Dalam Islam menggunakan ayat Al-Quran sebagai doa melembutkan hati anak adalah sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Firman Allah SWT iaitu:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A’raf, 180)
Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain yang berkata, bahawa sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.” (Riwayat al-Tirmizi, No 2917)
Cara atau Kaedah Doa Melembutkan Hati Anak
Dalam mendidik anak-anak pasti ada cabaran dan rintangan yang perlu anda lalui. Setiap anak mempunyai sifat dan pembawakan diri yang berbeza-beza. Ada di antara mereka yang mudah mendengar kata dan ada juga yang jenis pantang ditegur.
Mungkin sebagai seorang ibu, pelbagai cara telah anda lakukan bagi memastikan anak-anak terdidik dengan betul dan sentiasa mendengar kata. Dalam banyak-banyak cara mendidik anak-anak, salah satu adalah melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah S.W.T.
Antara surah yang menjadi pilihan adalah dengan membaca Surah Taha ayat 1-5 yang mampu melembutkan hati anak-anak. Walaupun tiada dalil atau nas yang khusus daripada al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut hati, namun ianya diharuskan berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah.
Firman Allah SWT:
“Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, 28)
Kaedah Melembut Hati Anak Yang Keras
Kaedah Pertama
1. Baca surah Al-Fatihah ayat 1-7
اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعٰلَمِیْنَۙ(۱) الرَّحْمٰنِ الرَّحِیْمِۙ(۲) مٰلِكِ یَوْمِ الدِّیْنِؕ(۳) اِیَّاكَ نَعْبُدُ وَ اِیَّاكَ نَسْتَعِیْنُؕ(۴) اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِیْمَۙ(۵) صِرَاطَ الَّذِیْنَ اَنْعَمْتَ عَلَیْهِمْ ﴰ غَیْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَیْهِمْ وَ لَا الضَّآلِّیْنَ۠(۷)
2. Baca Surah al-Hasyr ayat 21
Maksudnya : “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”
3. Baca Surah Taha ayat 1-5.
4. Kemudian baca doa pelembut hati di bawah:
“Allahumma laiyinli qalbahu, laiyinta li Daudal hadid”
Maksudnya: “Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Engkau melembutkan Daud (akan) besi”
5. Kemudian tiupkan ke air.
Doa di atas juga turut boleh digunakan untuk semua orang yang mempunyai keras hati, suka melawan dan tidak menurut kata. Ini termasuklah untuk melembutkan hati bagi diri anda sendiri. Untuk kegunaan diri sendiri, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati dan baca doa di atas.
Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis dan lepaskan. Untuk kegunaan orang lain, ketika membaca doa ini, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati orang yang meminta pertolongan tadi. Bagi orang yang meminta doa pelembut hati melalui wakil, air diberikan untuk diminum.
Kaedah Kedua
1. Baca doa pelembut hati Surah Asy-Syuura ayat 19.
Maksudnya : “Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Surah Asy-Syuura ayat 19)
2. Baca di waktu malam semasa anak sedang tidur.
3. Letakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri.
4. Istighfar sebanyak 3x kemudian niatkan dalam hati;
Ya Allah lembutkanlah hati anakku
Ya Allah jadikanlah anakku ini anak yang soleh atau solehah
5. Kemudian baca doa di atas (Surah Asy-Syuura ayat 19).
6. Dah habis baca doa tadi tiup di umbun-umbun kepala, muka dan dada anak sebanyak 3x.
Pastikan anda sentiasa mengamalkan doa ini secara istiqamah dan memohon keberkatan dan pertolongan dari Allah S.W.T.
Doa ini juga boleh juga diamalkan untuk diri anda sendiri dengan meletakkan tangan kanan di dada kiri dan baca doa di atas.
Semoga perkongsian doa ini memberi manfaat kepada anda!