Mustahil untuk kita menjadi manusia yang hidup di dunia ini tanpa menerima ujian dari Allah. Segala apa yang berlaku kepada hambaNya sentiasa berada dalam pengetahuan tuhan yang Maha Esa.
Diambil dari surah Al-Baqarah, Allah berfirman;
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
[Surah Al-Baqarah:155]
Allah dengan jelas ada menerangkan bahawa Dia pasti akan menguji kita dengan lima perkara:
- Ketakutan
- Kelaparan
- Kekurangan harta benda
- Kematian
- Kekurangan hasil tanaman
Apabila selalu menerima ujian, mungkin ada yang menyoalkan kenapa dugaan selalu singgah dalam hidup kita? Padahal, kita dah berusaha keras untuk mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.
Lagipun, kita selalu bersedia dengan macam-macam kelengkapan menghadapi hari yang sukar tetapi masih ada cabaran yang datang. Kenapa?
Mama sekalian, tarik nafas dan bertenang dulu okay. Kita kena ingat dalam dunia ini semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Hanya Dia yang berhak mengizinkan sesuatu perkara berlaku. Kita boleh minta sekian permintaan tapi tuhan yang buat keputusan.
Doa Nabi Yunus Dalam Ikan Nun
Baginda pernah putus asa ketika menjalankan dakwah. Tiada seorang pun dari umatnya menerima dakwah yang disampaikan. Kerana kekesalan itu, baginda kecewa dan membawa diri di atas kapal.
Baginda kemudiannya telah terperangkap di dalam perut seekor ikan yang besar iaitu ikan nun. Di dalam keadaan gelap gelita, baginda menyesali perbuatannya serta telah mengucapkan doa yang berbunyi;
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
‘Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin’
(Tiada tuhan (yang dapat menolong) selain Engkau (Ya Allah), Maha Suci Engkau. Sesungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang menganiaya diri sendiri)
[Surah Al-Anbiya: 87]
Khasiat Doa Nabi Yunus
1. Dikeluarkan Dari Masalah
Apa yang mudah bagi orang lain, boleh jadi sangat sukar untuk kita. Dengan membacakan doa Nabi Yunus ini, mudah-mudahan diberikan petunjuk menyelesaikan masalah.
Masalah yang macam mana Mama Siti? Tak kisah sebesar mana pun ia atau bagaimana orang lain memandangnya, Allah akan bantu setiap hamba yang meminta.
Jika anda mengalami kesusahan seperti bebanan hutang, kesempitan wang dan masalah di tempat kerja, apa kata amalkan doa mustajab Nabi Yunus ketika baginda berdoa dalam perut ikan.
Beberapa dari umat manusia ada yang menanyakan kenapa orang lain tidak diuji dengan situasi sama. Ketahuilah sebenarnya semua yang berlaku dalam hidup kita adalah untuk diri kita sahaja.
Allah tahu kemampuan hambanya. Boleh jadi kalau kita menerima ujian yang sama dengan orang lain, keadaan menjadi lebih parah. Oleh itu, Allah yang memiliki sifat kesempurnaan selalu ‘custom made’ jalan hidup seseorang.
2. Mudah Bersalin
Untuk Mama yang sedang hamil dan akan melahirkan dalam waktu terdekat mesti ada perasaan takut dan risau kalau ada yang tak lancar sepanjang proses kehamilan dan melahirkan.
Mama Siti faham dengan situasi tersebut. Kita akan fikirkan banyak perkara, lagi-lagi hal yang negatif. Untuk mengurangkan perasaan tersebut, banyakkan membaca doa Nabi Yunus agar dipermudahkan segala kesulitan.
Doa ini juga selalu diamalkan untuk memudahkan proses bersalin nanti. Kita minta pada Allah semoga kedua-dua anak dan Mama sihat dan selamat. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang memungkinkan kita terdedah dengan virus berbahaya.
Kalau boleh, jadikan sebagai zikir harian seperti selepas solat, zikir di waktu pagi dan petang mengikut keselesaan masing-masing.
Kita berdoa memohon semoga Allah memberikan jalan dari segala kesulitan dan kesusahan. Allah maha mengetahui, hanya dia yang tahu apa akan terjadi di masa depan.
Kita berkehendak dan Dia juga berkehendak tetapi sesungguhnya perancangan Allah jauh lebih baik berbanding manusia. Seperti dalam firmanNya;
“Dan mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Perancang”
(Surah Ali-Imran: 54)
3. Diperkenankan Hajat
Usaha, tawakal dan doa adalah tiga perkara yang mesti dilakukan bersama-sama ketika ingin mendapatkan hajat. Apa doa yang makbul untuk kita menyampaikan hajat kepada Allah?
Ada banyak doa yang diajarkan dalam Islam dan salah satunya ialah doa Nabi Yunus. Uniknya ayat ini, ia seakan tidak berbentuk doa kerana tiada lafaz ‘Allahumma’ yang membawa maksud ‘Ya Allah’.
Malahan ianya dianggap sebagai doa terbaik yang mengandungi makna tauhid, tasbih dan istighfar. Doa ini menunjukkan sifat kita sebagai hamba yang tidak berdaya dan selalu memerlukan tuhan untuk mengizinkan sesuatu perkara berlaku.
Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda;
Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya” [Riwayat At-Tirmizi
4. Dijauhi dari bala dan musibah
Setiap kejadian yang berlaku dalam hidup manusia bertujuan sebagai ujian, bala atau kifarah. Ada yang berjaya melepasi ujian tuhan dan ada pula yang kecundang dek kerana lemahnya pegangan agama.
Oleh itu, kita mesti berusaha supaya Allah menganugerahkan kita perkara-perkara baik. Dengan mengamalkan doa ini, insya allah dengan izinNya, Allah akan menjauhkan manusia dari hal-hal buruk seperti bala dan musibah.
Seperti firman Allah SWT; “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan kesabaran dan (menunaikan) solat.”
[Surah Al-Baqarah: 153]
Sesuai sangat dengan keadaan kita sekarang ni yang masih belum reda dengan wabak virus Covid-19. Walaupun sudah hampir 3 tahun penyakit ini melanda negara kita, ianya masih merisaukan banyak pihak. Lagi-lagi kalau ada antara ahli keluarga yang kita yang berisiko tinggi.
Semoga dengan usaha ini, tuhan akan menyelamatkan kita dari malapetaka dan bahaya.
5. Dipermudahkan membuat keputusan
Allah akan lorongkan manusia untuk melakukan keputusan yang paling baik untuk mereka. Dalam keadaan kusut dan dilemma, kita sering menghadapi kesukaran membuat keputusan yang rasional.
Manusia sukar membuat keputusan bernas apabila mereka terlalu emosi, penat dan terburu-buru. Boleh jadi keputusan akhir yang diputuskan tidak memberi kebaikan pada diri sendiri dan orang lain.
Selain doa istikharah, doa ini adalah alternatif untuk membantu kita membuat penilaian agar keputusan yang dibuat memberi manfaat di masa kini dan di masa hadapan.
Doa Nabi Yunus mempunyai banyak kelebihan manakala kisahnya pula sangat memberikan hikmah agar kita sentiasa percaya kepada pertolongan Allah. Kisah baginda memberitahu bahawa manusia hanya perlu berusaha, hasilnya nanti serahkan sahaja pada Dia.
Allah maha mengetahui serta setiap yang ditakdirkan adalah yang terbaik untuk hambanya.
Jom baca himpunan doa selamat yang ringkas supaya boleh diamalkan setiap hari!