Sebagai kaum Hawa, terdapat beberapa penyakit yang harus Mama berwaspada. Buat Mama yang selalu sakit-sakit perut, dan mempunyai gejala yang luar biasa, jangan diam dan tidak melakukan apa-apa! Cepat-cepat membuat pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital terdekat.
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Ovari ini, Mama Siti ada senaraikan wanita-wanita yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit berbahaya ini. Mama harus ingat, jika dapat detect penyakit ini dengan awal, lebih cepat mendapat rawatan yang sewajarnya.
Ini adalah enam golongan wanita yang berisiko tinggi untuk mendapat Kanser Ovari:
6 Golongan Wanita Yang Berisiko Tinggi
#1 Sejarah Keluarga
Sejarah keluarga adalah antara salah satu sebab untuk Mama mendapat Kanser Ovari. Jika Mama mempunyai keluarga ataupun saudara dekat yang sebelum ini pernah didiagnosis Kanser Ovari, anda adalah antara mereka yang berisiko tinggi untuk memperoleh penyakit ini.
Selain keluarga, umur juga memainkan peranan yang besar dalam Kanser Ovari. Risiko kanser ovari meningkat apabila usia Mama makin meningkat. Tambahan pula, ia kerap didiagnosis pada orang yang lebih tua.
#2 Tidak Pernah Melahirkan Anak
Terdapat beberapa kajian yang menyatakan, wanita yang tidak pernah mengandung mempunyai risiko yang tinggi untuk dapat Kanser Ovari. Jika Mama masih tidak hamil, kemungkinan untuk Mama mendapat kanser ovari adalah tinggi.
Menurut Pakar Onkologi Ginekologi, wanita yang ambil pil perancang selama lima tahun sewaktu hayat pembiakannya, berisiko rendah untuk mendapat Kanser Ovari.
Wanita yang mempunyai kitaran ovari berterusan dengan ovulasi bulanan akan berisiko tinggi untuk memperoleh Kanser Ovari.
#3 Hamil Pada Lewat Usia
Menurut Persatuan Kanser Amerika, golongan wanita yang pertama kali mempunyai kehamilan jangka penuh selepas umur 35 tahun atau yang tidak pernah mengandung sehingga cukup bulan, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat Kanser Ovari.
#4 Pemakanan Tidak Elok Dan Obesiti
Memang tidak dinafikan, mereka yang mengamalkan diet yang tidak seimbang mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang mengamalkan diet yang seimbang.
Tambahan pula, ianya lebih mudah bagi orang yang berlebihan berat badan dengan BMI 30 ke atas untuk mendapat Kanser Ovari.
Makanan yang tidak seimbang dan makanan ringan secara umumnya tidak baik untuk kesihatan dan ia dapat memudaratkan pesakit kanser. Oleh itu, Mama diingatkan untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang untuk kesihatan dalaman kita pada jangka masa panjang.
#5 Akhil Baligh Awal, Menopaus Lewat
Haid pada usia awal atau menopaus pada usia yang lewat, atau kedua-duanya, boleh meningkatkan risiko Kanser Ovari. Selain itu, mengambil terapi penggantian hormon untuk mengawal tanda dan gejala menopaus juga boleh meningkatkan risiko Kanser Ovari. Terdapat dua faktor utama dengan peningkatan risiko kanser selepas menopaus iaitu:
- Peningkatan pendedahan kepada hormon, seperti estrogen.
- Peningkatan bilangan ovulasi.
Ovulasi pula berlaku apabila ovari mengeluarkan telur. Wanita yang datang haid selama bertahun-tahun mempunyai banyak ovulasi, yang meningkatkan risiko kanser rahim, payudara dan ovari. Ini termasuk wanita yang:
- Haid sebelum umur 12 tahun.
- Menopaus selepas umur 55 tahun.
#6 Kurang Bersalin
Banyak kajian mengatakan bahawa wanita yang tidak mempunyai anak atau menangguhkan melahirkan anak lebih terdedah kepada risiko Kanser Ovari. Terdapat hipotesis bahawa semakin banyak wanita datang haid, semakin tinggi risiko Kanser Ovari, sebab ia tertakluk kepada lebih banyak estrogen.
Walaupun kanser ini merupakan salah satu pembunuh senyap wanita kerana ia sukar untuk dikesan dari awal, tetapi, Mama Siti sarankan untuk anda sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan atau bulanan.