KelabMama

Lazimi Doa Taubat, Ikhlas Kerana Dia. Panduan Doa Taubat Beserta Makna

Setiap dari kalangan umat Islam semestinya terdetik di fikiran mereka untuk tinggal di negeri abadi yang lengkap serba serbinya. Ianya tak lain tak bukan ialah di syurga. 

Namun, untuk menjadi penghuni syurga, antara perkara yang kita perlu lazimi ialah bertaubat. Kita semua tidak terlepas melakukan kesalahan sama ada sesama manusia, kepada makhlukNya dan kepada Allah. 

Tambahan pula, dunia memang dijadikan sebagai tempat ujian untuk manusia. Meskipun kita telah cuba mengawal diri dari perbuatan dosa dan maksiat, kadang kala kita juga boleh tewas. 

Dek kerana kelemahan iman dan persekitaran yang mendorong perbuatan walaupun selama ini kita sedaya upaya menghindarkan diri dari melakukan perkara yang ditegah syariat. 

Oleh itu, berdoa ialah cara untuk memohon perlindungan dan pertolongan dari Allah SWT. Sesungguhnya, syaitan telah berjanji untuk menyesatkan umat manusia selagi mereka ada di dunia. 

“Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh karena Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka”

(Al Hijr: 39-42)

Itulah kata-kata iblis ketika ingkar untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Dalam artikel kali ini, Mama Siti sertakan beberapa potong doa taubat lengkap dengan bacaan ruminya sekali. 

Kredit gambar: Pinterest

DOA-DOA DARI NABI DAN RASUL

DOA TAUBAT #1

(Nabi Adam AS dan Hawa)

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ

(Al A’raf: 23)

“Qālā rabbanā ẓolamnā anfusana wa illam tagfir lanā wa tarḥamnā lanakụnanna minalkhāsirīn”

Maksudnya: 

Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi”

Sebenarnya, itu ialah barisan doa yang dipanjatkan oleh Nabi Adam dan isterinya, Hawa ketika mereka terpedaya dengan hasutan syaitan. Pasangan suami dan isteri ini telah mendekati satu pohon yang dilarang oleh Allah SWT. 

Baginda telah menyesali perkara itu seraya meminta ampun atas kesalahannya. 

Berikutlah kisah yang direkodkan di dalam Al Quran, surah Taha ayat 20 tentang permohonan maaf dari seorang nabi kepada tuhannya.

DOA TAUBAT #2

( Nabi Yunus AS)

وَذَا النُّوْنِ اِذْ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ اَنْ لَّنْ نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادٰى فِى الظُّلُمٰتِ اَنْ لَّآ اِلٰهَ اِلَّآ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ ۚ

(Al Anbiya: 87)

“Wa żańnụni iż żahaba mugāḍiban fa ẓanna al lan naqdira ‘alaihi fa nādā fiẓẓulumāti al lā ilāha illā anta sub-ḥānaka innī kuntu minaẓ-ẓālimīn”

Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus) , ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahwa Kami tidak akan menyulitkannya, maka dia berdoa dalam keadaan yang sangat gelap, “Tidak ada tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau. Sungguh, aku termasuk orang-orang yang zalim”

Selain melakukan dosa kepada orang lain, ada juga waktu dimana kita melakukan kesalahan terhadap diri sendiri. Terma yang selalu digunakan ialah menzalimi diri sendiri. 

Zalim terhadap diri sendiri bermaksud mengabaikan tanggungjawab dan melanggar hukum syarak.

Seperti dalam cerita Nabi Yunus AS ketika beliau membawa diri meninggalkan negerinya kerana putus asa dengan kaum Ninawa. 

Dipendekkan cerita, baginda terperangkap di dalam perut ikan Nun iaitu ikan besar yang menelan baginda setelah dikeluarkan dari kapal baginda naiki. 

Baginda membacakan doa di atas kerana menyedari kesalahan yang telah dilakukan kepada Allah dan ke atas diri sendiri. 

Sesungguhnya yang memberikan hidayah kepada seseorang ialah Allah SWT, seorang Nabi dihantarkan kepada sesuatu kaum untuk menyampaikan kebenaran tentang agama yang benar. Perkara selebihnya, hanya Allah yang berkuasa membuat keputusan. 

DOA TAUBAT #3

(Nabi Muhammad SAW)

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

(Hadis Bukhari dan Muslim)

“Allahumma innii zolamtu nafsii zhulman katsiiran wa laa yaghfirudz dzunuuba illaa anta faghfirlii maghfiratan min ‘indika warhamnii innaka antal ghafuurur rahiim”

Maksudnya: Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampuni lah aku dengan suatu pengampunan dari sisiMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ini ialah doa daripada Rasulullah melalui permintaan Abu Bakar As Siddiq untuk mengajarkan kepadanya satu doa ketika solat. 

