Tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama dan undang-undang. Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan agama, dapat memenuhi tuntutan biologi.
Semua pasangan suami isteri mengharapkan untuk beroleh zuriat yang baik setelah berkahwin, sebagai pelengkap rumah tangga yang dibina.
Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat, atau ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.
Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuanNya akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat.
Perubatan moden dan tradisional merupakan satu ikhtiar bagi pasangan suami isteri bagi mendapatkan zuriat. Setiap dari permasalahan dari pihak suami dan isteri akan dikenalpasti bagi mencari punca masalah mendapatkan zuriat.
Selain ikhtiar perubatan, dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh seperti membaca koleksi doa untuk zuriat ini:
Doa Memohon Zuriat
Berikut antara doa yang sering diamalkan serta dianjurkan yang menjadi ikhtiar bagi mendapatkan zuriat.
Pertama, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran:
Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah ALLAH s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa ALLAH berkuasa mengurniakan baginya anak.
Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.
Kedua, teruslah bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan mengamalkan Doa Nabi Zakaria Supaya Diberi Keturunan, ayat 89, surah Al-Anbiya’:
Doa Nabi Zakaria Supaya Diberi Keturunan
Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya. Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat.
Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t. yang hebat ini.
Selepas setiap solat fardhu, doa dari surah Al-Furqan ini boleh juga diamalkan bagi memohon kepada Allah buat pasangan yang memohon zuriat:
Doa Untuk Memohon Anak Yang Soleh dan Solehah
Doa Memohon Zuriat Kembar
Selain berdoa untuk mendapatkan zuriat, ada juga pasangan yang menginginkan cahaya mata kembar. Terdapat kajian yang menyatakan pasangan kembar mempunyai genetik yang tersendiri dan mempunyai kebarangkalian yang tinggi bagi mendapat anak kembar di dalam keluarga mereka.
Namun setiap pasangan boleh mengamalkan doa yang tertentu bagi memohon kepada Allah agar dikurniakan zuriat kembar. Antara doa zuriat yang boleh diamalkan ialah ayat 120 surah As-Saffat dan ayat 50 surah As-Syu’araa:
Amalan-amalan untuk Memperolehi Zuriat
Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan.
Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.
Di dalam berdoa, kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk memakbulkan doa kita tersebut.
Yang paling penting, mulakan doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa. Pasangan suami isteri juga boleh mengamalkan doa dari surah Al-Anbiya’ ayat 30:
Mungkin suami dan isteri juga boleh mencuba amalan-amalan di bawah ini. Semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.
- Amalan pertama.
Selepas Fajar ataupun Solat Subuh:
- Baca Bismillah 1 kali.
- Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
- Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali.
- Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan. (Umpamanya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada hamba mu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat).
- Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.
Petua ini baik bagi suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa.
- Amalan kedua.
- Suami hendaklah membaca “Ya Mutakabbir” (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11 kali sebelum bersama dengan isteri.
- Isteri hendaklah membaca “Ya Awwal” (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari.
- Isteri hendaklah membaca setiap hari “Ya Zaljalaali Wal Ikram” 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
- Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf/surah Maryam setiap hari.
Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT agar mendapat zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya.
Cara Cepat Hamil
Selain itu, berikut adalah tips dan petua cara cepat hamil yang boleh diamalkan bagi pasangan suami isteri:
1) Sentiasa berdoa pada Allah SWT
2) Pemeriksaan kesihatan pasangan
3) Amalkan cara hidup sihat (pemakanan)
4) Banyakkan bersenam dan melakukan aktiviti riadah
5) Ketahui masa subur anda
6) Mengambil vitamin dan makanan tambahan
7) Jumpa doktor pakar
8) Elakkan tekanan
9) Jauhi rokok
Amalan dan Petua Ketika Mengandung
Setelah berjaya hamil, setiap dari pasangan perlulah meneruskan berdoa dan mengamalkan amalan yang baik untuk zuriat.
Bagi ibu yang sedang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya.
Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:
- Taubat dan Istighfar
Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, ALLAH s.w.t. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.
- Puasa Sunat
Berpuasa sunat. Khusus untuk suami, banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah).
Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.
- Manfaat masa
Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.
- Doa
Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar ALLAH s.w.t. mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.
- Membaca Al-Quran
Banyakkan membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah, tetapi di sini ustazah mengkhususkan surah-surah yang dibaca serta kesannya.
- Surah al-Fatihah – Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan.
- Surah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.
- Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.
- Surah Yusuf – Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.
- Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat berhati-hati.
- Surah Yaasin – untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
- Surah Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.
- Surah an-Nahl – Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.
Hadirnya cahaya mata dalam kehidupan keluarga menambahkan suasana dan emosi di dalam rumah tangga. Dalam mengharapkan kehadiran zuriat dan cahaya mata yang menjadi pelengkap keluarga, setiap dari kita perlu memahami dan menerima ketentuan yang telah Allah tentukan.
Doa adalah tunjang utama selepas usaha untuk mengecapi sesuatu impian, setelah ikhtiar lain yang dicuba. Di dalam Al Quran dan hadis, terdapat banyak doa agar mudah dikurniakan zuriat.
Setiap pasangan suami isteri haruslah mengamalkan doa-doa yang dianjurkan dengan mengikut adab-adab berdoa. Ianya diharuskan membacanya ketika waktu-waktu mustajab berdoa.
Setiap dari pasangan harus yakin dan percaya kepada ketentuanNya yang telah tertulis, dan rezeki dikurniakan zuriat merupakan anugerah yang tidak ternilai patut dihargai oleh setiap pasangan.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap sesuatu yang tidak kamu ketahui.”
(Al-Baqarah: ayat 216)