KelabMama

Diari Hati Ibu: Ini Persediaan Emosi Sebelum Hamil Yang Saya Lakukan. No 1 Paling Penting!

Jika dulu As ingatkan bahawa penjagaan kehamilan tu bermula dengan trimester pertama. Rupanya dengan perkembangan perubatan dan kesihatan mental, persediaan kehamilan bermula sejak fasa sebelum hamil lagi. Kita pasangan muda yang hamil anak sulung ni masih blur je lagi tentang ini kan.

As akan kongsi apa yang As lakukan untuk memberi yang terbaik setakat mampu buat diri As sendiri, pasangan, keluarga dan bayi yang bakal dikandung. But, you do you, okay.

Fasa Sebelum Hamil #1: Berdamai Dengan Pasangan

Ini antara perkara yang As sendiri belajar as our marriage progress year by year. Jadi As share sini supaya kita sama sama dapat improve hubungan kita suami isteri. Proses berdamai sepenuhnya dengan pasangan sebelum hamil ini sangat penting.

Sebaik sahaja kita memasuki alam kehamilan nanti, akan banyak waktu keputusan penting perlu dibuat – perubahan hormon yang mendadak, kesusahan demi kesusahan lain dan sebagainya. Kalau masih belum selesai, makin ributlah nanti.

Apabila kita dah mulakan dengan berdamai dengan pasangan, insya Allah banyak kerja buat urusan seterusnya akan dimudahkan. Seperti fasa-fasa hamil nanti, melahirkan, berpantang, membesarkan anak dan banyak lagi yang banyak melibatkan kerja hati serta komunikasi yang lurus.

1. Belajar komunikasi santun

Sewaktu kita masih berdua dan belum dalam fasa hamil adalah waktu terbaik untuk belajar menyantuni dengan bahasa kasih sayang, walaupun ketika itu pasangan berada dalam keadaan seolah yang paling tidak layak untuk disayangi lagi.

Waktu inilah kita patut banyak belajar toleransi dalam hubungan dan urusan rumah tangga. Tenang, pejamkan mata, dan lembutkan hati menerima ketidaksempurnaan pasangan.

Masa ini jugalah sangat penting untuk duduk bersembang tentang trauma lampau dalam kehidupan kita, melepaskan apa yang terbuku tentang hidup lepas supaya pasangan lebih mudah memahami jika kita melalui proses burst emosi ketika fasa hamil nanti.

2. Bincang visi dan misi kehidupan secara berkala

Setiap kita ada hasrat, kemahuan, harapan serta perjalanan urusan kehidupan yang kita mahu jalankan.

Perkahwinan adalah kerjasama sebagai satu pasukan, sebagai suami isteri. Adalah lebih baik jika kita suami isteri dapat selarikan misi dan visi, bertolak ansur atas impian pasangan jika ia sesuatu yang baik, lebih awal sebelum memasuki fasa hamil nanti.

3. Luang masa bersama

Sewaktu masih berdua inilah kita boleh mula belajar banyak luangkan masa bersama. Bercakap mata ke mata dan hati ke hati. Dunia teknologi sangat mencemburui kita. Banyak masa hati dan mata kita berada di dunia maya, hanya jasad sahaja bersama pasangan.

Spark that joy by being together and enjoying each other’s company.

Sebab nanti apabila memasuki fasa hamil, melahirkan dan menyusukan; sukar untuk kita mencari masa duduk berdua sahaja. Raikan selagi mana dan sebanyak mana yang boleh.

Fasa Sebelum Hamil #2: Pengisian Jiwa

1. Belajar faham Al-Quran

Kredit gambar: Hafizussalam bin Sulaiman / Shutterstock.com

Al-Quran adalah penyembuh segala di dalam dada juga petunjuk buat kita. Banyak mesej kehidupan yang sangat menenangkan di dalamnya.

Sebagai pasangan Muslim, bagus untuk kita belajar memahami Al-Quran sebagai bekalan ketenangan emosi, terutamanya bagi si isteri yang akan melalui fasa kehamilan dan menjadi ibu yang penuh warna-warni bahagia serta peritnya nanti.

2. Mula journaling sebelum hamil

Journaling adalah satu terapi yang sangat baik buat seseorang hatta anak kecil. Kita menulis rekod kehidupan tentang perkara yang disyukuri, emosi harian, kesihatan dan aktiviti serta pelbagai lagi.

Walaupun dalam zaman teknologi serba maju sekarang, adalah lebih baik untuk kita menulis dengan tangan kerana minda kita akan lebih lapang, seolahnya kita sedang mengadun seni kehidupan kita di atas kertas.

Ia juga bagus sebagai track record buat rujukan di hari mendatang. Nanti bolehlah kongsi kisah-kisah ni dengan anak-anak nanti!

3. Teruskan hobi yang terhenti atau explore minat baru

Kita pasti punyai banyak hobi yang mungkin kita tinggalkan sejak bergelar isteri seperti hiking, melukis dan lain-lain. Atau mungkin kita berhajat untuk explore hobi dan minat yang baru berkaitan keibubapaan dan sebagainya. Inilah masa yang terbaik, iaitu ketika fasa sebelum hamil.

Teruskan juga melakukan aktiviti tersebut kerana ia bagus untuk membuka minda kita, beramah mesra dengan masyarakat dan kawan-kawan. Bincang dengan suami untuk lakukan aktiviti yang Mama gemarkan, dan rasai kelainan yang spark joy dalam rutin kehidupan.

Yang Penting! Love Yourself Sebelum Bergelar Ibu

Perjalanan kita panajng lagi dalam proses untuk menjadi seorang ibu. Berdasarkan pengalaman Kak As, belajar sayangi diri kita sendiri sebelum kita mula menyayangi si kecil yang bakal menghuni rahim kita.

Itulah caranya kita buat yang terbaik untuk anak yang disayangi. Mereka juga bakal belajar daripada kita cara untuk menghargai diri sendiri.

Sharing As di atas ni nampak ringkas namun As sendiri rasa sangat berat untuk mulakan langkah apatah lagi ketika melaluinya. Namun perlahan-lahan segalanya dibuka dan dipermudahkan oleh Allah. So, jom kita cuba ya. Jangan kehilangan dirimu di dalamnya.

Love,
As


Ikuti kisah perjalanan motherhood As di SINI.