Berdasarkan maksud doa taubat ini, kita jelas bahawa ianya ialah doa khas untuk memohon Allah mengampunkan dosa-dosa disebabkan kezaliman diri sendiri. 

Tambahan pula, hanya tuhan yang mempunyai kuasa atas perbuatan hambanya. Jadi memang seharusnya kepada Dia kita memohon keampunan. 

DOA TAUBAT #4

(Penghulu Istighfar)

اللّٰهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِيْ، فَاغْفِرْ لِيْ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلَّاأَنْتَ

(Riwayat Imam Bukhari)

“Allahumma Anta Rabbi, la ilaha illa Anta khalaqtani, wa ana ‘abduka, wa ana ala ahdika wawa’dika mastatha’tu, a’uzubika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bini’matika alayya wa abu’u laka bi dzanbi, faghfirli, fa innahu la yaghfiru zunuba illa anta”

Maksudnya: Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hambaMu. Dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan aku laksanakan dengan) segala kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui dosaku kepadaMu dan aku akui nikmatMu kepadaku, maka ampunilah aku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Mu.

Di dalam hadis yang sama, jika seseorang membaca doa ini dengan penuh keyakinan di siang hari maka dia akan termasuk dalam golongan penghuni syurga jika mati sebelum petang. 

Dan begitu jugalah jika seseorang membaca doa ini di waktu malam, akan tergolong dalam penghuni syurga jika meninggal sebelum pagi. 

DOA TAUBAT #5

(Syair Abu Nawas)

اِلَهِى لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ اَهْلًا 

وَلَا اَقْوَى عَلَى النَّاِر الْجَحِيمِ

فَهَبْ لِى تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوْبِي

فَإِنَّكَ غَافِرُ الذُنُوْبِ العَظِيْمِ

ذنوبِي مِثلُ أَعْدَادٍ الرّمَالِ 

فَهَبْ لِي تَوْبَةً يَاذَاالجَلاَل

وَعُمْرِي نَاقِصٌ فِي كُلِّ يَوْمٍ 

 وَذنْبِي زَائِدٌ كَيفَ احْتِمَالِي

َإلهي عَبْدُكَ العَاصِي أَتَاكَ 

 مُقِرًّا بِالذنوبِ وَقَدْ دَعَاك

َفَإِنْ تَغْفِرْ فَأنْتَ لِذاك أَهْلٌ 

 فَإنْ تَطْرُدْ فَمَنْ نَرْجُو سِوَاك

Ilahi lastu lil firdausi ahla
Wa’ala aqwa ‘ala naril jahimi
Fahabli taubatan waghfir dzunubi
Fainnaka ghafirudzdzambil ‘adziim

Dzunuubii mitslu a’daadir rimaali 
Fa hablii taubatan yaa dzaaljalaali
Wa ‘umrii naaqishun fii kulli yaumi 
Wa dzambii zaa-idun kaifah timaali

Ilaahii ‘abdukal ‘aashii ataaka 
Muqirran bidzdzunuubi wa qad da’aaka
Fa in taghfir fa anta lidzaaka ahlun 
Wa in tathrud faman narjuu siwaaka

Maksudnya:

“Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurga Mu
Namun, namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu
Ampunkan dosaku, terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar
Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Dengan rahmatMu, ampunkan daku oh tuhanku
Umurku ini setiap hari berkurang, sedang dosaku selalu bertambah, 
bagaimana aku menanggungnya
Wahai, Tuhanku!
Hamba Mu yang berbuat dosa telah datang kepada Mu dengan mengakui segala dosa, dan telah memohon kepada Mu
Maka jika engkau mengampuni, maka Engkaulah yang berhak mengampuni,
Jika Engkau menolak, kepada siapakah lagi aku mengharap selain kepada Engkau”

Syair yang kadang-kala menjadi alunan dodoian untuk bayi ini rupa-rupanya membawa maksud rintihan dari seorang hamba kepada tuhannya. 

Kredit gambar: Freepik

Paling penting dalam kita bertaubat ialah ikhlas. Jadilah benar dengan diri sendiri. Kita bertaubat kerana ingin menjadi orang yang lebih baik, dan berharap agar kesalahan lampau memberikan pengajaran. 

Sesungguhnya Allah tahu apa yang ada dalam jiwa hamba-hambaNya. Mama Siti harap kita semua tidak berputus asa memohon ampun dari Allah. Semoga Allah mempermudahkan jalan kita semua.