Dikurniakan anak, diberikan kepandaian, dilancarkan urusan pekerjaan serta memiliki keluarga adalah rezeki dari tuhan. Ternyata wang ringgit bukanlah satu-satunya perkara yang dinamakan rezeki.
Namun begitu, kita tidak dapat menolak kepentingan wang ringgit dalam kehidupan seharian. Kerana banyak hal di dunia ini yang memang berurusan dengan duit.
Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki, sebagai manusia kita perlu sentiasa meminta kepadaNya. Dalam artikel kali ni, Mama Siti kongsikan doa murah rezeki, zikir dan selawat, surah pilihan dan amalan untuk menjemput rezeki.
Doa Murah Rezeki
اَللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ ووالسع له في داره وَبَارِكْ لَهُ فيما اعطيته واحسن اعماله والغفرله
‘Allahumma aksir maalahu wa waladahu, wa wassi’ lahu fi darihi,
Wa bariklahu fi ma a’toitahu, wa ahsin a’malahu, warg firlahu’
(Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anak-anak-anaknya dan luaskanlah rumahnya dan berkatilah apa yang telah engkau kurniakan kepadanya dan perbaikilah amalannya dan ampunkan untuknya)
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ada banyak manfaat mengamalkan doa ini. Antaranya:
- Bertambah hartanya
- Diberikan anak-anak
- Mendapatkan rumah yang selesa
- Diberkati rezekinya
- Diperbaiki amalan
- Diampunkan kesilapan
Tiada waktu khas untuk membacanya. Anda boleh mulakan sebagai bacaan tambahan ketika berdoa selepas solat atau sebelum mula bekerja.
Selawat Murah Rezeki
اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّد
‘Allaahumma solli ‘alaa sayyidina Muhammad
صَلاَةً تُوَسِّعُ بِهاَ عَلَينَا الأَرْزَاقِ
solaatan tuwassi ‘u bihaa ‘alainal arzaak
وتحَسِّنُ بِهَا لَناَ الأَخْلاَق
watuhassinu bihaa lanal akhlaak
وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّم
wa ‘alaa ‘aalihi wasohbihi wasallim’
(Ya Allah! Rahmatilah dan kurniakanlah kesejahteraan ke atas Muhammad Rasulullah dan selawat yang dapat melapangkan rezeki kami dan menjadikan baiknya akhlak kami dan curahkan kesejahteraan atas keluarga dan para sahabatnya)
Selawat ni panjang lah, ada cara yang senang sikit tak?
Ada, mestilah ada. Kalau ini adalah pertama kali anda tahu tentang selawat ini, jangan risau kalau belum hafal ke apa. Anda boleh dengarkan selawat dilapangkan rezeki dalam alunan lagu. Insya allah tak ambil masa lama nak ingat.
Dari terjemahannya saja kita dapat perhatikan kelebihan selawat ini.
- Melapangkan jalan rezeki
- Memperbaiki akhlak
Kalau dah selalu amalkan, tak terasa susah pun sebenarnya. Sebaliknya, kita akan menjadikannya sebagai alunan selawat harian. Kadang-kadang, tak perasan pun tengah berselawat.
Petikan Ayat Al-Quran
(Ayat 1000 Dinar)
Kredit gambar: celikalquran.com
2. (Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) 3. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu)
[Surah Al-Talaq : 2-3]
Daripada 6600 hingga 6666 ayat di dalam kitab suci Al-Quran, ada dua baris ayat yang khusus untuk memohon rezeki. Itulah dia ayat 1000 dinar. Ayat ringkas dan mudah diingat ini dipetik dari Surah At-Talaq.
Samada anda perasan atau tidak doa ini sering terdapat di restoran. Bagi yang sedang menjalankan perniagaan, ini adalah doa murah rezeki ketika berniaga.
Bila sedang runsing dengan pelbagai masalah, kita buntu mencari penyelesaian. Sedangkan Allah mempunyai rancangan untuk melepaskan kita dari belenggu kekusutan itu. Tuhan maha mengetahui, Dia yang memiliki sifat kesempurnaan 99 Asma’ Al-Husna berupaya memberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.
