virus kecil ini boleh merebak melalui plasenta ibu dan mejangkiti bayi di dalam kandungan. Jadi, janin yang berada dalam kandungan ibu juga boleh dijangkiti, memudaratkan serta meragut nyawanya.

Meskipun bayi itu mungkin bernasib baik dan selamat dilahirkan, risiko bayi dilahirkan secara pramatang atau dengan berat lahir yang rendah adalah sangat tinggi. 

Kalau berlaku simptom-simptom seperti di bawah, Mama harus terus dapatkan rawatan doktor!

Namun, dalam zaman moden ini, jangan terkejut kalau masih ada antara kita yang masih tidak mempercayai rawatan yang bakal diberikan. Ikuti kisah yang dikongsi Doktor Sakinah Sulong mengenai pengalaman beliau berhadapan dengan ibu hamil yang dijangkiti denggi. 

HANYA KERANA AEDES

Bila saya jumpa dia, saya bersyukur. 
Inilah pesakit yang buat kami di klinik dan hospital tak tidur malam. Syukur sangat bila dia selamat.

Dr Sakinah, pls make sure pesakit ni dipantau. Kalau berlaku kematian, u kena jawab nanti.

Saya terima mesej berkenaan daripada boss saya di satu pagi hari minggu. Saya tiada di JB, sedang berkursus di Melaka.

Sejurus sebelum itu, saya dapat panggilan daripada sahabat saya, doktor pakar dari HSA memberitahu tentang ibu hamil berkenaan yang tak nak masuk ICU! Dia berkeras untuk pulang ke rumah walaupun sedang mengalami demam denggi kritikal. 

Datang HO, MO hatta pakar bagi nasihat semuanya dia tak nak dengar. Menjerit-jerit, menangis-nangis nak pulang. Biar mati di rumah, katanya. 
Doktor di hospital akur tiada pilihan.

Kami di klinik kesihatan diberitahu melalui telefon berkenaan ibu ini supaya dapat memantau keadaan beliau sebaik beliau pulang.

Denggi semasa mengandung memang bahaya. Ia dianggap satu masalah kecemasan kerana ia mampu membawa maut kepada ibu. Paras Platelet, ALT, Bicarbonate semuanya perlu dipantau. Ibu perlu dimasukkan ke wad.

Denggi juga boleh bawa maut kepada bayi dalam kandungan. Stillbirth meningkat 7 kali ganda!
Ada juga kandungan yang selamat tapi berakhir dengan kelahiran pramatang.

Malam tu, Pegawai Perubatan saya beserta 2 jururawat beruniform biru, saya minta ke rumah pesakit. Tujuan utama, untuk melihat keadaan pesakit dan memujuk beliau kembali ke hospital. Mereka tiba jam 8 malam di rumah pesakit. Dah ready untuk mengangkut pesakit dengan ambulan kalau-kalau dia collapse!

PATIENT MASIH BERDEGIL UNTUK DAPATKAN RAWATAN

Macam-macam jururawat saya pujuk. Mula-mula mereka bagaikan putus asa tapi mereka tahu nyawa ibu ni di ambang bahaya. Mereka usaha lagi.

Bos, patient tak nak masuk jugak bos.

Dr saya memberitahu melalui telefon. Macam nak menjerit saya. Rasa-rasa macam nak terbang ke rumah pesakit itu. Mereka cuba lagi. Pukul 11 malam baru mereka berjaya. Berjaya memujuk pesakit ini untuk kembali ke hospital.

Dipendekkan cerita, banyak yang berlaku malam itu. Saya dan jururawat saya tak mampu tidur lena sampai jam 2 pagi. Bila suaminya menghubungi kami beritahu yang isterinya dah selamat masuk ke ICU, barulah saya dapat lelapkan mata dengan tenang. Alhamdulillah!

Saya puji jururawat dan Pegawai Perubatan saya. Mereka yang berusaha bagai nak rak untuk pujuk pesakit itu. Dan memang tindakan kami memang tepat pada masa.

Ibu tersebut dah mengalami pleural effusion dan severe metabolic acidosis. Air sudah masuk peparu, dia sudah sesak nafas dalam perjalanan ke hospital.

Berhari-hari juga dia di ICU. Kami tak putus-putus berdoa agar ibu ini selamat. Bila akhirnya beliau stabil dan dibenarkan pulang, barulah kami tarik nafas lega.

ALLAH MASIH PANJANGKAN USIA

Puan tahu, puan masa tu hampir mati?

Itulah pertanyaan saya bila saya jumpa dia di klinik. Hampir nak menangis saya tengok badannya yang lebam-lebam. Memang Allah panjangkan lagi usianya. Lebam itu tandanya platelet sudah terlampau rendah menyebabkan pendarahan mudah berlaku.

Jangan main-main angkara nyamuk Aedes yang kecil ini. Akibatnya memang mampu bawa maut. Dan andaikata Dr menasihatkan ibu-ibu masuk wad untuk tujuan pemantauan dan rawatan, berilah kerjasama.

Yang kami nak jaga ialah NYAWA anda dan bayi anda.

Untuk ibu-ibu yang masih hamil, kalau demam sikit jangan anggap itu perkara biasa sahaja. Segera dapatkan rawatan pakar dan beri kerjasama jika doktor sudah nasihatkan anda. Jangan berdegil!