Ha, mama selalu ke bawa anak ke taman permainan? Petang-petang saja kalau tak ada aktiviti nak dibuat terus bawa anak jalan-jalan di taman. Main buaian, gelongsor, jongkang-jongket, palang besi dan sebagainya. Dah puas main, mama dan papa belanja pula anak makan aiskrim. Itulah rutin bila pergi taman permainan kan?
Tapi mama perasan tak bila mama bawa anak mama ke taman tu, barulah mama tahu dah lama rupanya mama tinggal di sana. Cat peralatan di taman pun dah mula luntur dan usang. Ada setengah tu sampai cat dah boleh dikikis dengan jari saja. Ha, yang ni mama kena hati-hati! Jangan biarkan anak mama tergigit, terjilat atau makan serpihan cat tersebut.
Plumbum Tersembunyi Di Dalam Cat
Sebab cat yang digunakan di sesetengah taman permainan didapati mengandungi kandungan plumbum yang sangat tinggi, lebih jauh dari paras selamat yang dibenarkan.
Tak percaya? Pada 24 Oktober yang lepas, di sekitar kawasan utara, peralatan permainan di taman permainan awam telah dikesan mengandungi plumbum pada paras berbahaya pada kadar melebihi 90 bahagian persejuta (bps).
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan mendapati 13 dari 17 peralatan taman permainan mengandungi plumbum pada kadar tinggi.
Risiko Keracunan Guna Peralatan Permainan
Menurutnya, 11 peralatan yang dicat berplumbum di taman permainan sekitar kawasan ini didapati mengandungi plumbum melebihi 10,000 bps sekaligus mendedahkan risiko keracunan kepada kanak-kanak.
“CAP mengesan peralatan bersalut plumbum di taman permainan sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan menggunakan alat penganalisis kimia, X-Ray Fluorescence (XRF) dan mendapati aras plumbum yang tinggi pada peralatan permainan luar rumah.”
Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Beliau berkata lagi bahawa, cat berplumbum itu akan rosak dalam tempoh masa tertentu disebabkan penggunaan yang berulangkali selain pendedahan kepada cahaya matahari dan hujan. Ini yang akan menyebabkan cat itu mengelupas dan masuk ke dalam habuk dan tanah. Kemudian ia akan masuk ke dalam badan anak-anak mama yang suka sangat masukkan tangan ke dalam mulut ni.
Bimbang dengan perkara ini, CAP menggesa tindakan segera diambil bagi melarang penjualan dan penggunaan cat berplumbum terutama untuk produk yang mendedahkan kanak-kanak kepada pencemaran plumbum. CAP juga telah membentuk undang-undang untuk menyingkirkan plumbum dalam cat.
Kesan Keracunan Plumbum Kepada Kanak-Kanak
Plumbum ni merupakan bahan toksik yang mudah terkumpul dan mampu menjejaskan beberapa sistem tubuh kanak-kanak yang terdedah kepadanya. Antaranya:
- Menjejaskan perkembangan otak
- Masalah pertuturan dan pendengaran
- Masalah pembelajaran
- Kadar kesuburan menurun
- Kegagalan ginjal
- Masalah kardiovaskular
Banyaknya! Takut kan? Sebab tu lah mama kena teliti sikit bab-bab sebegini. Bukan setakat lepas keluar tandas saja kena cuci tangan, lepas bermain di taman pun, mama kena wajibkan anak mama untuk cuci tangan sebelum makan. Barulah tak memudaratkan diri.
Sumber: Public Health Malaysia, Sinar Harian
BACA JUGA SI KECIL LAMBAT BERCAKAP?
Pesan Mama Siti:
Sebagai mama dan papa, menjadi satu tanggungjawab bagi anda berdua untuk sentiasa pastikan keselamatan si manja terjamin. Bukan setakat nak bermain buaian, gelongsor saja kita perhatikan, Tangan yang memegang tu pun kita kena sentiasa awasi. Jangan luka yang mata kita nampak saja, kita ambil perhatian. Yang tak nampak pun kita kena sentiasa ambil peduli.