KelabMama

Doa Rabitah Menguatkan Jiwa-Jiwa Persaudaraan & Mencapai Persepakatan

Doa rabitah termasuk dalam himpunan zikir dan doa-doa di dalam Al-Makthurat. Risalah ini disusun oleh Imam Hasan al-Banna iaitu seorang pemimpin gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat, rabitah bermaksud perikatan atau perkumpulan. 

Doa ini dibacakan untuk menguatkan hati dan ikatan dalam sesebuah organisasi. Badan bukan kerajaan (NGO) boleh membaca doa ini semasa akhir pertemuan agar hati kita selalu bersatu. 

Namun jika kita tidak berada dalam mana-mana kumpulan, doa ini masih boleh dibacakan. Ini kerana pada dasarnya kita semua adalah saudara seagama. Apalah makna saudara seislam kalau tidak bersatu-padu.

Doa Rabitah (Arab, Latin dan Maksud)

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ , قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ

وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ, وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ

وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ

فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا, وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا

وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا

وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ, وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ

وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ

إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ

‘Allahumma innaka ta’lamu anna hadzihil qulub, qadijtama-at ‘alaa mahabbatik

wal taqat ‘alaa tha’atik, wa tawahhadat ‘alaa da’watik

wa ta ‘ahadat ‘ala nashrati syari’atik

Fa watsiqillahumma rabithataha, wa adim wuddaha, wah dihaa subulahaa

wamla’haa binuurikal ladzi laa yakhbu

wasy-syrah shuduroha bi faidil imaanibik wa jamiilit tawakkuli ‘alaik

wa ahyiha bi ma’rifatik, wa amitha ‘alaa syahaadati fii sabiilik

Innaka ni’mal maula wa ni’man nashiir’

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui hati kami. Kami telah berkumpul karena cintaMu, dan berjumpa dalam ketaatan padaMu, dan bersatu dalam dakwahMu, dan berpadu dalam membela syariat-Mu. Maka Ya Allah, kuatkanlah ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukkanlah jalannya, penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup, dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepadaMu. Serta indahnya takwa kepadaMu, dan hidupkan ia dengan ma’rifatMu, dan matikan ia dalam syahid di jalanMu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

Doa Rabitah UNIC

Kepentingan Bersatu Padu

Kredit gambar: Freepik

Pepatah melayu ada berkata ‘bersatu teguh, bercerai roboh’. 

Peribahasa ini memaparkan persefahaman dalam sesebuah masyarakat dapat membuahkan kejayaan manakala perbalahan akan menyebabkan perpecahan.

Apabila kita bekerjasama menjalankan peranan masing-masing, barulah objektif boleh dicapai. Namun jika kita saling berbalah, sukar dan bahkan mustahil sesuatu perkara itu mendapat kejayaan. 

اِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ اِخْوَةٌ فَاَصْلِحُوْا بَيْنَ اَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ 

(Surah Al- Hujurat, 10)

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat

Firman Allah SWT jelas meminta kita supaya saling berdamai dengan orang lain. Semoga dengan membaca doa rabitah, kita dapat membina keamanan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

Bahaya Berpuak dan Berpecah Belah

Kredit gambar: Freepik

Ada kalanya kita akan bertemu dengan kumpulan manusia yang berpuak-puak. Lebih merisaukan jika salah satu puak suka membuat onar dan melaga-lagakan antara satu sama lain.

Diriwayatkan oleh ‘Arfajah bin Shuraih bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ

Maksudnya: Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam)

(Hadis riwayat Al-Nasa’ie)

Hadis tersebut dipetik di dalam artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang membincangkan tentang muktamar kesatuan Islam.

Ia ialah larangan berpecah belah kerana dikhuatiri orang yang berjalan bersendirian atau keluar dari kelompoknya terjerumus dengan godaan syaitan.

Doa rabitah ialah doa yang baik dan tidak perlu diragui lagi kerana ia dipilih dalam risalah Al-Makthurat oleh Imam Hasan Al-Banna.

Doa ini dapat menguatkan hati dan mencegah kita dari berpecah belah. Lebih-lebih lagi dalam perkara persaudaraan sesama Islam. 

Ternyata terdapat kepentingan supaya manusia itu saling bersatu-padu. Ketika semua orang menjalankan peranan masing-masing, barulah kejayaan mampu diperolehi sekaligus membina keamanan dan kebahagiaan dalam kehidupan. 

Justeru, kita perlu faham tentang bahaya berpuak. Jelas sekali sabda Nabi SAW bahawasanya Allah bersama-sama orang yang berkumpulan. Lagi pula, golongan orang yang berpuak dibimbangi akan mudah terpengaruh dengan godaan syaitan. 

Semoga dengan mengambil tahu kepentingan dan bahaya berpuak, kita menjadi lebih bersemangat mengamalkan doa rabitah setiap hari.  Ayuh amalkan doa ketenangan hati!


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.