KelabMama

7 Konsep Hiasan Dalaman Rumah Paling Menjadi Kegilaan Pencinta Deko Tahun Ini

Menghias ialah soal berani. Gaya orang tak sama dengan gaya kita. Apa yang kita suka belum tentu diminati oleh orang lain. 

Rumah ialah tempat paling selesa untuk menjadi diri sendiri. Mungkin elemen nostalgik mengingatkan Mama tentang memori sesuatu kisah. Mungkin juga Mama ingin sesuatu yang lebih ringkas seperti gaya minimalis.

Idea-idea hiasan dalaman rumah yang Mama Siti kongsikan sesuai untuk rumah flat, rumah teres mahupun rumah banglo. Kalau pandai sesuaikan, boleh juga diaplikasikan di rumah kampung.

Idea-Idea Hiasan Dalaman Rumah

#1 Perabot Melengkung

Kredit gambar: sanhdecor.vn

Para saintis dan pereka hiasan rumah mendapati permukaan lembut bulat lebih menyenangkan dan selesa.

Kata mereka perabot jenis melengkung membangkitkan perasaan primal iaitu fitrah manusia yang telah wujud sejak zaman dahulu.

#2 Hiaskan Rak

Kredit gambar: Shopee

Ulat buku mesti suka idea hiasan dalaman rumah yang satu ini. Tambahkan hiasan di rak buku dengan meletakkan lukisan, radio atau sconce. Barulah ruang bilik atau ruang bacaan Mama nampak lebih ‘hidup’.

#3 Hitam Bergaya

Kredit gambar: dekoruma.com

Jangan takut mencuba. Warna hitam buatkan ruang dalam rumah kita jadi lebih elegen. Ditambah pula dengan perabot eklektik menonjolkan lagi elemen misteri ruang tersebut. 

Nota: Eklektik ialah gabungan gaya dan motif yang berbeza untuk mencipta estetika yang unik.

#4 Ceriakan Laluan Masuk

Kredit gambar: arsitag.com

Jadikan meja konsol sebagai penyambut ketika Mama membuka pintu rumah. Letakkan meja konsol berhampiran dengan pintu masuk. Serikan lagi dengan hiasan bingkai gambar bercorak abstrak atau cermin. 

#5 Permaidani Berlapis-Lapis

Kredit gambar: apartmenttherapy.com

Lapiskan lantai dengan permaidani yang berbagai saiz, warna dan tekstur. Padankan permaidani dengan corak dan konsep hiasan dalaman rumah. 

#6 Alas Duduk di Lantai

Kredit gambar: hipwee.com

Lari dari kebiasaan. Sediakan alas duduk dan tempat berehat di lantai iaitu dengan menggunakan bantal dan kerusi beg pasir. 

Percayalah, Mama akan rasa lebih rileks dan nyaman berehat sambil menonton televisyen dan minum petang.

#7 Langsir Warna Kontra

Kredit gambar: Pinterest

Gayakan langsir warna kontra dengan dinding di rumah Mama. Contohnya, gantungkan langsir warna kuning di ruangan yang bercat biru gelap. 

Katakan tidak pada pintu sebaliknya pilihlah langsir sebagai ganti di pembahagi rumah antara ruang tamu dan dapur.

Tema dan Konsep Paling Popular di Malaysia

1. Scandinavian– Minimalis Moden

Kredit gambar: home-designing.com

Konsep minimalis mengetengahkan warna-warna pastel seperti firus dan ungu lembut. 

Perincian perabot, di bahagian dinding dan lantai menggunakan elemen kayu atau warna seakan-akan sama. Manakala serlahkan hiasan dalaman rumah dengan perincian pasu, bingkai gambar, lampu meja dan sofa. 

2. Moden Kontemporari

Warna asas bagi tema ini ialah bertona putih dan hitam dan diikuti dengan warna-warna lain sebagai warna sekunder dan tertier.

Perabotnya diperbuat dari besi, cermin dan kayu. Begitu juga dengan panel pemisah yang berwarna kayu dan bentuk geometrik.

Inilah gaya sofistikated dan paling terkini di tahun 2022.

3. Nostalgik (Antik)

Kredit gambar: Freepik

Perabot dan barang dalam ini bebas dipilih berdasarkan minat Mama. Boleh jadi itu gramophone saking sukanya Mama pada kenangan memutarkan lagu di piring hitam. 

Hiasan dinding konsep antik sering digantungkan saji mengkuang, kipas dan lain-lain lagi yang menggamit memori.

4. Ala Kampung

Nampaknya hiasan dalaman rumah zaman dahulu kembali diminati rakyat Malaysia. Di Sabak Bernam ada satu rumah rehat (homestay) yang mengangkat konsep ala kampung. 

Omah Liren ialah nama yang diberikan kepada homestay tersebut. 

Dinding dan lantai kayunya serta kemasan di tangga dan pintu menggunakan kayu. Jenis kayu paling populer ialah kayu jati.

Hiasannya pula banyak yang menggunakan almari lama kayu dan meja cermin klasik. 

5. Gaya Industri

Hiasan dalam rumah yang semakin mendapat tempat dalam rumah-rumah di Malaysia. Konsep ini lebih praktikal dan fleksibel kerana tidak ada peraturan dalam penyusunan perabot. 

Ianya memainkan elemen cahaya, dekorasi dan perabot. Tidak banyak kosmetik yang diperlukan. Gaya industri mementingkan fungsi berbanding kemasan.

Hiasan dalaman di ruang tamu, bahagian pintu masuk dan ruang makan memberi kesan berbeza pada mood seseorang.

Kadang-kala minat kita jauh berbeza dengan orang lain. Tidak mengapa, asalkan Mama bahagia itu sudah cukup.

Kepelbagaian idea hiasan dalaman rumah mampu dihasilkan walaupun dengan pemilihan jenis perabot, warna cat serta alas duduk.

Mama tak perlu takut untuk bereksperimen. Cuba sahaja mana-mana idea yang diminati dengan berani. Rumah Mama, gaya Mama. Jom baca tentang pokok hiasan luar rumah pula!


Dapatkan rumah idaman Mama dengan pelbagai tips dan inspirasi dekorasi DI SINI.