“Ya Allah takutnya nak presentation”
Mama pernah ada perasaan yang sama atau sedang melaluinya? Mama Siti pernah juga mengalaminya. Bukan sekali, banyak kali.
Boleh kata setiap kali perlu buat pembentangan, berdebar-debar rasanya. Kadang-kadang sampai berpeluh-peluh dibuatnya.
“Tapi aku nampak kau cool saja tadi,”
Tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu. Alhamdulillah kerana di sekolah menengah, Mama Siti telah didedahkan dengan doa ini.
Doa Penerang Hati dan Keutamaanya
Maksudnya: Ya Tuhan, lapangkanlah dadaku, mudahkan tugasku, lepaskan simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku
Nabi Musa memohon pertolongan kepada Allah SWT ketika beliau terpaksa berhadapan dengan firauan yang kejam.
Doa ini telah diabadikan dalam Surah Taha ayat 25 hingga 28.
Keutamaan Doa Penerang Hati
Perasaan takut, berdebar-debar dan bimbang sering menghambat diri ketika perlu membentangkan cadangan mahupun tugasan di universiti dan tempat kerja.
Ada pula yang gusar hatinya apabila perlu menghadiri temuduga tertentu. Ingatlah pesan Mama Siti agar membacakan doa penerang hati.
Apabila dibaca sebelum memulakan kelas, insya allah kita akan diberikan kemudahan dalam urusan ilmu pengetahuan.
Doa ini menerangkan kegelapan hati agar ilmu pengetahuan senang diterima. Jadi, ini bermakna sebelum mengulangkaji pelajaran dan membaca buku pun kita boleh baca doa penerang hati.
Doa ini juga sering dibacakan oleh penceramah dengan harapan pendengar memahami ucapannya dan diberikan kefahaman yang sebenar.
Adab Menuntut Ilmu
1. Bersungguh-sungguh
Jangan jadi pelajar dan penuntut ilmu yang ‘hangat-hangat tahi ayam’. Jadilah istiqomah dan cekal menimba ilmu pengetahuan meskipun jalannya penuh berliku.
Sabar dan tawakal pada Allah.
2. Mencari Sumber Ilmu
Ilmu itu pelbagai. Tapi ketahuilah banyak juga ilmu yang menyimpang dari landasan yang sebenar.
Biasakan diri untuk mencari kesahihan sesuatu hal yang disampaikan tidak kira siapa pun pemberi ilmu itu.
Pada akhirnya pemberi ilmu iu juga seorang manusia yang mungkin berbuat salah.
3. Beramal
Nabi SAW bersabda, “Perumpamaan seorang alim yang mengajarkan kebaikan kepada manusia, kemudian ia melupakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya) adalah seperti lampu (lilin) yang menerangi manusia, namun membakar dirinya sendiri.”
(HR At-Thabrani)
Manusia itu lumrahnya pelupa, apabila sering meninggalkan ilmu mereka cenderung melupakannya. Sungguh gerun dengan hadis dari baginda itu.
Tidak beramal dengan ilmu umpama membinasakan diri sendiri. Semoga kita diberi pertolongan untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari.
4. Kongsikan dengan Orang Lain
مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu tetapi menyembunyikannya, Allah akan menyebatnya dengan cemeti daripada api pada Hari Kiamat.
(Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Namun begitu kita juga perlu faham istilah ‘trade secret’ iaitu pengetahuan yang dirahsiakan untuk menjaga kepentingan perniagaan.
Contohnya resepi. Resepi ialah salah satu strategi perniagaan. Jadi wajarlah ada sebahagian peniaga tidak berkongsi resepi menu kedai mereka.
5. Ikut Resmi Padi
Perhatikan tanaman padi, semakin berisi semakin menunduk. Begitulah yang sepatutnya berlaku kepada seorang penuntut ilmu.
Dek kerana terpedaya dengan godaan syaitan, kita merasa kebijaksanaan yang dimiliki tiada tandingan dengan orang lain. Contohnya begini, kita seorang pendidik dan ada pelajar yang mempertikaikan sesuatu hal.
Disebabkan pemikiran ‘aku lebih pandai dari mereka’ maka kita merendahkan persoalan pelajar tersebut bahkan ada yang menjadinya bahan lawak.
Banyakkan berdoa agar kita dilindungi dari perbuatan seperti itu.
Kesimpulannya,
Perasaan takut, gementar dan bimbang itu semuanya normal. Jangan terus biarkan ketakutan menutup kemampuan diri sendiri.
Baca doa penerang hati sepenuh keyakinan dan pengharapan bahawa Allah akan memudahkan urusan.
Lihat sahaja kelebihan doa ini, ia dapat melancarkan percakapan serta memberi kefahaman kepada orang yang mendengarnya.
Selain itu, doa ini juga sebagai usaha agar Allah memberikan kefahaman lebih-lebih lagi terhadap sesuatu yang baru.
Mudah-mudahan dengan mengamalkan doa penerang hati, jiwa kita diterangi dengan cahaya kefahaman dan diberikan kelancaran dalam pertuturannya.
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.