KelabMama

Doa Selepas Solat Sunat Subuh. Solat Rawatib Kesukaan Nabi Muhammad SAW

panduan doa selepas solat sunat subuh

Pensyariatan amalan solat sunat mempunyai pelbagai manfaat kepada umat Islam. Mahu itu secara kebaikan di dunia mahupun di akhirat.

Solat sunat sebelum subuh merupakan salah satu solat rawatib yang selalu dilakukan baginda Nabi SAW. Bagi sebahagian umat Islam, ia juga dikenali dengan nama solat fajar.

Selesai menunaikan solat dua rakaat itu, ada doa yang boleh dibacakan. Sebaiknya kita tidak boleh melepaskan peluang ini. Sesungguhnya doa ialah medium penghubung seorang hamba kepada tuhannya.

Sebelum Mama Siti kongsikan doa selepas solat sunat subuh, mari kita ketahui lebih lanjut tentang solat qabliah subuh dan respon Rasulullah SAW terhadap solat itu.

Apa Itu Solat Qabliah Subuh?

Kredit gambar: UtusanTV

Solat sunat rawatib adalah merujuk kepada solat-solat sunat yang mengiringi dan mengikuti solat fardu, sama ada sebelum atau selepas solat fardu. 

Solat qabliah subuh ialah solat sunat yang didirikan selepas azan dan sebelum solat fardhu subuh. 

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, solat rawatib subuh hanyalah sebelum solat fardhu subuh sebanyak dua rakaat. Tidak ada solat selepas solat fardhu subuh seperti mana solat zohor, maghrib dan isyak.

Diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha

Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardhu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.

(Sahih Muslim)

Kredit gambar: Facebook

Doa Yang Boleh Dibaca Selepas Solat Sunat Subuh

Kredit gambar: Suara.com

Antara doa yang elok dibaca selepas solat sunat subuh adalah doa berikut:

Doa Selepas Solat Sunat Subuh #1

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، أَسْأَلُكَ أَنْتَ تُحْيِيَ قَلْبِي بِنُورِ مَعْرِفَتِكَ يَا ٱللّٰهُ يَا ٱللّٰهُ يَا ٱللّٰهُ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Dzaljalaali Wal-ikraaam, As-Aluka Anta Tuhyiya Qalbi BiNuuri Ma’rifatika Ya Allahu Ya Allahu Ya Allahu Ya Arhamar-Rahimin.  

Maksudnya:

Wahai yang hidup selama-lamanya, wahai yang mempunyai kebesaran dan kemurahan, aku memohon kepadaMu supaya menghidupkan hatiku dengan nur makrifatMu, ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai yang menghidupkan yang mati, wahai kekasih yang pengasih

(Hadis riwayat Tabrani)

Doa Selepas Solat Sunat Subuh #2

Kredit gambar: akuislam.com

‘Allahumma Robbu Jibrila Wa Israfila Wa Mika-i-la Wa Muhammadin Nabiyyi Sollallahu Alayhi Wasallam, A’uzuuBika Minan-narr’ 

Maksudnya:

Ya Allah, Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad SAW, aku memohon perlindunganMu daripada api neraka.

Solat Kesukaan Nabi SAW

Kredit gambar: muslimahdaily.com

Baginda Nabi SAW sangat mementingkan solat sunat fajar. Ia berdasarkan sebuah hadis dari Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

Maksudnya: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar”

(Riwayat al-Bukhari)

Tambahan lagi, kelebihan solat qabliah subuh bukan calang-calang. Segala yang berharga di dunia ini tidak ada yang boleh menandingi fadhilat dari solat sunat rawatib subuh.

Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”

(Riwayat Muslim)

Kelebihan Solat Sunat Sebelum Subuh

Khusyuk Dalam Beribadah

Ada satu senario yang banyak berlaku pada umat Islam hari ini iaitu meninggalkan amalan sunat kerana ia bukan wajib. 

Berbanding dengan para sahabat dahulu kala, mereka mencemburui apabila mengetahui ada di kalangan umat Islam yang banyak ibadah sunatnya.

Sangat berbeza dengan keadaan pada zaman sekarang. Ibadah sunat sering dipandang ringan dan tidak diberikan perhatian padahal ia ialah cara untuk kita menambah kekhusyukan dalam solat. 

“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solat mereka”

(Surah al-Mukminun: ayat 1-2)

Ayuh kita ambil peluang sementara masih hidup agar dapat menambah amalan-amalan sunat lebih-lebih lagi solat sunat sebelum subuh. 

Satu-satunya solat rawatib yang dijadikan perbandingan dengan segala kekayaan, kesenangan dan keindahan dunia. 

Setelah itu, jangan tergesa-gesa menunaikan solat subuh. Luangkan sedikit masa membaca doa selepas solat sunat subuh seperti yang Mama Siti kongsikan di atas.

Solat qabliah subuh ialah kesukaan Nabi SAW. orang-orang yang menyayangi baginda dan inginkan syafaat baginda di akhirat, perbanyakkan lah amalan sunnah seperti mana yang pernah dilakukan baginda semasa masih hidup. 

Semoga sedikit demi sedikit kita berusaha melengkapkan ibadah solat fardhu dengan solat rawatib terutamanya solat sunat sebelum subuh. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.