Anak-anak yang masih kecil ketika ibu bapanya bercerai secara automatik dilindungi oleh undang-undang mahkamah syariah mengikut tatacara hadanah.
Terdapat susunan serta syarat kelayakan yang wajib dipatuhi sebelum menetapkan penjagaan anak. Dalam masa yang sama, penjaga boleh kehilangan hak disebabkan beberapa situasi yang memudaratkan anak itu.
Persoalan siapa yang layak dan bagaimana hak penjagaan boleh gugur ada dikupaskan dalam artikel ini.
Susunan Kelayakan Hak Penjagaan Yang Diberi Kuasa Oleh Pihak Mahkamah
Mengikut perundangan keluarga Islam, kanak-kanak yang berumur kurang dari 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan akan diberikan kepada ibunya terlebih dahulu.
Si ibu kekal mendapat hak istimewa menjaga anak-anak selepas bercerai selagi mereka tidak berkahwin dengan suami baru.
Jika ibu kanak-kanak itu didapati tidak layak maka hak penjagaan akan diturunkan kepada individu yang disenaraikan mengikut urutan seperti berikut;
- Ibu
- Nenek sebelah ibu dan ke atas
- Bapa
- Nenek sebelah bapa dan ke atas
- Kakak atau adik perempuan seibu sebapa
- Kakak atau adik perempuan seibu
- Kakak atau adik perempuan sebapa
- Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa
- Anak perempuan daripada kakak atau adik seibu
- Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa
- Emak saudara sebelah ibu
- Emak saudara sebelah bapa
- Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya
Kelayakan dan Syarat Hak Penjagaan Dalam Islam
Sebelum si anak diserahkan kepada penjaganya, penjaga itu perlu memenuhi beberapa syarat yang melayakkan dirinya mendapatkan hak jagaan.
Jika seseorang tidak beragama Islam secara automatik mereka tidak boleh menjadi penjaga kanak-kanak tersebut. Hak penjagaan akan diserahkan kepada ahli keluarga yang berikutnya yang beragama Islam.
- Seorang individu yang beragama Islam
- Mempunyai kesempurnaan akal yakni boleh berfikir
- Cukup usianya untuk melayakkan dia memberikan penjagaan dan kasih sayang yang diperlukan si anak
- Berkelakuan baik dari aspek akhlak Islamiah
- Mempunyai tempat tinggal yang bersesuaian untuk tumbesaran si anak, terutamanya dari aspek akhlak dan jasmani
Faktor Mak atau Ayah Hilang Hak Penjagaan Anak
Mahkamah akan terus memantau perihal hak penjagaan anak selagi mereka belum mumaiyiz untuk memelihara kebajikannya.
Berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, seorang penjaga wanita boleh kehilangan atau gugur hak jagaan terhadap kanak-kanak disebabkan oleh beberapa keadaan.
Ianya dikhususkan kepada penjaga wanita jika sekiranya mereka melanggar salah satu syarat penjagaan maka mereka sudah tidak layak memelihara anak itu.
- Jika si wanita itu berkahwin lain dengan lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak tersebut dan apabila wanita itu terus menjaga mereka, ia akan menjejaskan kebajikan kanak-anak tersebut.
- Jika penjaga perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
- Jika penjaga wanita itu menukar permastautinan dengan niat untuk menghalang bapa kandung kepada anak tersebut melakukan pengawasan ke atasnya. Walau bagaimanapun, jika penjaga wanita itu adalah ibu kandung kepada anak tersebut yang diceraikan, ibu tersebut boleh membawa anaknya untuk tinggal di tempat lahirnya.
- Jika penjaga anak itu murtad, iaitu meninggalkan agama Islam.
- Jika wanita itu cuai atau menganiayai kanak-kanak tersebut.
Jadikan perkongsian ini sebagai panduan dan peringatan agar perceraian antara suami isteri tidak menjadi beban buat si anak.
Hak penjagaan anak atau hadanah adalah bertujuan untuk memastikan anak-anak mendapat kasih sayang antara kedua-dua orang tuanya.
Semoga Allah permudahkan urusan Mama dan Papa yang sedang melalui fasa getir ini.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa sahaja yang berlaku antara suami isteri, jangan biarkan emosi anak-anak terganggu. Rujuk SINI untuk lebih panduan dan info.