KelabMama

Khas untuk Papa! 20+ Idea Hebat Sebagai Hadiah Hari Jadi Untuk Isteri Yang Paling Sweet Dan Romantis

Perkara paling menjadi kerisauan bagi kaum lelaki adalah apabila tibanya hari kelahiran isteri dan apakah hadiah hari jadi isteri yang sangat berbaloi untuk dibeli dan memenuhi citarasanya.

Hari jadi atau hari ulang tahun kelahiran adalah antara hari yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang terutamanya bagi kaum wanita. Dalam alam rumah tangga pula, bagi seorang isteri selain dari hari ulang tahun perkahwinan, hari jadi mereka adalah hari yang paling dinanti-nantikan.

Suami yang terlupa akan hari penting ini sudah semestinya akan mengundang rajuk si isteri. Selalunya, ucapan selamat hari jadi atau selamat ulang tahun kelahiran ini akan disertakan dengan hadiah hari jadi yang sememangnya sinonim dan mewarnai hari penting ini.

Hargai Pengorbanan Isteri Dengan Pemberian Hadiah Yang Menarik

Sesetengah pihak menganggap hanya dengan memberi ucapan sempena hari ulang tahun tersebut sudah mencukupi. Bagi sesetengah isteri itu adalah benar, hanya dengan ucapan sahaja sudah cukup menunjukkan bahawa sang suami sentiasa meletakkan mereka di dalam hati dan fikiran mereka.

Namun, tidak boleh disangkal lagi bahawa dengan ucapan beserta hadiah hari jadi buat isteri akan lebih bermakna bahkan akan menjadi satu perkara yang akan diingati oleh para isteri sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Ramai para suami buntu dalam memikirkan hadiah yang sesuai untuk dijadikan sebagai hadiah hari jadi buat isteri mereka. Tidak dinafikan bahawa pemilihan hadiah hari jadi buat si isteri bukanlah perkara yang mudah.

Setiap kali menjelangnya hari jadi isteri, pastilah perkara ini akan berlegar-legar dalam fikiran para suami. Berikut adalah 25 idea yang boleh digunakan oleh para suami dihadiahkan buat isteri tercinta.

25 Jenis Hadiah Hari Jadi Untuk Isteri Yang Pasti Disukainya

#1. Jambangan Bunga dan Coklat

Kredit gambar: pengantin baru

Jambangan bunga dan coklat adalah antara idea yang seringkali menjadi pilihan hati buat ramai orang. Walaupun, idea ini nampak biasa dan simple namun sudah cukup untuk membuat sang isteri tersenyum lebar dengan hadiah ini. Pemilihan bunga dan coklat haruslah sepadan dengan kesukaan isteri dan bukannya kesukaan sendiri.

#2. Kek Hari Jadi

Idea yang seterusnya ini tampak seperti biasa dan sangat simple iaitu kek hari jadi. Namun, boleh menjadi yang paling istimewa dan diingati sekiranya kena dengan caranya. Ramai isteri-isteri di luar sana yang cukup menghargai pemberian kek pada hari istimewa mereka.

Kek kesukaan atau kek yang jarang dinikmati mereka sebelum ini adalah antara pilihan kek terbaik yang boleh dijadikan hadiah buat isteri tercinta. Lebih istimewa sekiranya kek tersebut disediakan sendiri oleh suami buat si isteri atau dalam kata lain kek hasil air tangan suami sendiri.

#3. Set Pinggan Mangkuk dan Perkakasan Dapur

Kredit gambar: lazada

Isteri dan dapur tidak dapat dipisahkan. Set pinggan mangkuk dan perkakasan dapur yang cantik dan lengkap akan membuatkan sang isteri berasa sangat teruja untuk memasak buat keluarga tercinta. Seringkali kita dengar ramai isteri-isteri yang suka membuat koleksi perkakasan dapur seperti set Tupperware, Vantage, periuk Le Crueset dan lain-lain.

Para suami boleh membahagiakan isteri tercinta dengan menghadiahkan isteri mereka dengan set pinggan mangkuk dan perkakasan dapur seperti yang diidamkan oleh mereka.

#4. Set Dapur Yang Cantik

Kredit gambar: divamy

Selain itu, sekiranya para suami yang mempunyai kewangan yang lebih atau rezeki yang lebih boleh menghadiahkan isteri mereka dengan set dapur yang cantik. Hadiah ini pastinya akan membuatkan isteri anda rasa seperti sangat dihargai.

Set dapur yang cantik dapat menaikkan mood sang isteri untuk memasak.

