Telinga si kecil sering tersumbat dengan kotoran atau tahi telinga berlebihan? Sebagai Mama Papa, sudah pasti risau dan tertanya-tanya sama ada prosedur cuci telinga seperti ear irrigation selamat untuk bayi dan kanak-kanak.
![ear irrigation](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/dr-revadi-govindaraju.png)
Pakar ENT, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)
Ada yang beranggapan ia cara terbaik untuk membersihkan telinga anak, tetapi ada juga yang khuatir ia boleh menyebabkan masalah lain, seperti jangkitan atau kecederaan pada gegendang telinga.
Tambahan pula, telinga bayi dan kanak-kanak lebih sensitif, dan struktur telinga mereka masih berkembang.
Jadi, penting untuk Mama Papa memahami bagaimana prosedur ini dilakukan, bila ia diperlukan, serta risiko yang akan berlaku jika tidak dilakukan dengan betul.
Untuk menjawab segala persoalan Mama Papa, Mama Siti telah menemu bual Dr. Revadi Govindaraju, Pakar ENT dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Dalam perkongsian kali ini, beliau akan menerangkan lebih lanjut mengenai ear irrigation, termasuk manfaatnya, risiko yang perlu diperhatikan, dan bila prosedur ini sesuai dilakukan untuk anak-anak. Jom baca penjelasannya!
1. Boleh Doktor terangkan apa itu ear irrigation dan bagaimana prosedur ini dilakukan?
![ear irrigation](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/prosedur-ear-irrigation.jpg)
Ear irrigation adalah prosedur di mana aliran air disalurkan ke dalam saluran telinga untuk mengeluarkan tahi telinga dan sisa kotoran lain menggunakan peranti khas.
2. Selalunya dalam keadaan atau situasi apakah ear irrigation disarankan untuk dilakukan kepada kanak-kanak? Adakah ada keadaan tertentu yang memerlukan prosedur ini dilakukan segera?
![](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/tahi-telinga.jpg)
Beberapa petugas kesihatan melakukan prosedur ini apabila terdapat pengumpulan tahi telinga dalam saluran telinga.
Kadangkala, pengumpulan tahi telinga atau sisa kotoran boleh menyebabkan sakit telinga. Dalam situasi ini, ia perlu dibersihkan tetapi kaedahnya tidak semestinya irigasi.
3. Apakah ear irrigation ini sesuai dilakukan kepada bayi dan sekiranya ya, adakah prosedurnya sama seperti yang dilakukan kepada kanak-kanak?
Ear irrigation tidak disarankan untuk bayi atau kanak-kanak kerana sukar untuk menentukan tekanan dan suhu air, selain berisiko mencederakan gegendang telinga.
4. Apakah perbezaan utama antara jangkitan telinga luar (otitis externa) dan jangkitan telinga tengah (otitis media)? Bagaimana kedua-dua jenis jangkitan ini memberi kesan kepada pendengaran?
![ear irrigation](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/jangkitan-telinga.jpg)
Otitis externa ialah keradangan atau jangkitan pada telinga luar, manakala otitis media ialah keradangan atau jangkitan pada telinga tengah.
Otitis externa boleh dicetuskan oleh kelembapan berlebihan akibat berenang, kecederaan daripada penggunaan putik kapas, objek asing, atau masalah kulit seperti ekzema.
Otitis media pula sering berlaku bersama jangkitan saluran pernafasan atas. Kedua-dua keadaan ini boleh menyebabkan gangguan pendengaran.
5. Bagaimana jangkitan saluran pernafasan atas seperti selesema atau hidung tersumbat boleh menyebabkan jangkitan telinga pada kanak-kanak? Adakah ini berlaku lebih kerap pada usia tertentu?
![ear irrigation](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/tiub-Eustachian.jpg)
Jangkitan saluran pernafasan atas boleh merebak ke telinga tengah kerana tiub eustachian kanak-kanak yang menghubungkan hidung dan telinga lebih mendatar dan kecil.
