Maka lazimlah untuk pengantin membacakan beberapa doa setelah bernikah hinggalah doa ketika malam pengantin untuk memohon perlindungan Allah dan supaya Dia memberkati perkahwinan ini.
Indahnya agama Islam kerana setiap hal, ada diajarkan doa-doa yang baik termasuklah doa dari tetamu kepada pengantin.
Berikut ini Mama Siti telah merangkumkan doa untuk pengantin yang bernikah dalam Islam. Bacaan arab, rumi serta maksudnya pun telah Mama Siti sediakan sekali.
Senarai Doa Yang Baik Untuk Pengantin Baru
#1 Doa untuk pengantin
(Dibaca oleh tetamu dan ahli keluarga)
بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
‘Baarakallahu laka wa baaraka ‘alaika wa jama’a bainakuma fi khayrin’
Maksudnya: “Semoga Allah memberkati ketika bahagia dan ketika susah, serta mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
#2 Doa untuk orang yang mengundang ke majlis perkahwinan
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ، وَبَاِرِكْ لَهُمْ فِيْمَا رَزَقْتَهُمْ
Maksudnya: Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka dan berkatilah mereka pada apa-apa yang Engkau kurniakan kepada mereka.”
(Hadis riwayat Ahmad)
اَللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي، وَاسْقِ مَنْ سَقَانِي
Maksudnya: Ya Allah, berikanlah makan kepada orang yang telah memberi makan kepadaku, dan berkahilah minum kepada orang yang telah memberi minum kepadaku.”
(Hadis riwayat Muslim)
#3 Doa Selepas Akad Nikah
(Dibaca oleh pengantin lelaki)
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ
Allaahumma innii as’aluka khairahaa wa khaira maa jabaltahaa ‘alaihi, wa a’uudzubika min syarrihaa wa syarri maa jabaltahaa ‘alaihi.
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kebaikannya dan kebaikan tabiatnya yang ia bawa. Dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan tabiat yang ia bawa.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
#4 Doa sebelum berhubungan suami isteri
بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا.
‘Bismillah, allahumma jannibnaasy syaithoona wa jannibisy syaithoona maa rozaqtanaa’
Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah aku dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari anak yang akan Engkau karuniakan kepada kami.”
(Hadis riwayat Bukhari)
#5 Doa memohon diberi anak-anak yang soleh
(Surah As-Saffat ayat 100)
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
‘Robbi hab lii minash-shoolihiin’
Maksudnya: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh.”
Surah Ali Imran ayat 38
رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَآءِ
‘Robbi hab lii mil ladungka zurriyyatang thoyyibah, innaka samii’ud-du’aaa`
Maksudnya: “Ya Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.”
Kelebihan Mendoakan Pengantin Baru
#1 Elakkan Dari Keburukan
Ketika berdoa untuk pengantin, kita akan mengharapkan agar pengantin sentiasa dijauhkan dari kejadian-kejadian buruk yang mungkin berlaku.
Sebagaimana kita mendoakan untuk pasangan pengantin, insya Allah begitu jugalah yang akan diperolehi oleh diri sendiri.
Diriwayatkan dari Abu Sa’id: “Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandung dosa dan memutuskan silaturahmi melainkan Allah akan beri padanya tiga hal: Allah akan segera mengabulkan doanya, Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menghindarkan darinya keburukan yang semisal.”
Para sahabat lantas mengatakan, “Kalau begitu kami akan memperbanyak berdoa. Nabi SAW lantas berkata, “Allah nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kalian.”
(Hadis riwayat Ahmad)
#2 Permudahkan Urusan Pengantin dan Majlis Perkahwinan
Urusan pernikahan bukanlah hal yang mudah, banyak individu yang terlibat. Bermula dari sebelum majlis berlangsung hinggalah selesai.
Hanya Allah yang mampu mengatur urusan manusia lebih baik dari rancangan manusia. Oleh itu, ayuhlah kita berdoa agar tiada aral melintang sepanjang majlis berlangsung.
Kata Allah dalam Surah An-Naml ayat 62;
“Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya).”
#3 Menenangkan Hati
Dalam Al-Quran ada merekodkan bahawa Allah akan mententeramkan hati orang yang berdoa kepadaNya. Kumpulkan sepenuh hati dan minta kepada Allah dengan penuh pengharapan.
“Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah. At-Taubah: 103)
Perkahwinan ialah ibadah. Ianya ialah salah satu ibadah yang paling panjang dalam riwayat seseorang manusia.
Segala hal-hal baik yang terjadi dalam perkahwinan dianggap ibadah. Alangkah baiknya kalau kita sulamkan doa-doa untuk pengantin dan juga kepada ahli keluarga yang terlibat.
Mudah-mudahan Allah memberkati perkahwinan itu dan menjadi keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah.
Ada lebih banyak informasi berkaitan pertunangan dan perkahwinan di SINI!