#5. Set Bilik Tidur

Kredit gambar: pinterest

Di samping itu, set bilik tidur jugak boleh menjadi pilihan sebagai hadiah hari jadi buat isteri tercinta. Set bilik tidur yang cantik, kondusif dan romantik akan menjadikan hubungan suami isteri anda lebih erat.

Bilik tidur bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk berehat malahan juga adalah tempat privasi buat suami isteri yang sangat memainkan peranan dalam sesebuah rumah tangga. Ramai para isteri yang mengimpikan untuk mendapatkan set bilik tidur yang indah dan romantik.

#6. Barangan Elektrik

Tugas seharian isteri banyak dihabiskan untuk menguruskan rumah tangga. Banyak tenaga yang digunakan oleh si isteri semasa menguruskan rumah tangga mereka tidak kiralah samada surirumah atau bagi isteri yang bekerja.

Bagi meringankan beban mereka, para suami boleh menghadiahkan barangan elektrik yang memudahkan kerja mereka sempena hari lahir mereka. Contohnya, mesin basuh baju, mesin basuh pinggan, robotik vakum dan lain-lain.

#7. Set Kelengkapan Solat dan Alquran

Kredit gambar: carousell.sg

Suami yang mithali adalah suami yang sentiasa membimbing isteri dan keluarga dalam semua perkara termasuk hal berkaitan kerohanian. Oleh itu, set kelengkapan solat seperti telekung, sejadah dan alquran adalah antara idea yang boleh digunakan untuk dihadiahkan kepada isteri anda. Ini membuktikan bahawa sang suami bukan sahaja ingin hidup bersama isteri mereka di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

#8. Set Barangan Solek

Bagi isteri-isteri yang bekerja yang memerlukan mereka tampil cantik di khalayak ramai atau bagi isteri-isteri yang suka bersolek, hadiahkan mereka set barangan solek. Hadiah ini mampu membuat mereka tersenyum riang.

#9. Tudung atau Pakaian Berjenama

Sumber : najjah boutique

Wanita dan fesyen sangat sinonim. Tudung dan pakaian berjenama dapat adalah antara idea yang sentiasa menjadi pilihan dalam pemilihan hadiah tidak kiralah samada kepada isteri, teman wanita, ahli keluarga dan lain-lain.

Pastikan sang suami tahu jenama kesukaan dan saiz si isteri sebelum membuat pemilihan.

#10. Barang Kemas/Aksesori

Pemilihan barang kemas atau aksesori sebagai hadiah hari jadi buat insan istimewa dalam hidup adalah idea yang pastinya akan membuatkan isteri anda lebih sayangkan anda. Tiada wanita yang tidak sukakan barang kemas atau aksesori.

Bawa sahaja isteri anda ke mana-mana kedai emas atau buatkan kejutan di hari istimewa mereka dan pasti ini akan menjadi hari paling diingati buat mereka.

#11. Telefon Bimbit

Telefon bimbit pada zaman sekarang adalah satu gadjet yang menjadi satu keperluan dalam kehidupan kita. Hampir setiap orang memiliki telefon bimbit sendiri. Para suami boleh menjadikan telefon bimbit sebagai hadiah untuk isteri mereka.

Hadiahkan isteri anda dengan telefon bimbit idaman seperti telefon bimbit berteknologi tinggi dan terkini sudah pasti akan membuat mereka teruja.

#12. Beg Tangan Berjenama

Antara benda wajib yang perlu ada dalam senarai fesyen seorang wanita adalah beg tangan. Tidak lengkap penampilan seseorang wanita itu tanpa beg tangan. Oleh itu, pemilihan beg tangan berjenama sebagai hadiah di hari ulang tahun kelahiran isteri pastilah menjadi idea yang cukup sesuai.

#13. Minyak Wangi

Lumrah manusia sukakan pada benda yang cantik dan wangi. Hadiahkan isteri anda dengan minyak wangi kegemaran mereka dan lihatlah senyuman bahagia yang akan terukir di bibir kesayangan anda itu.

#14. Kasut Berjenama

Tidak lengkap penampilan seorang wanita tanpa kasut. Seorang wanita sangat menitikberatkan soal pemilihan kasut dengan cara penampilan mereka.

Sebelum menghadiahkan isteri anda dengan kasut kesukaan mereka pastikan anda mengetahui citarasa mereka terlebih dahulu.

#15. Set Penjagaan Wajah

Sumber : amazon

Keyakinan seorang wanita sangat berkait rapat dengan wajah mereka. Boleh hancur mood seharian mereka sekiranya wajah mereka dinaiki jerawat. Oleh itu, set penjagaan wajah adalah antara idea yang ideal bagi seorang suami buat isteri mereka.

