KelabMama

Dr Ini Kongsikan Tips Elak Mulut Berbau Ketika Ramadan

elakkan mulut berbau

Antara perkara yang tidak dapat dielakkan sepanjang Ramadan ini ialah masalah mulut berbau. Ia merupakan antara perkara yang tidak selesa untuk mereka yang berpuasa. Namun, mulut mereka yang berbau ketika Ramadan adalah lebih harum di sisi Allah.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak misk.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, untuk mengurangkan bau yang kurang menyenangkan, Mama boleh cuba tips-tips dibawah ini. Tips ini dikongsi oleh Dr Kamarul Ariffin di laman Facebook beliau. Jangan lupa untuk kongsikan dengan ahli keluarga dan rakan yang lain tau!

Tips Untuk Kurangkan Bau Mulut di Bulan Ramadan

#1 Minum Air Secukupnya

Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa. Maka semasa sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.

#2 Elakkan Kopi/Teh ketika Sahur

Kopi dan teh adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, makan kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi, dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.

#3 Kurangkan Bawang & Membawang!

Kurangkan makan bawang dan ‘membawang’. Bawang putih dan merah adalah antara makanan yang boleh buat nafas berbau. Manakala, terlalu banyak bercakap (membawang) pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau. Malah mungkin kurang pahala puasa tau!

#4 Makan Karbohidrat Secukupnya

Ada sesetengah orang cuba untuk mengurangkan berat badan secara intensif semasa bulan Ramadan. Mereka berpuasa dan tidak mengambil karbohidrat dan gula, dan ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis. Keadaan ini menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit ya!

#5 Berus Gigi dan Bersihkan Lidah

Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Oleh itu, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur dan selepas sahur. Gunakan juga floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan memberusnya. Boleh juga guna larutan pembersih mulut.

#6 Mulut & Hidung yang Sihat

Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjumpa dengan doktor. Masalah pada hidung, sinus, gigi, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Biar doktor periksa ya!

Pesan Mama Siti

Mama boleh cuba tips di atas dan juga kongsikan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain. Ingat tau, walaupun mulut kita mungkin akan berbau ketika berpuasa, namun ianya sangat harum di sisi Allah. Banyakkan berzikir, berkata perkara-perkara yang elok dan membaca Al-Quran di bulan yang mulia ini. Selamat berpuasa!