Ibu dan bapa mesti perasan yang setiap anak, karakternya adalah berbeza-beza kan? Dari sifat, cara pemikiran dan cara pembawaan diri mereka dalam masyarakat, setiap dari mereka adalah unik dan mempunyai keistimewaan sendiri.
Begitu jugalah dengan anak sulung. Mereka mempunyai sifat dan personaliti tersendiri yang membezakannya dengan anak-anak yang lain.
10 Sifat dan Fakta Tentang Anak Sulung
Kebanyakkan anak sulung memang akan terserlah beberapa sifat ini pada mereka. Sehinggakan orang di sekeliling mereka yang pertama kali mengenalinya mungkin akan perasan dan bertanya:
Anak sulung eh?
1. Berdikari
Rata-rata anak sulung memang ada sifat ini kan? Kerana posisinya sebagai anak sulung, ibu dan bapa serta adik-beradiknya lebih bergantung harap kepadanya.
Di dalam dan di luar rumah, mereka selalunya pandai berdikari dan cuba untuk lakukan semuanya sendiri. Kerana mereka sentiasa memegang watak yang kuat dan kurang mengharapkan bantuan orang, mereka kelihatan lebih menonjol dalam masyarakat.
2. Bertanggungjawab
Kebiasaannya, ibu dan bapa akan berharap pada anak sulung untuk memikul tanggungjawab lebih dari anak yang lain kan? Ia bukan sahaja kerana usianya yang lebih tua tetapi kerana peranannya sebagai anak sulung inilah yang telah membentuk mereka menjadi seorang yang bertanggungjawab.
Dalam apa jua keadaan dan keputusan yang dilakukan, anak sulung bukanlah seorang yang suka lepas tangan. Mereka akan berusaha untuk laksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka sebaik mungkin.
3. Matang
Disebabkan pengalamannya yang lebih banyak, anak sulung dilihat sebagai anak yang lebih matang dalam keluarga. Perasan tak bila ada keputusan yang perlu dibuat, kebanyakkan ahli keluarga akan merujuk kepada kakak atau abang sulung terlebih dahulu?
Ini memang normal ya. Usia dan pengalamanlah yang mematangkan mereka. Pendapat mereka memang antara yang akan ditimbang kira.
4. Manja
Sebenarnya, bukan anak bongsu je yang bersifat manja tetapi anak sulung juga dalam diam-diam pun begitu. Yelah.. anak sulung kan selalu berdikari dan memikul banyak tanggungjawab. Kerana peranan mereka itulah mereka sukar dan tidak berpeluang untuk menzahirkan sifat mereka yang satu ini.
Kebiasaannya, pasangan merekalah yang menjadi tempat mereka meluahkan dan bermanja. Jangan terkejut pula bila dalam percintaan, mungkin mereka lagi manja dari pasangan mereka!
5. Tegas
Untuk bawa peranan sebagai anak sulung, mereka memang perlu tegas. Bila harus ketuai dan jalankan tanggungjawab, anak sulung akan tegas dengan adik beradik dan orang sekelilingnya.
Kadang tu, mereka nampak macam garang dan kadang-kadang, serius je. Sebenarnya itu kerana mereka bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan dan untuk melaksanakannya sehabis baik, mereka perlu dan akan bersikap lebih tegas.
Tapi kerana sikap mereka ini, ramai juga yang salah faham dan beranggapan bahawa mereka tidak penyayang.
6. Penyayang
Di sebalik ketegasan dan keseriusan anak sulung, mereka sebenarnya merupakan seorang yang penyayang.
Kerana terbiasa menjaga adik-adik di bawahnya, sifat penyayang mula terbentuk di dalam diri mereka. Perasan tak antara rakan-rakan kita, mereka yang anak sulung lah yang akan bersikap lebih penyayang berbanding anak lain?
Kalau berlaku apa-apa, mereka akan memberikan respon dengan lebih cepat dan berusaha untuk menolong. Kan?
7. Pelindung
Selain itu, mereka juga rasa protective dengan adik-adik dan orang di sekeliling mereka. Kalau ke pasaraya ke sebagai contohnya, anak sulung akan lebih peka dengan keadaan sekeliling untuk melindungi adik-adiknya.
Mungkin juga kerana terbiasa dengan pesanan ibu dan bapa yang menyuruh mereka untuk menjaga adik-adik, lama-kelamaan sifat ini terbentuk dalam diri mereka.
Dengan rakan-rakan pun, sifat mereka ini juga terserlah. Bila kita perasan ada antara rakan kita yang sentiasa berhati-hati dan peka, fikiran kita mesti akan terdetik; dia ni anak sulung kot.
8. Kuat berusaha
Tekanan yang diberikan ke atas mereka telah mencorakkan anak sulung menjadi seorang yang kuat berusaha. Ini antara fakta anak sulung yang Mama Siti boleh akui.
Jika mereka menginginkan atau merancang sesuatu, pasti mereka akan berusaha untuk menjayakannya. Ditambah pula dengan pandangan dan harapan ahli keluarga dan orang sekeliling, mereka perlu berusaha untuk berjaya supaya dapat menjadi role model kepada adik-adik.
Ini mungkin pada satu sudut merupakan tekanan pada mereka namun jika para ibu dan bapa sentiasa di sisi untuk mendorong dan membantu mereka, anak sulung boleh menjadi kebanggaan keluarga tau!
9. Berkeyakinan
Biasanya, anak sulung mendapat perhatian lebih berbanding anak yang lain kerana mereka adalah kelahiran pertama dalam keluarga yang ditunggu-tunggu.
Segala kasih sayang dan perhatian dicurahkan kepada mereka. Anak yang tangki emosinya penuh akan terbentuk untuk menjadi seorang yang berkeyakinan.
Ketika bergaul, cara mereka ini boleh menampakkan mereka sebagai seorang yang berkarisma juga.
10. Tenang
Mungkin kerana faktor usia dan pengalaman yang ditempuhi, anak sulung cenderung untuk bersikap lebih tenang berbanding yang lain. Cuba lihat pada cara mereka melihat sesuatu situasi itu. Pandangan mereka mungkin berbeza dengan anak kedua dan yang lain kerana anak sulung tidak cepat untuk melatah ya.
Ketika menghadapi masalah, mereka biasanya boleh menyelesaikannya dengan baik. Sebab ini jugalah ramai yang suka meminta pendapat mereka.
Anak Sulung Adalah Kelahiran Pertama Yang Istimewa Untuk Ibu Bapa
Tanya je mana-mana ibu, mesti mereka bersetuju bahawa first born mereka tidak sama dengan kelahiran yang lain. Ini adalah fakta tentang anak sulung yang tidak dapat disangkal lagi. Sama ada anak sulung perempuan ataupun lelaki, kedua-duanya mendapat tempat istimewa di hati ibu dan bapa.