Dalam menjalani kehidupan seharian, kita akan dipanggil oleh Allah S.W.T. sebanyak 5 kali dalam sehari untuk kembali mengingati dan menyembahNya.
Seruan azan dilaungkan dan kita disarankan untuk berhenti melakukan apa sahaja yang kita sedang lakukan dan menghayati serta menyahut panggilan dariNya.
Sunat Menjawab Azan
Ketika azan berkumandang, kita dianjurkan untuk menjawab seruan azan seperti yang dilaungkan oleh muadzin. Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang dinyatakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ المُؤَذِّنُ
Maksudnya: “Apabila kalian mendengar adzan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muadzin”. – Riwayat al-Bukhari (576)
Jelaslah bahawa hukum menjawab azan dalam Islam adalah sunat muakkadah.
Berselawat Kepada Rasulullah S.A.W.
Seusai menjawab seruan azan, hendaklah diteruskan dengan selawat kepada Rasulullah S.A.W. selepas azan selesai dilaungkan. Hukumnya juga sunat dan kita dianjurkan untuk berselawat sebelum membaca doa selepas azan. Daripada Abdillah bin ‘Amr bin ‘Asr R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazdin, maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muadzin. Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana barangsiapa yang berselawat je atasku dengan satu selawat maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat). Setelah itu, mohonlah (doalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) yang mana ia tidak layak untuk sesiapapun melainkan buat hamba-hamba Allah. Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak). Maka barangsiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi SAW).” – Riwayat Muslim (384)
Doa Selepas Azan Dan Memohon Wasilah Untuk Rasulullah S.A.W.
Kemudian, tadahlah tangan dan berdoa dengan doa selepas azan kepada Allah S.W.T.. Daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Barang siapa yang mendengar azan dan berdoa, Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang Engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat. – Sahih Bukhari: 614
Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan.
Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang Engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan,
Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.
Dalam doa selepas azan ini juga, terkandung doa memohon wasilah untuk Rasulullah seperti yang dianjurkan dalam hadis daripada Abdillah bin ‘Amr bin ‘Asr R.A. di atas.
Berdoa Apa Yang Dihajati
Setelah selesai berselawat, berdoa selepas azan dan memohon wasilah kepada Rasulullah S.A.W., kita disarankan untuk berdoa tentang apa yang dihajati, baik untuk di dunia mahupun untuk di akhirat sana.
Ini berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik R.A.:
Maksudnya: “Doa yang tidak ditolak ialah doa antara azan dan iqamah”.
Oleh itu, ambilkan kesempatan untuk berdoa yang baik-baik dalam tempoh waktu ini. Sesungguhnya, doa itu adalah senjata umat Islam dan tanda diri seorang hamba yang memerlukan Tuhannya.
Amalan Doa Selepas Azan Yang Sunat
Marilah kita sama-sama menghormati azan dengan menjawab seruannya, berselawat dan memohon wasilah kepada Rasullulah S.A.W. dan berdoa selepas azan dilaungkan. Jom baca panduan zikir dan doa selepas solat fardhu.
Semoga Allah S.W.T melihat usaha kita dan mengurniakan rahmat dan berkatNya.