Sebelum ini, Mama Siti telah kongsikan panduan bagaimana Mama boleh menunaikan solat ketika mengalami kontraksi. Kali ini, Mama Siti akan berkongsi pula mengenai hukum solat sebelum bersalin kerana ada sesetengah Mama yang mungkin ragu-ragu mengenai kedudukan solat mereka semasa kontraksi bermula.
Sebenarnya, walaupun Mama berada dalam situasi sukar, kewajipan solat masih kekal, dan Islam memberikan kelonggaran untuk Mama melaksanakannya mengikut kemampuan.
Jadi, Mama Siti akan menjelaskan lebih lanjut tentang hukum solat sebelum bersalin supaya Mama tidak keliru dan lebih mudah untuk memahami hukumnya.
Info ini bukan untuk Mama sahaja, Papa pun boleh ambil perhatian dan bantu Mama untuk menunaikan solat dalam saat-saat penting ini.
Kelonggaran dan Hukum Solat Sebelum Bersalin
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dikategorikan sebagai darah fasad (rosak), yang hukumnya sama seperti darah istihadhah. Oleh itu, Mama tetap diwajibkan untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur.
Namun, jika darah ini bersambung dengan darah haid yang sebelumnya dan memenuhi syarat-syarat haid, maka ia dianggap sebagai darah haid.
Sementara itu, air ketuban yang keluar sebelum bersalin dikategorikan sebagai najis dan boleh membatalkan wuduk.
Jadi, Mama yang mengalami keadaan ini perlu bersuci dan kemudian menunaikan solat setelah air ketuban berhenti keluar. Namun, jika air ketuban keluar secara berterusan, ia dianggap seperti darah istihadhah.
Bagi Mama yang mengalami keadaan istihadhah seperti ini, ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum solat, seperti yang dijelaskan sebelumnya (membersihkan dan menyumbat faraj, membalut dengan kain, dan mengambil wuduk).
Mama jangan risau, sekiranya Mama dalam kesakitan hendak bersalin sehingga tidak mampu menunaikan solat secara normal, Mama boleh solat mengikut kemampuan – sama ada secara duduk, berbaring di lambung kanan, terlentang, atau menggunakan isyarat mata.
Namun, jika Mama masih tidak mampu bersolat, Mama wajib ke untuk menqada’ solat Mama selepas bersalin.
Langkah Wajib Sebelum Menunaikan Solat
- Membersihkan faraj: Mama perlu membasuh bahagian faraj terlebih dahulu untuk memastikan kebersihan sebelum solat.
- Menyumbat dengan kapas atau seumpamanya: Faraj harus disumbat dengan kapas atau bahan seumpamanya bagi mengelakkan darah daripada menitis keluar semasa solat.
- Membalut dengan kain atau bahan yang sesuai: Setelah itu, bahagian faraj perlu dibalut dengan kain atau bahan yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar untuk memastikan kebersihan dan kesucian.
- Berwuduk atau bertayammum: Akhir sekali, pastikan diri bersuci dengan berwuduk atau bertayammum, mengikut keadaan yang sesuai, sebelum menunaikan solat.
Bersalin tidak bermakna perlu meninggalkan solat, sebaliknya ia adalah peluang untuk beribadah mengikut kemampuan dan menerima keringanan yang ditetapkan.
Mama yang melalui proses bersalin diberikan kelonggaran dan kemudahan dalam menunaikan solat, kerana Islam sangat memahami keadaan dan kesukaran yang dihadapi.
Dengan memahami hukum solat sebelum bersalin serta kaedah mengurangkan keraguan dalam situasi seperti darah dan air ketuban, Mama boleh lebih tenang dan fokus pada proses kelahiran sambil menunaikan kewajipan ibadah.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada Mama dalam menjaga kesucian solat dan memberi kekuatan dalam menghadapi saat-saat yang mencabar ini. Papa juga boleh take note dan tolong Mama untuk memudahkan Mama solat.
Apa posisi yang sesuai untuk Mama tidur selepas C-Section? Klik di SINI.