Beberapa hari lalu, suasana di sebuah pusat membeli-belah di Kedah bertukar kecoh apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mengalami detik cemas selepas kaki tersepit di eskalator.
Menurut laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khairuddin Abu Bakar bersama empat anggota, segera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati kaki kanan kanak-kanak tersebut tersepit pada eskalator. Anggota bomba bertindak pantas menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kakinya,” katanya.
Mangsa berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Setelah keadaannya stabil, kanak-kanak itu diserahkan kepada Mama Papanya sebelum dirujuk ke hospital swasta berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Operasi menyelamat itu berjaya diselesaikan sekitar jam 9.24 malam. Kejadian ini menjadi peringatan kepada Mama Papa agar lebih berhati-hati ketika membawa anak kecil menaiki eskalator.
Tips Keselamatan untuk Mama Papa yang Membawa Anak ke Pusat Beli-Belah
Membawa anak ke pusat beli-belah boleh jadi pengalaman yang menyeronokkan, tetapi keselamatan mereka perlu diutamakan. Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan kejadian tidak diingini:
- Pegang tangan anak – Sentiasa pegang tangan anak, terutama ketika menaiki eskalator atau di kawasan sesak.
- Elakkan anak berdiri di tepi eskalator – Pastikan mereka tidak bermain atau duduk di atasnya kerana ruang kecil di sisi boleh menyebabkan kaki atau kasut tersepit.
- Pilih kasut yang sesuai – Kasut jenis lembut seperti Crocs lebih mudah tersepit di eskalator. Pilih kasut yang bertutup rapat dan selesa.
- Gunakan lif jika perlu – Jika membawa stroller atau anak masih kecil, lif lebih selamat daripada eskalator.
- Ajar anak cara guna eskalator dan lif dengan betul – Ingatkan mereka untuk berdiri tegak, memegang pemegang, dan segera melangkah keluar apabila sampai di penghujung eskalator.
- Pantau anak sepanjang masa – Jangan leka dengan telefon atau sibuk membeli-belah hingga terlepas pandang pergerakan anak-anak.
- Gunakan tali keselamatan (harness) – Sesuai untuk anak kecil yang sangat aktif bagi memastikan mereka sentiasa dalam jarak selamat.
- Pakaikan gelang atau kad identiti – Letakkan nama dan nombor telefon Mama Papa supaya mudah dihubungi jika anak tersesat.
- Tentukan ‘checkpoint’ jika anak tersesat – Ajar mereka lokasi untuk berkumpul atau meminta bantuan daripada petugas keselamatan.
Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab utama Mama Papa, terutama di tempat awam yang sibuk seperti pusat beli-belah.
Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan ini, Mama Papa bukan sahaja dapat mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kaki tersepit eskalator, tetapi juga memastikan keselamatan si kecil setiap kali berada di pusat beli-belah.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan berita dan acara yang trending sekarang sekarang di SINI.