Surah Pilihan
(Surah Al-Waqiah)
Kredit gambar: The Daily Scanner
Ada syarikat televisyen di Malaysia yang memilih nombor 114 sebagai salurannya di salah satu stesen penyiaran swasta. Syarikat yang memaparkan kandungan berunsurkan Islam itu memilih 114 sempena bilangan surah di dalam Al-Quran.
Disebut sebagai surah kekayaan. Kerana siapa sahaja yang mengamalkan Al-Waqiah akan diberikan bermacam-macam rezeki dari Allah dengan izinNya.
Berdasarkan hadis sahih;
Sabda Rasulullah s.a.w: “Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya (Hadis riwayat: Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)
Daripada Ibnu Ady pula meriwayatkan;
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah kekayaan”
Bila pula waktu yang disarankan membaca surah ini?
Diamalkan selepas solat subuh dan solat sunat dhuha
Amalan Murah Rezeki
#1 Bersedekah
Lanjut apakah cara lain untuk kita menjemput rezeki? Kebiasaannya kita dengar untuk bersedekah kan. Tapi kepada siapakah pemberian yang lebih afdhal?
Diambil dari Surah Al-Baqarah ayat 215, ada diberitahu kepada siapakah kita sepatutnya memberikan bantuan terlebih dahulu.
Kredit gambar: legacy.quran.com
Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang harus mereka infakkan. Katakanlah, “Harta apa saja yang kamu infakkan, hendaknya diperuntukkan bagi kedua orang tua, kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang dalam perjalanan.” Dan kebaikan apa saja yang kamu kerjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
[Surah Al-Baqarah: 215]
Tambahan pula apabila kita bersedekah kepada ahli keluarga, Allah bukan sahaja mengurniakan kelebihan bersedekah tetapi menganugerahkan kebaikan menyambung tali persaudaraan. Seperti hadis baginda;
Sabda Nabi SAW maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin adalah sedekah, manakala sedekah kepada keluarga ada dua fadilat iaitu fadilat sedekah dan fadilat silaturrahim” (Hadis Riwayat Tirmizi)
#2 Menghormati tetamu
Selalu kita dinasihatkan untuk melayani tetamu dengan penuh hormat. Contohnya, menjemputnya masuk ke dalam rumah, menghidangkan makanan serta menjaga hati mereka.
Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali;
Maksudnya : “Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah ke rumah seseorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan”
Dalam wasiat baginda ini, banyak kelebihan jika kita melayani tetamu dengan baik. Apabila tetamu senang hati dan bergembira ketika singgah ke rumah seseorang, Allah menjanjikan rezeki serta keampunan buat tuan rumah.
#3 Bersyukur
Firman Allah SWT maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahikan nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab ku amat keras”
[Surah Ibrahim ayat 7]
Ingatkah kita tentang cerita Qarun yang berbangga dengan hartanya. Dia menyangka harta yang dimiliki adalah hasil usahanya semata-mata padahal Allah yang memberikan rezeki tersebut.
Akibat lupa diri dan tidak bersyukur, Allah menurunkan azab kepada Qarun. Gempa bumi dan tanah runtuh telah membinasakan seluruh harta dan kekayaan ke perut bumi.
Benarlah firman Allah,
“Azab ku amat keras”
Sebagai hamba yang tidak berkuasa, kita kena sentiasa berterima kasih kepada yang memberi rezeki. Mahu itu berupa duit, kesihatan, kebijaksanaan atau lain-lain.
Kesimpulannya, kita perlu menjemput rezeki hadir dalam hidup. Amalan seperti yang Mama Siti kongsikan di atas boleh dijadikan panduan. Rezeki bukan sahaja perlu dinikmati malah lebih penting agar ianya disyukuri.
Semoga kita kekal istiqamah dalam usaha mencari rezeki yang halal dan sentiasa bertawakal dalam mencapai matlamat di dunia dan diakhirat.