Keadaan ini biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak bawah tujuh tahun, terutamanya mereka yang berada dalam jagaan taska, mempunyai masalah kesihatan seperti lelangit sumbing, terdedah kepada asap rokok pasif, serta bayi yang diberi susu botol.
6. Adakah prosedur ear irrigation ini menyakitkan atau menakutkan bagi kanak-kanak, terutamanya bagi mereka yang masih kecil atau baru pertama kali menjalani prosedur ini?
Ya, ear irrigation boleh menakutkan kanak-kanak dan jika tidak dilakukan dengan betul (menggunakan tekanan serta suhu air yang sesuai), ia boleh menyebabkan kecederaan pada saluran telinga dan gegendang telinga.
7. Pada umur berapakah prosedur ear irrigation sesuai dilakukan? Adakah terdapat had umur atau faktor lain yang perlu dipertimbangkan sebelum melakukan prosedur ini pada kanak-kanak?
![](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/Kelab-Mama-83.jpg)
Secara umum, prosedur ini tidak disarankan untuk kanak-kanak. Tahi telinga sebenarnya berfungsi sebagai perlindungan dan sebaiknya dibiarkan sahaja.
Prosedur ini juga tidak digalakkan sekiranya terdapat kemungkinan gegendang telinga telah berlubang, kehadiran tiub ventilasi, jangkitan, objek asing, dan sebagainya.
Jika ada sebarang kebimbangan, pakar ENT perlu menilai keadaan telinga terlebih dahulu.
8. Adakah penggunaan kapas telinga (cotton buds) berbahaya bagi kanak-kanak?
Penggunaan putik kapas adalah berbahaya kerana sukar untuk menentukan kedalaman kemasukan. Ia boleh menyebabkan serpihan kapas tertinggal atau mencederakan saluran telinga serta gegendang telinga.
9. Adakah jangkitan telinga yang tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kekal? Jika ya, sejauh mana kesannya terhadap perkembangan pendengaran kanak-kanak?
![](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/hilang-pendengaran.jpg)
Jangkitan telinga yang tidak dirawat boleh berpotensi menyebabkan kehilangan pendengaran.
Bergantung pada jenis kehilangan pendengaran, sesetengah punca boleh dirawat, tetapi ada juga seperti kehilangan pendengaran sensorineural yang tidak boleh dirawat dan menyebabkan kehilangan pendengaran kekal.
Gangguan pendengaran akan menghalang kanak-kanak daripada mendengar, sekali gus menjejaskan perkembangan pertuturan dan bahasa, perkembangan psikososial, serta prestasi akademik di sekolah.
10. Boleh doktor cadangkan kaedah pencucian telinga yang selamat dan berkesan untuk Mama Papa lakukan di rumah?
![](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2025/02/cara-bersihkan-telinga-anak.jpg)
Sebaiknya tahi telinga dibiarkan sahaja. Namun, jika terdapat pengumpulan tahi telinga yang berlebihan, kain basah atau bebola kapas boleh digunakan untuk membersihkan bahagian paling luar telinga.
Pelembut tahi telinga dalam bentuk titisan atau semburan juga merupakan pilihan yang lebih selamat.
Penggunaan putik kapas, lilin telinga, alat pencungkil dengan kamera tidak disarankan kerana berisiko menyebabkan kecederaan.
11. Sepanjang doktor berada dalam bidang ini, boleh doktor kongsikan pengalaman mengenai prosedur atau rawatan berkaitan jangkitan telinga, hidung dan tekak (pada kanak-kanak/bayi) yang paling mencabar atau sukar yang pernah doktor lakukan?
Jangkitan paling mencabar yang pernah saya tangani adalah ketika merawat kanak-kanak yang mengalami imunokompromi akibat penyakit kanser pada usia muda dan sedang menjalani kemoterapi.
Mereka sangat rapuh, dan jenis jangkitan yang menyerang mereka biasanya luar biasa serta sukar dirawat.
Bagaimana anak-anak yang mempunyai hemofilia menjalani proses bersunat? Klik di SINI.