KelabMama

Teristimewa Untuk Mama: 5 Hadiah Simple Tapi Dekat di Hati Hari Ibu Ini

hadiah hari ibu

Bersempena hari istimewa bulan ini, Mama Siti percaya pasti ramai antara anak-anak yang masih mencari idea untuk meraikan sambutan Hari Ibu.

Yelah, detik indah saban tahun inilah yang boleh dimanfaatkan kita semua dalam menjadikan ia moment bermakna untuk seorang wanita bergelar ibu.

Tapi, dah setiap tahun bagi hadiah. Hari jadi ibu pun kita bagi hadiah. Ada ke perkara rare yang boleh dibuat untuk meraikan Hari Ibu selain daripada menghadiahkan sesuatu?

Ada! Jom tengok antara idea Mama Siti share untuk anda semua pilih mana yang lebih sesuai dan bermakna buat ibu anda.

1. Kad Ucapan

Kad ucapan di pasaran memang banyak pilihan dan cantik-cantik belaka. Tetapi, pasti lebih menarik jika kita yang cipta kad ucapan sendiri pada hari istimewa ini.

Mungkin hasilnya tidak secantik kad yang dijual, tetapi Mama Siti percaya nilainya lebih berharga daripada segala jenis hadiah yang dibeli.

Pasti ibu kita terharu apabila melihatkan kepayahan anak-anaknya mencipta kad istimewa semata untuk diberikan kepada beliau. Anda boleh olah ikut citarasa sesuai untuk ibu. Malah, pilihan warna pun kita boleh tentukan sendiri.

Contoh jika ibu suka dengan bunga orkid, boleh cipta kad ucapan yang kreatif dan hiasi dengan kelopak orkid atau daun-daunnya.

Tak pun, tampal bunga orkid plastik dan hiasi dalam kad ucapan tu sampai penuh. Mungkin hasilnya tidak seperti yang kita harapkan, tapi Mama Siti yakin tentu ia jadi kad paling mahal bagi si ibu!

2. Poster Mengandungi Kata-kata Menyentuh Jiwa

Kalau nak cuba cara lain yang agak rare, apa kata kita hadiahkan ibu poster yang gambar ibu paling menarik. Tak kisah gambar dengan anak-anak, dengan seisi keluarga atau bersama ayah, tapi nak cuba buat kelainan kita hadiahkan si ibu poster yang terkandung ayat-ayat deep daripada seorang anak kepada ibunya.

Ucapan yang dicetak pada poster kalau boleh biarlah ayat ikhlas kita untuk si ibu seperti ucapan penghargaan kerana menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya, memuji ibu sebagai wanita istimewa paling hebat di mata kita dan macam-macam lagi yang boleh si ibu terharu.

Nak lebih wow, berikan poster berkenaan frame gambar senang ibu anda nak gantung dan buat hiasan di rumah. Tentu hadiah tersebut akan kekal lama selain menarik perhatian tetamu yang berkunjung ke rumah.

Percayalah, setiap kali ibu tengok poster yang digantung, mesti dia happy sebab rasa macam pengorbanannya sebagai ibu dihargai anak-anak.

3. Kek Atau Manisan Istimewa Untuk Si Ibu

Sekiranya ibu anda gemar makan kek atau manisan seperti kuih-muih, inilah masanya anda sediakan menu istimewa untuk mereka.

Oh ya, tetapi idea ini untuk anak-anak yang bukan professional baker ya! Sebab nama pun idea kreatif yang mahu diberi untuk ibu.

Sebab Mama Siti rasa kalau yang buat bisnes kek atau kuih-muih tu, pasti juadah berkenaan dah biasa dikongsi dengan ibu kan?

Untuk mereka yang kurang mahir atau jarang buat dessert, apa kata cuba surprise kan mereka dengan hasil air tangan anda. Kalau rasanya tidak begitu enak sekalipun, pasti ibu terharu sebab tengok anaknya bersusah-payah nak sediakan dessert favourite mereka.

Tak pandai baking? Sekarang semua maklumat di hujung jari, pilih saja resipi yang mana. Kalau risau tak jadi, apa kata anda cuba buat dahulu, belajar sampai jadi. Mama Siti guarantee mesti ibu anda akan ingat moment ini sampai bila-bila. Kata nak hargai ibu kan? So, show your some effort!

4. Borak Bersama Ibu Kisah-kisah Menarik Bagi Mereka

Tidak hanya memberikan sesuatu kepada ibu, luangkan masa dengan berborak dan mendengar cerita pun dah buat hati mereka gembira.

Cipta situasi yang sesuai contohnya datang ke bilik ibu dan berbual topik santai berdua. Ajak mereka borak perkara yang buat si ibu seronok nak kongsi seperti zaman remaja mereka dan kenangan- kenangan lucu.

Mungkin nampak simple, tetapi meluangkan masa dengan anak adalah antara terapi si ibu. Nak lebih menarik, ajak mereka hi-tea sambil bersembang dengar kisah mereka.

5. Cipta Sesi ‘Heart-to-heart Talk’ Dengan Si Ibu

Meskipun nampak ibu seperti tiada masalah, tetapi dalam fikirannya mesti banyak perkara sedang dirisaukan. Cuma mereka tak luahkan.

Maka, sempena Hari Ibu, bagi anak yang kurang dapat peluang mendengar luahan hati ibu, inilah masanya kita cipta sesi heart-to-heart talk. Ajak ibu bersembang di dapur, di bilik mereka atau di verandah rumah sambil kita sediakan kopi.

Kemudian, ajaklah ibu berbual dan luahkan perasaan mereka. Fahami dan hayati apa yang ibu katakan.

Mungkin akan ada linangan air mata sebab bila ibu dah mula berkongsi cerita, pasti banyak perkara yang buat beliau sedih sama ada sebab sikap anak-anak, adik-beradiknya atau sesiapa sahaja yang dia akan luahkan.

Sebagai anak, kita kongsi perasaan itu. Percayalah, emosi si ibu tadi tentu lebih tenteram apabila luahkan pada anaknya. Dakap ibu anda dengan penuh kasih dan beri kata-kata semangat kepadanya.

Pasti Hari Ibu itu akan jadi lebih bermakna bukan setakat untuk ibu kita, tetapi buat kita juga dalam memahami hati sang ibu.