KelabMama

Bacaan Doa-doa Terbaik untuk Anak Yang Mama Papa Boleh Amalkan

mak doa untuk anak

Sumber: cloudfront.net

Anak-anak yang lahir merupakan penyeri dan pengikat kasih sayang di dalam sesebuah keluarga. Mama dan Papa pasti sentiasa mengimpikan zuriat yang soleh dan solehah juga bijak pandai selain turut mendengar kata dan baik dengan semua orang selepas diberikan didikan yang sempurna serta ajaran yang betul.

Seawal dari dalam kandungan ibu, banyak sekali doa-doa yang boleh diamalkan bagi membentuk peribadi dan juga kehidupan seorang anak. Kebanyakan ibu bapa sentiasa mahu berikan didikan dan ajaran yang terbaik untuk anak mereka.

Sumber: islam.semangatnews.com

Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa akan berasa risau dengan persekitaran anak-anak yang boleh memudaratkan masa depannya. Dalam kepesatan teknologi yang serba moden pada hari ini, sejauh mana Mama dan Papa boleh memantau anak-anak?

Segala bentuk pendedahan yang tidak terbatas pada hari ni boleh menyebabkan runtuhnya akhlak anak-anak kita. Hanya kepercayaan dan doa sahaja yang boleh menjadi pendinding kepada anak-anak supaya terhindar daripada gejala sosial.

Bagi yang beragama Islam, setiap dari kita bolehlah mengamalkan doa-doa mujarab yang boleh dibaca untuk membentuk anak-anak yang baik dari segi kebijaksaan dan juga sikap menghormati orang tua.

Islam juga menyarankan semua ibu bapa memberikan didikan yang baik mengikut ajaran Islam supaya membentuk setiap anak-anak yang dilahirkan menjadi orang yang berguna terhadap agama dan bangsa serta negara berjaya dunia dan akhirat.

Sumber: popmama.com

Terdapat banyak doa yang mustajab daripada surah-surah ayat suci Al-Quran yang terbukti sangat berkesan untuk membentuk anak-anak supaya cerdik dan pandai.

Ucapan doa dari Mama dan Papa sendiri adalah doa yang terbaik buat anak-anak, apatah lagi dari seorang ibu, yang amat mustajab ucapannya.

Berikut merupakan antara doa yang selalu disarankan dan diamalkan untuk anak-anak, baik lelaki mahupun perempuan.

1. Doa Agar Anak Menjadi Penyejuk Mata

رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا

Maksudnya: “…Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan ayat 74)

Doa ini sangat elok diamalkan oleh setiap pasangan yang mendambakan keluarga yang bahagia. Ini kerana, doa ini bukan sahaja memohon agar beroleh pasangan serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan penenang hati, malah, doa ini juga memohon agar kita sebagaiibu bapa dapat menjadi role model (qudwah hasanah) buat anak-anak.

2. Doa Agar Anak Rajin Solat

رَبِّ ٱجعَلنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّل دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. (Surah Ibrahim ayat 40)

Doa ini adalah doa Nabi Ibrahim as untuk anak-anaknya. Sungguh besar harapan ibu bapa, agar zuriat keturunannya adalah dari golongan yang menjaga solat. Sebagai ibu bapa, kita tidak mampu nak perhatikan anak-anak kita setiap masa, mudah-mudahan, dengan doa ini, anak-anak serta zuriat keturunan kita sentiasa terpelihara dan memelihara solat mereka.

3. Doa Agar Anak Diberi Rahmat

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

Maksudnya: “…Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)…” (Surah al-Ahqaf ayat 15)

Doa ini membawa maksud yang sangat mendalam. Sebagai seorang hamba kepada Allah swt, sememangnya kita perlu sentiasa berdoa agar kita tidak lalai dengan nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan. Malah, doa ini juga memohon agar kita serta zuriat keturunan kita dapat terus istiqamah beramal soleh kepada Allah swt.

4. Doa Agar Anak Mentaati Perintah Allah

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيم

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah ayat 128)

Doa ini dibacakan oleh Nabi Ibrahim as ketika membina Kaabah bersama Nabi Ismail as. Mudah-mudahan dengan mengamalkan doa ini, kita serta keturunan kita menjadi hamba Allah yang taat dan beribadah dengan cara yang benar serta tidak sesat. Semoga Allah menerima taubat kita.

