Tandas merupakan tempat tinggal syaitan sama ada ia kotor ataupun bersih. Sebagai umat Islam, kita dianjurkan untuk berdoa sebelum masuk ke tandas untuk memohon perlindungan daripada Allah di atas segala keburukan dan kejahatan yang zahir dan batin.
Hadis Berkenaan Doa Masuk Tandas
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, telah berkata Anas bin Malik R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ : ( اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ ).
Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”. – Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 139
Antara kalimah yang dianjurkan untuk dibaca sebelum masuk ke tandas ialah, lafaz ta’awwuz. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Zaid bin Arqam R.A.:
إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ”. – Riwayat Abu Daud, no. Hadith 5
Ta’awwuz ini dilafazkan dengan niat untuk memohon perlindungan daripada Allah S.W.T. terhadap segala keburukan dan kejahatan.
Doa Masuk Tandas Dan Maknanya
Seusai melafazkan ta’awwuz, teruskanlah membaca doa masuk tandas yang terkandung dalam hadis di atas:
Allahumma innii a’udzubika minal khubthi wal khobaa-ith
Maksudnya: Dengan nama Allah, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari godaan syaitan lelaki dan perempuan.
Adab Masuk Ke Tandas
Selain daripada berdoa, kita hendaklah meneliti beberapa adab untuk masuk, keluar dan berada di dalam tandas.
Berdasarkan perkongsian daripada Aku Islam ini, berikut adalah beberapa adabnya yang boleh kita sama-sama amalkan:
1. Tutup kepala untuk masuk ke tandas
Ini berdasarkan kepada hadis yang dinyatakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
كَانَ النَّبِي صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ غَطَّى رَأْسَه
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas baginda menutup kepalanya. – Riwayat Al-Baihaqi (464)
2. Pakai selipar apabila masuk ke tandas
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ لَبِسَ حِذَاءَهُ وَغَطَّى رَأْسَهُ
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas baginda memakai seliparnya dan menutup kepalanya. – Riwayat Al-Baihaqi (465)
3. Beristinjak menggunakan tangan kiri
إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ
Maksudnya: Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya, dan jangan beristinjak dengan tangan kanannya, dan jangan bernafas dalam bekas minuman. – