Agak kekok rasanya kalau hadir ke majlis perkahwinan dengan tangan kosong dan tidak membawa apa-apa pun hadiah kahwin buat pasangan mempelai pengantin di hari bahagia mereka.
Bertambah kekok dan tidak selesa lagi sekiranya pasangan pengantin dua sejoli tersebut merupakan ahli keluarga atau kenalan rapat kita sendiri.
Malah kalau diikutkan, hadiah di hari perkahwinan ini sudah menjadi salah satu trend atau simbolik yang membawa makna berharga ketika majlis kenduri kahwin berlangsung. Ianya turut membuatkan pasangan pengantin akan berasa lebih dihargai dan rasa disayangi.
Oleh itu, bagi membantu Mama di luar sana membuat pemilihan hadiah yang sesuai dan menepati citarasa pengantin, di sini Mama Siti senaraikan beberapa hadiah menarik yang boleh dipilih dan menjadi pilihan ramai yang terkini.
Senarai Hadiah Kahwin Untuk Pengantin Di Hari Bahagia
#1. Set Kelengkapan Memasak
Bila sudah masuk alam rumah tangga ini, keperluan harian utama yang perlu dijaga adalah perut suami dan isteri. Kalau suami lapar dan makanan tak dapat dimasak, isteri pun pasti rasa tak best kan?
Macam itu juga, kalau alatan dapur tak lengkap, mood isteri untuk memasak pun akan hilang, last-last kedua-duanya bermasam muka!
Jadi apa kata kalau anda hadiahkan kepada mereka set kelengkapan memasak. Ianya memudahkan serta menjimatkan kewangan mereka kerana tidak perlu lagi membelinya.
#2. Air Fryer
Selain set kelengkapan memasak, Mama boleh juga hadiahkan air fryer untuk pengantin. Ianya juga sangat memudahkan tugas memasak serta menjadikan masakan si isteri lebih berkhasiat.
Tambah-tambah kalau mood malas datang menjengah, boleh je campur semua bahan terus bakar. Tak payah nak menumis bagai. Mesti pengantin happy bila dapat hadiah ini!
#3. Set Bertukang
Selain membuatkan pengantin perempuan gembira, Mama juga boleh naikkan keterujaan buat pengantin lelaki dengan menghadiahkan kepadanya set pertukangan ini.
Setiap rumah memang wajib ada set pertukangan ini tambah-tambah buat pasangan pengantin yang suka mendeko rumah. Dengan adanya alatan ini, Mama telah pun selangkah dalam menyokong minat mereka.
#4. Lampu Hiasan
Nampak simple tapi sebenarnya boleh memberi impak besar terutama kepada mood. Naikkan seri suasana harmoni dan romantik dalam rumah baru pasangan pengantin nanti dengan kehadiran lampu ini.
Mereka pasti teruja tatkala sinaran lampu ini menyimbah suasana kediaman.
#5. Pokok Hiasan
Suasana yang alam semula jadi yang menghijau memang mampu mententeramkan hati yang gundah gelana. Lagi best kalau kehijauan alam semesta ini turut diterap di ruang kediaman, pasti rasa lebih relaks dan nyaman.
Untuk mewujudkan suasana tersebut apa kata kalau Mama menjadi pembuka langkah yang pertama buat pasangan mempelai dengan menghadiahkan kepada mereka pokok hiasan yang sesuai untuk dalam rumah atau di halaman rumah ini.
#6. Minyak Aromaterapi
Naikkan mood pengantin dengan menghadiahkan mereka minyak aromaterapi yang mempunyai pelbagai kebaikan ini.
Antaranya adalah menaikkan atau menghidupkan mood, menggalakkan kesihatan sistem pernafasan dan kardiovaskular, meningkatkan sistem imun badan dan banyak lagi.
#7. Set Kelengkapan Solat
Selain itu, Mama boleh juga menghadiahkan set kelengkapan solat buat sang mempelai. Selain mengukuhkan ikatan dengan Allah S.W.T, kasih sayang antara mereka juga dapat diperkuatkan lagi melalui solat secara berjemaah.
Malah, melaluinya juga Mama turut mendapat pahala yang berpanjangan selagi mana ia digunakan.
#8. Kelengkapan Bilik Tidur
Bilik tidur merupakan sudut privasi yang sangat penting bagi suami dan isteri. Oleh itu, hadiahkan kepada mereka set kelengkapan bilik tidur contohnya seperti set cadar. Pilih warna yang membangkitkan mood dan suasana romantis buat mereka.
#9. Buku Ilmiah
Selain itu, Mama juga boleh tingkatkan ilmu pengetahun pengantin dengan hadiah seperti buku-buku yang berkisar tentang hubungan, kekeluargaan dan perkahwinan.
Tak semua orang yang berpengetahuan luas mengenainya, dan tak semua orang menitikberatkan soal ini dalam rumah tangga.
Mana tahu, dengan pembacaan yang dilakukan melalui buku yang dihadiahkan oleh anda ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka menjayakan perkahwinan dengan lebih cemerlang?
#10. Jam Tangan Couple
Masa memang sangat penting dan selalunya masa sering mencemburui kita. Apatah lagi buat mereka yang baharu mendirikan rumah tangga. Pasti terasa masa berlalu dengan begitu pantas.
Jadi, hadiahkan mereka set jam tangan couple untuk mereka saling ingat mengingati antara satu sama lain dan lebih menghargai waktu bersama.
Pasti menarik kan kalau jam tangan hadiah dari keikhlasan hati Mama menjadi simbolik cinta mereka?
Lengkap sudah 10 hadiah menarik untuk dijadikan hadiah istimewa buat pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga. Semoga terselit beberapa senarai yang menjadi pilihan Mama nanti. Semoga bermanfaat!