Anak pertama atau anak sulung semestinya istimewa di hati Mama dan Ayah. Individu pertama yang tinggal di rahim Mama dan buah hati pertama buat Si Ayah.
Kesilapan mendidik anak pertama bakal mempengaruhi anak-anak yang lain. Namun, dalam masa yang sama, banyak yang anak sulung ini telah korbankan untuk keharmonian ahli keluarga yang lain.
Kali ini, kita kenali lebih mendalam tentang anak pertama kita, dengan mengetahui serba sedikit fakta anak sulung ini. Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu kita menghargai mereka dengan lebih baik kerana anak sulunglah yang banyak mengajar kita menjadi ibu dan bapa.
Fakta Anak Sulung Dalam Keluarga
- Rekod Akademik Cemerlang
Journal Of Research in Personality menerbitkan satu kertas kajian pada tahun 2013. Hasilnya mendapati anak pertama lebih cenderung untuk belajar dan apabila dewasa, mereka lebih memilih kerjaya yang berdasarkan akademik.
- Pemimpin Semulajadi
Ini merupakan salah satu fakta anak sulung yang tidak dapat disangkal lagi. Mahu tidak mahu, merekalah kakak dan abang. Bila dah ada adik, kadang kala ibu menyuruh mereka bantu tengok-tengokkan keadaan adik. Dari sini mereka sifat kepimpinan mereka mulai tumbuh.
- Berdikari
Memandangkan mereka yang pertama, jadi mereka tiada tempat untuk merujuk. Merekalah yang pertama ke sekolah, yang pertama ke universiti. Sepanjang proses itu, mereka menggunakan naluri diri sendiri melakukan sesuatu dan seterusnya, belajar untuk berdikari.
- Pendirian Yang Kuat
Mereka tahu apa yang mereka mahu dan tidak ada satu pun yang mampu menggagalkan kemahuan mereka. Boleh jadi ini kerana pengaruh tanggungjawab yang dipikul dan keadaan yang memaksa mereka lebih keras dalam hidup.
- Harapan Keluarga
Anak sulung menjadi contoh kepada adik-adik yang lain. Jika baik mereka, maka baiklah adik-adiknya nanti. Tanggungjawab kita ialah membantu mereka menjadi yang terbaik dalam apa jua yang mereka usahakan.
- Sifat Keibuan Yang Tinggi
Terutamanya buat anak perempuan, naluri keibuan mereka lebih menyerlah. Manakan tidak, mereka terpaksa dewasa sebelum usia. Perlu membantu ibu melakukan kerja rumah dan menjaga adik-adik.
- Pendengar Yang Setia
Hargailah anak sulung. Mereka ialah penghubung antara Mama dan Ayah dengan adik beradik yang lain. Anak pertama selalu menjadi tempat adik-beradik dan Mama serta Ayah meluahkan perasaan mereka. Bila difikirkan kembali, ini antara jasa anak sulung yang selalu kita tak perasan.
- Selalu Beralah
Anak pertama yang paling banyak mendengar cerita tetapi dia juga yang paling banyak mengalah. Semuanya sebab nak jaga hubungan baik dalam keluarga. Mereka sudah terbiasa menerima keadaan dan menyimpan perasaan dalam hati.
- Sangat Tegas
Fakta anak sulung yang ketara yang seterusnya adalah anak sulung lebih tegas berbanding anak-anak yang lain. Keadaan memaksa mereka berbuat seperti itu. Ada keluarga yang perlu dijaga, adik-adik yang perlu dikawal. Jadi kerana itu, karakter tegas mereka lebih terserlah.
- Jiwa Melankolik
Selalu kita dengar, orang yang kelihatan paling kuat, dialah yang paling memendam rasa. Disebabkan anak sulung jarang berkongsi dengan Mama dan Ayah jadi cara mereka memujuk perasaan ialah dengan melayani jiwa mereka sendiri dengan vibe-vibe melankolik.
- Bertolak Ansur & Rasional
Menurut Dr Fadzilah Kamsah, anak sulung ialah seorang yang bijak membuat keputusan. Dia telah terbiasa membuat keputusan dan dari masa ke masa mereka belajar bagaimana untuk mencari jalan tengah bagi sesuatu keadaan.
- Mengawal Keadaan
Anak pertama pandai mengawal keadaan. Pertama sekali kerana tidak mahu mana-mana pihak panik. Tambahan pula, mereka lebih banyak pengalaman dan bergaul dengan orang-orang, jadi mereka lebih faham bagaimana untuk meredakan keadaan.
- Seorang Yang Sensitif
Ada Mama dan Ayah yang beranggapan bila anak-anak diam dan tidak menyuarakan perasaan mereka, anak itu baik-baik sahaja. Mereka banyak menyimpan rasa seorang diri.
Sekali sekala, Mama jangan lupa tanyakan anak sulung perasaan mereka ya. Mereka dah banyak berkorban untuk keluarga.
- Romantik
Buat yang akan berkahwin dengan anak pertama, anda dan boleh jangka bagaimana untuk menjalinkan hubungan dengan mereka. Layanilah mereka dengan cara-cara yang romantik kerana cara itu membuatkan mereka bahagia.
- Lebih Kecil Berbanding Anak Lain
Anak sulung lebih cenderung untuk lebih tinggi dan berbadan kecil berbanding adik beradik mereka. Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism Endocrine Society, berpendapat keadaan itu disebabkan oleh perkembangan mereka semasa di dalam rahim Mama.
- Mudah Memaafkan
Hatinya lembut oleh kerana itu mereka mudah memaafkan kesalahan orang lain. Mereka sejenis yang tidak mahu memanjangkan keadaan. Kadang-kadang kita kita tak perasan karakter yang satu kerana dilindung oleh sifat tegas dan garang mereka.
- Pemurah
Hati anak sulung jika dididik dengan baik sebenarnya mempunyai banyak nilai-nilai murni. Anak pertama sudah terbiasa berkongsi dengan adik-adik bahkan mengorbankan perasaan mereka sendiri. Hati-hati kalau mereka berlebihan dalam memendam perasaan. Risau kalau-kalau mereka terganggu emosinya nanti.
- Lebih Matang Dari Usia
Dengan segala tanggungjawab dan harapan dari Mama dan Ayah, tak hairanlah kalau mereka lebih dewasa sebelum usia. Bahkan ada kalanya kematangan mereka kelihatan apabila berada di kalangan rakan sebaya.
- Mudah Dikejutkan
Mungkin kedengaran aneh tapi inilah faktanya. Kelebihan yang ada pada anak pertama. Pagi-pagi nak ke sekolah, tak perlu susah payah kejutkan dua, tiga kali lagi. Syukur, memudahkan kerja Mama dan Ayah.
Kesimpulannya, anak sulung perlu menggalas banyak tanggungjawab kepada Mama dan Ayah dan juga kepada adik-adik. 19 fakta yang Mama Siti kongsikan ini diharap dapat membantu Mama melayani anak sulung dengan selayaknya.
Banyak pengorbanan dan jasa mereka. Mereka terpaksa menjadi matang walaupun masih kanak-kanak. Banyak perkara yang mereka harus simpan dan tidak diceritakan. Jadi, sekarang kita dah tahu tentang anak pertama. Rajin-rajinlah kita tanyakan tentang perasaan mereka.