5. Doa Mendapat Zuriat Yang Baik

قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآء

Maksudnya: “…Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali Imran ayat 38)

Doa ini dibaca oleh Nabi Zakaria as ketika memohon daripada Allah swt agar dikurniakan zuriat. Nabi Zakaria sudah bertahun-tahun kahwin tetapi diuji dengan tiada zuriat. Nabi Zakaria as tanpa putus asa sentiasa berdoa kepada Allah swt agar dikurniakan zuriat yang soleh sebagai penyambung dakwahnya. Akhirnya Allah swt perkenankan doa Baginda dan mengurniakan seorang anak yang bernama Nabi Yahya a.s.

6. Doa Agar Anak Diberi Kefahaman Agama

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Maksudnya: “Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”

Doa ni dibaca oleh Rasulullah saw sewaktu baginda mengusap kepala Ibnu Abbas ketika beliau kanak-kanak. Dan kesannya Ibnu Abbas menjadi seorang yang bijak dan tawaduk. Beliau adalah yang paling banyak meriwayatkan hadis Rasulullah saw semasa hayat beliau.

Anda boleh amalkan bacaan doa ini kepada anak-anak sambil mengusap ubun-ubun mereka. Boleh baca doa ini sewaktu anak-anak tidur ataupun sebelum pergi ke sekolah.

7. Doa untuk Melembutkan Hati Anak yang Degil

Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah As-Syura ayat 19.

Maksudnya: “Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (19)

Kelazimannya doa ini dibaca 19 kali pada air dan minta anak tersebut meminumnya. Insya-Allah, dengan izin Allah perangai anak yang degil akan berubah kepada baik. Doa ini juga boleh dibacakan pada ubun-ubun anak itu ketika dia tidur. Setelah berdoa, ibu bapa haruslah berserah kepada Allah s.w.t.

8. Doa untuk anak Lembut Hati, Pintar dan Soleh

Para ibu boleh mengamalkan do aini ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran:

Maksudnya: “….Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (200) 

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang.

9. Doa Anak Taat Perintah Allah

Doa ini diambil dari Surah Al-Baqarah ayat 128, memohon supaya anak-anak dlindungi dan taat kepada perintah Allah s.w.t serta menghindari laranganNya seperti yang tertulis di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “….Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (128)

Amalkan dan bacalah doa ini setiap kali selepas solat.

10. Doa agar Anak Mendengar Kata

Amalkan membaca Surah Al-Anbiya ayat 69.

Maksudnya: “….Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!. “ (69)

11. Doa Memohon Rahmat dan Keberkatan

Setelah mengamalkan ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menjadi doa kelaziman untuk anak-anak, ibu bapa juga dituntut untuk meminta rahmat dan keberkatan dalam setiap yang dilakukan supaya hasilnya akan lebih baik. Ayat dari surah Ali-‘Imran ini boleh diamalkan selalu, terutamanya setiap kali selepas solat.

Surah Al-Imran ayat 8-9

Maksdnya: “….Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (8) 

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.” (9) 

Terdapat banyak waktu di mana doa mustajab dan mudah dikabulkan. Salah satunya ialah ketika dalam sujud. Ianya tidak dikhususkan hanya dalam sujud yang terakhir tetapi boleh dibaca dalam mana-mana sujud ketika solat. Doa yang dibaca pula perlu dibaca dalam bahasa Arab. Sekiranya do aini didalam bahasa Melayu cukuplah dibaca dalam hati sahaja.

Dari Ibnu ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Adapun ketika rukuk, maka agungkanlah Allah. Sedangkan ketika sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa, maka doa tersebut pasti dikabulkan untuk kalian.”
(HR. Muslim, HR. Muslim, No. 479)

Apa-apa doa pun, tak kisahlah doa untuk anak, ketika mengandung, dan lain-lain, sebenarnya boleh dibaca ketika sujud. Mintalah apa sahaja yang ingin diminta dengan bersungguh-sungguh, dan yakinlah ianya akan dikabulkan oleh Allah. 

Ibu bapa yang terbaik akan sentiasa mendoakan anaknya menjadi yang terbaik. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan didikan agama yang sempurna diberikan yang secukupnya kepada anak-anak mereka, terutamanya didikan berpandukan Al-Quran.

Biarlah setiap dari ibu bapa mendidik anak-anak dari kecil lagi. Supaya kelak, mereka membesar nanti dengan didikan agama. Semoga doa yang terbaik untuk anak-anak ini dapat dijadikan panduan dan bermanfaat untuk semua.

Bagi ibu bapa yang menghadapi anak-anak atau remaja yang bermasalah lelaki atau perempuan seperti degil dan melawan, malas belajar, panas baran, kurang ajar, tidak mendengar kata, tidak balik rumah dan sebagainya, banyakkanlah berdoa kepada Allah, sesungguhnya Dialah Maha Mendengar dan Mengabulkan permintaan hambaNya.