Ketika remaja dahulu, Mama Siti kerap mendengar sebaris ayat dalam bahasa Inggeris iaitu; “Islam is the way of life”.
Maksudnya, islam ialah cara hidup dan bukan sebatas agama semata-mata. Bermula daripada kita bangun tidur, bersihkan diri ke bilik mandi hinggalah melihat cermin pun dipandu oleh Allah SWT.
Di samping itu, kita juga harus menjaga adab ketika melihat cermin seperti sentiasa bersyukur, tidak sombong dan tawaduk.
Doa Ketika Melihat Cermin
Sebaris ayat ringkas ketika melihat cermin, membawa makna yang mendalam kepada peribadi seorang muslim.
Doa melihat cermin jawi:
ﺍﻟﻠَّـﻬُﻢَّ ﻛَﻤَﺎ ﺣَﺴَّﻨْﺖَ ﺧَﻠْﻘِﻲ ﻓَﺤَﺴِّﻦْ ﺧُﻠُﻘِﻲ
Allahumma kama hassanta khalqi fahassin khuluqi
Maksudnya: “Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah rupaku maka perindahlah pula akhlakku”
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)
Kelebihan Doa Melihat Cermin
Kita bermuhasabah tentang diri sendiri. Sekali-sekala, ambil masa untuk melihat ke dalam diri dan hati kita.
Adakah kita pernah mencela diri sendiri dengan alasan ‘insecure’ dengan kecantikan orang lain?
Pernahkah kita merasa diri ini lebih cantik dan mengatakan orang tertentu itu hodoh?
24 jam dalam sehari, berapa banyak pula kita zahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan anggota badan yang dikurniakan Allah itu?
Dan banyak lagi persoalan lain yang mungkin hanya Mama sahaja dapat memikirkannya.
Alangkah rugi jika selama ini, kita hanya mementingkan perihal kecantikan luaran sahaja. Soal akhlak kita tolak tepi.
Bahkan orang-orang yang bermegah dan merasakan dirinya lebih mulia dan baik akhlak dari orang sekeliling juga harus dielakkan.
Sebaiknya, kedua-duanya harus selari sebagaimana yang diajarkan dalam doa melihat cermin. Apa yang kita ada, wajib disyukuri. Apa yang kita tiada pula mungkin perlindungan dari Allah daripada sesuatu yang kita tidak tahu.
Adab Melihat Cermin
#1 Berdoa
Doa itu salah satu dari ibadah. Banyak berdoa, bermaksud banyak beribadah. Sekaligus, banyak pahala.
Mudah-mudahan, kita ialah apa yang didoakan iaitu supaya rupa dan akhlak kita sama-sama diperelok oleh tuhan maha pencipta.
#2 Bersyukur
Menzahirkan rasa syukur buat kita tenang. Tak percaya?
Cuba Mama sebutkan kuat-kuat tiga perkara yang buat Mama bahagia minggu ini. Mama akan mula rasa perbezaannya apabila kerap melakukan rutin bersyukur.
#3 Tidak Sombong
Melihat cermin, buatkan kita sedar bahawa apa sahaja yang ada pada diri ini sekarang ialah kurniaan Allah SWT.
Asbab orang berkenan untuk berkawan, berkenalan dan berurusan dengan kita pun mungkin kerana rupa kita yang elok ini. Tak lain tak bukan ianya ciptaan Allah.
#4 Tawaduk
Tetaplah rendah hati walau dimana kita berdiri. Tetaplah layani orang lain dengan baik walaupun kita sudah berpangkat besar dalam sebuat organisasi.
Begitu juga dengan tuhan. Kita harus sentiasa tawaduk agar dapat menghindarkan rasa takabur dengan apa yang dimiliki.
#5 Tidak Kecil Hati
Kadang-kala ketika kita melihat cermin kita mula teringat-ingat kata-kata orang yang sering membandingkan rupa paras kita dengan orang lain.
Namun begitu, ingatlah bahawa Allah menilai hati kita lebih dari sekadar rupa luaran. Ada hati yang paling dilihat Allah untuk menilai kejujuran dan keikhlasannya.
Doa melihat cermin akan lebih bermakna kalau kita hayati maknanya. Mudah-mudahan kita tetap istiqamah mengamalkan doa melihat cermin sepanjang hidup ini.
Bayangkanlah setiap hari usaha kita menjadi baik dimudahkan kerana doa-doa yang dilafazkan ketika menghadap cermin.
Dapatkan juga pelbagai lagi tips, info dan panduan ibadah menarik yang lain di SINI!