Kita biasa mendengar tentang kes meroyan selepas bersalin, atau lebih dikenali sebagai postpartum syndrome. Namun, tidak ramai yang tahu tentang masalah dan pergolakan masalah emosi bagi ibu-ibu yang SEDANG mengandung.
Kesihatan emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, terutamanya buat ibu-ibu yang sedang hamil. Kesihatan emosi berkait rapat dengan kesihatan fizikal dan sekaligus mempengaruhi perkembangan bayi yang dikandung. Maka, ibu-ibu yang sedang hamil dan tidak mengalami gangguan emosi yang ketara lebih cenderung untuk melahirkan bayi yang sihat dan tidak banyak komplikasi.
Faktor Yang Menyebabkan Perubahan Emosi Ibu Mengandung
Perubahan fizikal pada badan wanita yang mengandung terutamanya di trimester pertama memerlukan sepenuh perhatian. Namun kita sering terlepas pandang akan hal ini. Kehamilan boleh membuatkan seseorang teruja dan gembira dengan khabar yang diterima. Di samping itu, ia juga boleh mendatangkan perasaan penuh tekanan sehingga membuatkan emosi diri berbolak-balik tanpa arah.
Sebaik sahaja disahkan hamil, badan ibu akan mula bersedia untuk menjaga dan memelihara kehamilan tersebut. Ini akan menaikkan hormon wanita di dalam badan. Ia adalah satu proses semulajadi dan perlu untuk kehamilan. Namun demikian, peningkatan hormon progesteron dan estrogen ini memberikan kesan sampingan kepada ibu yang sedang mengandung.
Selain daripada alahan dan keletihan, ibu akan mengalami perubahan emosi atau mood swing dan perasaan sensitif dan mudah untuk bersedih hingga menangis tanpa sebab disebab ketidakstabilan hormon-hormon ini.
Perasaan berduka itu juga akan bergilir-gilir dengan perasaan teruja dan gembira untuk menyambut bayi yang bakal dilahirkan. Perasaan berbolak-balik ini adalah normal, terutamanya di trimester pertama kehamilan.
Ada banyak persoalan yang akan timbul, seperti adakah ibu akan melahirkan bayi yang sihat, atau apakah cara pemakanan yang terbaik? Ibu juga mungkin akan terlebih risau dengan sumber rezeki dan persediaan perbelanjaan yang banyak yang diperlukan untuk kehamilan ini. Seribu soalan akan menyerang minda ibu-ibu hingga ibu menjadi letih dan tak bermaya.
Simptom Gangguan Emosi Ibu Mengandung
Walaupun ia nampak seperti sesuatu yang normal dan akan berlalu tanpa memerlukan rawatan profesional, ada juga ibu yang mengandung yang menghadapi gangguan emosi disebabkan kehamilan sehingga menyebabkan penyakit depresi.
Antara simptom yang menunjukkan seseorang itu berada di dalam keadaan depresi atau gangguan emosi termasuklah:
- Rasa tiada harapan atau tidak berguna kerana hamil.
- Tidak mampu untuk fokus dalam menguruskan kehidupan normal atau rutin.
- Seringkali berasa risau atau tidak selesa tentang kehamilan dan melangkah ke alam ibubapa.
- Tidak berasa apa-apa, atau hilang semangat dan keterujaan untuk menyambut kelahiran bayi.
- Tidak boleh fokus atau mengelak untuk berintimasi.
- Rasa emosi yang berbolak-balik yang sentiasa konsisten dan berpanjangan.
- Rasa berdebar yang kronik hingga mengganggu rutin harian dan pernafasan.
Cara Merawat / Menenangkan Emosi Ibu Mengandung
Walaupun kebanyakan gangguan emosi semasa ibu mengandung hanya berlaku di awal trimester dan akan berkurang selepas itu, bukanlah bermakna ibu-ibu harus membiarkan sahaja perasaan yang mengganggu itu.
Ibu-ibu yang menghadapi masalah gangguan emosi ini akan memberi mudarat bukan sahaja kepada ibu berkenaan, tetapi juga bayi yang dikandungnya. Malahan, ada juga yang mengaitkan gangguan emosi semasa mengandung antara penyebab berlakunya kelahiran pramatang.
Ada beberapa cara dan langkah-langkah yang boleh diamalkan untuk merawat, menenangkan dan melegakan emosi ibu mengandung yang berbolak-balik itu.
Antaranya ialah:
#1 Amalkan rutin harian yang sihat
Kesihatan fizikal yang sentiasa letih dan tidak bermaya pastinya akan menyukarkan proses berfikir dengan jelas. Pastikan ibu-ibu mendapat rehat yang mencukupi dan sentiasa berfikiran positif walaupun kepenatan. Makanlah makanan yang sihat, dalam kuantiti yang sedikit, tetapi banyak kali. Tahan diri dari memakan makanan yang tinggi kandungan gula, minuman beralkohol, soda, teh atau kopi.
Senaman ringan yang dilakukan secara konsisten membantu meningkatkan mood yang baik serta bagus untuk bayi yang sedang dikandung dan memudahkan proses kelahiran. Jangan terlalu membebani diri dengan bersenam secara berlebihan.
#2 Jangan bersendirian
Jika ibu-ibu berasa muram dan bersedih hati, luahkanlah rasa yang terbuku di dalam dada kepada orang yang dipercayai. Elakkan dari berkongsi di media sosial kerana ia bukanlah platform terapi terbaik untuk ibu-ibu.
Jangan disimpan segala apa yang menganggu perasaan sendirian. Berbincanglah dengan pasangan dan rakan karib atau doktor ibu yang mungkin dapat memahami dan membantu melegakan kerungsingan yang ibu-ibu rasai.
#3 Hidupkan setiap momen
Jangan biarkan setiap detik dan saat yang berlalu dengan perasaan negatif yang meruntun jiwa. Hargailah waktu-waktu ini. Letakkan fokus kepada anak yang sedang dikandung dan berbahagialah. Bukan semua orang diberi rezeki menjadi ibu, dan hadirnya sekujur tubuh di dalam badan seorang ibu itu penuh harapan dan menagihkan kasih-sayang. Semailah harapan dan kasih sayang itu seindah-indahnya.
#4 Berzikir dan tenang
Banyakkan berzikir, membaca Al-Quran dan mendengar bacaan Al-Quran. Bagi yang bukan Islam, bolehlah mendengar muzik dan melodi indah atau kata-kata hikmah yang boleh menaikkan semangat insani di dalam diri.
Buangkan segala perasaan negatif yang hadir dan bayangkan masa depan yang indah dan ceria dengan hadirnya si manja kesayangan yang pastikan menjadi hidup anda lebih bermakna.