Dengan perubahan yang dialami oleh badan, para wanita kebanyakkannya boleh mengagak bahawa mereka mengandung. Tetapi pada masa yang sama, timbul rasa ragu-ragu juga. Betul ke mengandung ni?
Hari Ke Berapa Boleh Tahu Mengandung?
Kadang tu, rasa macam terlalu awal untuk berteka-teki. Tetapi sebenarnya, ibu-ibu boleh tahu sama ada anda hamil ataupun tidak pada hari ketujuh selepas terjadinya implantasi di dinding rahim lagi.
Biasanya, tanda yang paling kerap diperhatikan ialah haid yang tidak kunjung tiba. Memang kebanyakan ibu akan menilai dan mula mengesyaki pada waktu datang haid kan? Terutamanya untuk mereka yang kitaran haidnya teratur, jika darah haid tidak keluar pada bulan itu, tentunya ibu-ibu akan terdetik di dalam hati:
Eh.. mengandung ke…?
Kenapa Tidak Datang Haid Ketika Mengandung?
Sememangnya detikan hati sebegitu normal ya. Kerana apabila anda hamil, rahim anda tidak lagi berovulasi. Jadi haid anda pun secara automatik akan terhenti.
Perubahan hormon dalam badan akan berubah secara drastiknya untuk menampung kehamilan dan tumbesaran si comel. Anda akan dapat perhatikan beberapa tanda awal kehamilan yang lain juga.
Bila Masa Terawal Untuk Menjalankan Ujian Kehamilan?
Apabila haid lewat, anda mungkin yakin bahawa anda mengandung tapi was-was tentang keberkesanan ujian kehamilan. Patut ke hari ketiga tak datang haid terus buat ujian? Ke patut tunggu dulu beberapa hari?
Menurut Nancy Carteron, sebaiknya ujian kehamilan dilakukan pada hari ketujuh iaitu seminggu selepas tarikh haid anda untuk mendapatkan hasil yang tepat. Ataupun jika anda ingin lakukan ujian kehamilan lebih awal, minggu pertama atau kedua selepas anda berhubungan intim adalah tempoh yang sesuai.
Kenapa Ujian Kehamilan Yang Dilakukan Terlalu Awal Keputusannya Kurang Tepat?
Keputusan ujian kehamilan adalah bergantung kepada kadar hormon hCG dalam air kencing anda. Apabila berlakunya persenyawaan dan implantasi di dinding rahim, hormon ini akan dihasilkan ya.
Tapi, badan ibu memerlukan waktu untuk menghasilkan hormon ini pada kadar yang boleh dikesan dalam air kencing anda.
Jika anda lakukan ujian kehamilan terlalu awal, keputusannya mungkin kurang tepat kerana kadar hormon ini adalah berbeza bagi setiap individu ya.
Ada sesetengah ibu yang hamil kadar hCGnya rendah. Jadi apabila mereka melakukan ujian kehamilan, keputusannya adalah negatif walaupun mereka sebenarnya mengandung.
Jadi untuk keputusan yang lebih tepat, lakukanlah ujian kehamilan pada hari ketujuh hingga hari ke-12 selepas anda berhubungan intim.
Alat Ujian Kehamilan Dan Kadar Ketepatannya
Untuk ibu-ibu yang menantikan zuriat, memang rasanya tak sabar kan untuk lakukan ujian kehamilan apabila haid anda lewat? Terutamanya jika ini kehamilaan pertama anda, perasaan teruja dan risau tu memang tak boleh ditangkis.
Terfikir-fikir pula, alat ujian kehamilan manakah yang terbaik? Ada ke yang harganya berpatutan tetapi boleh memberikan keputusan yang tepat?
Sebenarnya pregnancy test kit ni lebih kurang je semuanya. Faktor yang membezakan adalah kadar hormon hCG dalam badan anda dan waktu ujian kehamilan dilakukan.
Sekarang ni, banyak je pregnancy test kit yang anda boleh dapatkan. Sama ada di farmasi ataupun pembelian secara online, terdapat pelbagai jenis dan jenama yang anda boleh pilih. Tapi dengan pandemik yang melanda kita sekarang, seeloknya belilah secara online ya.
Tetapi bagaimana pula dengan ketepatannya? Menurut Cleveland Clinic, ketepatan ujian kehamilan yang dilakukan di rumah adalah 97% sehingga 99% tepat. Manakala ujian kehamilan yang dilakukan selepas haid anda lewat mengikut tatacaranya boleh memberikan keputusan yang 99% tepat.
Agak meyakinkan kan?
Waktu Terbaik Untuk Lakukan Ujian Kehamilan
Waktu terbaik untuk lakukan ujian kehamilan adalah pada waktu pagi sebaik sahaja anda bangun dari tidur. Ini kerana kandungan hormon hCG telah berkumpul dalam air kencing anda sepanjang malam dan akan lebih mudah dikesan oleh pregnancy test kit.
Jika di waktu yang lain, sebaiknya tunggu dan tahan sekejap dalam beberapa jam untuk buang air supaya kepekatan hCG bertambah ya. Tetapi pada waktu yang sama, kurangkanlah minum air untuk mengelak bertambahnya kuantiti air kencing dan kurangnya kepekatan hormon hCG di dalamnya.
Cara Untuk Lakukan Ujian Kehamilan
Bergantung kepada keselesaan anda, ibu-ibu boleh lakukan ujian air kencing anda dengan beberapa cara:
- Kumpulkan air kencing anda di dalam bekas kecil dan celupkan testing stick ke dalamnya.
- Kumpulkan air kencing anda di dalam bekas kecil dan titiskan beberapa titik ke dalam ruang khas menggunakan dropper.
- Halakan testing stick ke arah aliran air kencing anda supaya ia terkena air kencing anda.
Selepas itu, biarkan ia sekejap. Kebiasaannya jika anda mengandung, akan timbul tanda-tanda seperti tulisan ‘pregnant’, garisan kedua, perubahan warna ataupun simbol (+) yang membawa maksud positif.
Tapi jika anda mahukan keputusan yang lebih tepat, bolehlah lakukan ujian darah di hospital untuk mengesan kadar hormon hCG dalam badan. Ujian darah adalah lebih tepat berbanding ujian air kencing kerana ia boleh mengesan kadar hormon hCG yang sedikit.
Sentiasalah Bersemangat Dan Berfikiran Positif
Jika anda dapat mengesan kehamilan pada awal lagi, bolehlah lakukan langkah-langkah yang sewajarnya. Namun jika keputusannya negatif, janganlah berputus asa. Tetapi jika haid anda masih tidak datang selepas beberapa hari, lakukanlah ujian sekali lagi dan jangan lupa untuk dapatkan nasihat dari doktor anda ya.