#16. Pakej Pelancongan Atau Percutian Bersama

Sekali sekala boleh hadiahkan isteri anda dengan pakej pelancongan atau percutian bersama-sama. Ini bukan sahaja dapat menggembirakan hati mereka bahkan dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri anda.

Sambil bercuti dapat merehatkan badan, lapangkan fikiran, eratkan hubungan suami isteri dan meraikan hari istimewa isteri anda di tempat yang istimewa.

#17. Makan Malam Di Tempat Mewah & Romantik Atau Sediakan Makan Malam Di Rumah

Hari jadi isteri akan menjadi lebih bermakna sekiranya sang suami membawa si isteri untuk makan malam bersama di tempat yang mewah dan romatik. Definisi mewah bagi setiap orang adalah berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

Lebih romantik anda boleh setkan sendiri makan malam romantik anda dengan isteri di rumah sendiri.

#18. Jam Tangan

Para suami juga boleh memilih jam tangan untuk dijadikan sebagai hadiah hari jadi isteri mereka. Untuk nampak lebih romantik boleh hadiahkan set jam tangan couple yang akan menampakkan anda dan isteri adalah pasangan suami isteri yang sehati dan sejiwa.

#19. Tengok Wayang Bersama

Idea untuk tengok wayang bersama pada hari jadi isteri juga sudah sering menjadi pilihan ramai suami di luar sana. Pastikan wayang yang dipilih menarik dan genre yang dipilih adalah gendre kesukaan isteri anda.

#20. Me Time Dengan Rakan

Hampir setiap wanita yang bergelar isteri dan mempunyai anak sukar untuk mempunyai waktu untuk diri mereka sendiri. Masa mereka banyak dihabiskan untuk menguruskan rumah tangga.

Hadiahkan isteri anda dengan berikan mereka me time dengan rakan-rakan mereka. Urusan rumah tangga dan anak-anak diambil alih oleh suami pada hari berkenaan. Pastinya isteri anda akan sangat gembira dengan hadiah ini.

#21. Potret Suami Isteri

Pemilihan untuk menghadiahkan potret wajah suami isteri adalah idea yang jarang-jarang dipilih kerana dilihat tidak menarik. Tetapi sebaliknya pemilihan potret wajah suami isteri sebagai hadiah memiliki nilai sentimental yang tersendiri.

Melihat gambar suami isteri setiap hari akan menimbulkan rasa saling menghargai dan menjadi sumber inspirasi kepada pasangan tersebut.

#22. Novel Atau Seni Kesukaan Isteri

Sumber : izzeyda life

Bagi isteri yang suka dengan bahan bacaan atau kesenian, hadiahkan mereka dengan novel atau bahan kesenian ayang disukai mereka. Contohnya, bagi yang suka membaca novel hadiah novel hasil penulisan dari penulis kegemaran mereka.

Sekiranya isteri anda sukakan teater bawa isteri anda melihat persembahan teater.

#23. Pakej Spa

Bagi menghilangkan keletihan bekerja dan menguruskan rumah tangga, sang suami boleh menghadiahkan isteri mereka dengan rawatan spa. Di sini isteri dapat memanjakan diri selepas penat menguruskan rumah tangga.

#24. Wang

Wang bukan sahaja digemari oleh kaum wanita tetapi oleh semua orang. Sekiranya si suami buntu memikirkan hadiah yang sesuai untuk si isteri berikan sahaja mereka wang untuk mereka berbelanja pada hari istimewa mereka.

Ini bukanlah nafkah tetapi sebagai hadiah hari jadi untuk mereka. Terpulang kepada isteri anda bagaimana caranya untuk membelanjakan wang tersebut.

#25. Surat Cinta Romantik

Akhir sekali, seperti yang disebut di awal artikel bagi sesetengah pihak hanya dengan ucapan dari sang suami sahaja sudah cukup sebenarnya bagi sang isteri untuk rasa dihargai di hari istimewa mereka.

Namun, untuk lebih menarik sampaikan ucapan itu melalui surat cinta yang romantik. Gunakan ayat-ayat romantik yang boleh mengundang rasa bahagia di hati isteri anda.

Kesimpulannya, apa jua cara dan hadiah yang digunakan untuk menyatakan rasa penghargaan seorang suami kepada isterinya, ucapan terima kasih dan kasih sayang yang ditunjukkan adalah hadiah terbaik bagi menghargai isteri anda.

Setiap hadiah yang diberikan tiada nilai sekiranya tidak disertakan dengan keikhlasan dan penghargaan terhadap pengorbanan si isteri sepanjang tempoh perkahwinan.

Mama Siti berharap dengan perkongsian idea-idea yang romantik ini para suami dapat membuat pilihan idea yang terbaik buat isteri tercinta.