Apabila kita jatuh sakit, selain merawat penyakit tersebut dengan ubat-ubatan dan rawatan lain selitkan juga doa sembuh penyakit kepada Allah bagi mengharapkan kesembuhan. Penyakit merupakan salah satu ujian yang diberikan oleh Allah dan ia perlu dilalui oleh setiap hamba-Nya dengan penuh keimanan dan kesabaran.
Namun begitu, di saat diuji dengan kesakitan masih ramai yang mengeluh dan tidak tahan untuk melalui ujian yang diberikan ini. Perbuatan tersebut sebenarnya tidak dibenarkan dalam Islam.
Menurut Jabir bin Abillah, katanya:
“Bahawasanya Rasulullah S.A.W datang berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyab, maka beliau bertanya, “Sakit apa kamu sampai menggigil begitu?”
Ummu Saib menjawab, “Demam! Yang Allah S.W.T tidak memberi berkah kepadanya“.
Nabi S.A.W bersabda:
“Janganlah kamu menyalahkan penyakit kerana penyakit itu dapat menghilangkan kesalahan (dosa-dosa) anak Adam, seperti tungku api menghilangkan kotoran-kotoran basi“.
(Hadis riwayat Muslim)
Segala kesakitan itu walau berat untuk laluinya, tapi terhimpun seribu hikmah yang berpanjangan. Sakit juga dapat menghindarkan diri kita daripada seksaan api neraka.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dan api neraka“.
(Hadis riwayat al-Bazzar)
Terdapat juga dalil-dalil lain yang menyatakan bahawa Allah S.W.T akan menurunkan penawar bagi setiap penyakit yang diturunkan.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya:
“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”
(Hadis riwayat al-Bukhari 5678)
Daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W:
إِنَّ اللهَ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ، خَلَقَ الدَّوَاءَ، فَتَدَاوَوْا
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.”
(Hadis riwayat Ahmad 12596, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh meniali hadis sebagai sahih li ghairihi)
Pilihan Doa Sembuh Penyakit Yang Boleh Diamalkan
#1. Doa Untuk Kesembuhan Orang Sakit
Nabi Muhammad S.A.W mengajarkan kepada umatnya saat ada sahabat yang jatuh sakit, sentiasalah menjenguknya. Rasulullah S.A.W juga selalu membacakan doa untuk kesembuhan orang sakit. Tujuannya agar Allah SWT segera mengangkat penyakitnya serta memberikan kesembuhan pada orang sakit tersebut.
Salah satu doa untuk kesembuhan orang sakit yang dipanjatkan oleh Rasulullah S.A.W, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a:
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقْمًا
Allahumma rabban nasi, adzhibil ba’sa. Isyfi. Antas syafi. La syafiya illa anta syifa’an la yughadiru saqaman
Maksudnya:
“Tuhanku, Tuhan manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan karena Kau adalah penyembuh. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Kau dengan kesembuhan yang tidak menyisakan rasa nyeri.”
#2. Doa untuk Diampuni Dosa-Dosanya
Selain doa untuk kesembuhan orang sakit, Rasulullah S.A.W juga kerap menyebut nama orang sakit saat membaca doa. Seperti saat Rasulullah S.A.W menjenguk Sa’ad bin Abi Waqqasah, Nabi Muhammad S.A.W pun menyebut nama Sa’ad saat sedang berdoa.
Kita juga boleh mengamalkannya dengan menggantikan nama Sa’ad dengan nama orang yang ingin kita doakan. Nabi Muhammad S.A.W berdoa:
اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا، اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا، اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا
Allahummasyfi Sa‘dan. Allahummasyfi Sa‘dan. Allahummasyfi Sa‘dan
Maksudnya:
“Tuhanku, sembuhkan Sa‘ad. Tuhanku, sembuhkan Sa‘ad. Tuhanku, sembuhkan Sa‘ad.”
#3. Doa Untuk Orang Sakit Saat Ruqyah
Terdapat juga doa lain yang turut dipanjatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W, khususnya saat sedang meruqyah salah seorang sahabat. Bagi anda yang belum mengetahui, Ruqyah merupakan sebuah proses penyembuhan melalui ayat-ayat Al-Quran.
Berikut doa untuk orang sakit yang dipanjatkan oleh Rasulullah S.A.W:
امْسَحِ الْبَأْسَ رَبَّ النَّاسِ بِيَدِك الشِّفَاءُ لَا كَاشِفَ لَهُ إلَّا أَنْتَ
Imsahil ba’sa rabban nasi. Bi yadikas syifa’u. La kasyifa lahu illa anta.
Maksudnya:
“Tuhan manusia, sapulah penyakit ini. Di tangan-Mu lah kesembuhan itu. Tidak ada yang dapat mengangkatnya kecuali Kau“.
#4. Doa untuk Angkat Penyakit
Abu Dawud dan At-Tirmidzi juga meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan untuk membaca doa berikut di hadapan orang sakit sebanyak 7 kali bacaan. Dengan bacaan doa ini, semoga Allah S.W.T segera mengangkat penyakit yang telah dihidapi oleh orang tersebut.
Berikut doa yang di anjurkan untuk di baca oleh Rasulullah S.A.W:
أَسْأَلُ اللهَ العَظِيْمَ رَبَ العَرْشِ العَظِيْمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
As’alullāhal azhima rabbal ‘arsyil ‘azhimi an yassfiyaka.
Maksudnya:
“Aku memohon kepada Allah yang agung, Tuhan arasy yang megah agar menyembuhkanmu“.
#5. Doa Untuk Orang Sakit Diberi Perlindungan
Ketika menjenguk orang yang sedang sakit, selain membaca doa untuk kesembuhan, kita juga boleh membaca doa pengampunan dosa. Bukan itu sahaja, anda juga boleh membaca doa agar diberi perlindungan oleh Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W ketika menjenguk sahabat Salman Al-Farisi r.a adalah sebagai berikut:
شَفَى اللهُ سَقَمَكَ، وَغَفَرَ ذَنْبَكَ، وَعَافَاكَ فِي دِيْنِكَ وَجِسْمِكَ إِلَى مُدَّةِ أَجَلِكَ
Syafakallahu saqamaka, wa ghafara dzanbaka, wa ‘afāka fī dīnika wa jismika ila muddati ajalika
Maksudnya:
“Wahai (sebut nama orang yang sakit), semoga Allah menyembuhkanmu, mengampuni dosamu, dan mengafiatkanmu dalam hal agama serta fizikalmu sepanjang usia“.
Sebagai seorang hamba yang bertakwa sentiasalah sabar menghadapi segala ujian yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kerana melaluinya terselit hikmah yang akan memberi manfaat di masa hadapan mahu pun di waktu tersebut. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:
“Sungguh semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi orang mukmin. Jika ia mendapat kegembiraan, maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya, dan jika mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan ini merupakan kebaikan baginya“.
(Hadis riwayat Muslim)
Selain mengamalkan doa sembuh penyakit ini, anda digalakkan juga untuk memperbanyakkan doa taubat kepada Allah S.W.T. Anda boleh merujuk cara bacaannya di SINI!
Semoga perkongsian ini memberi pelbagai manfaat!
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.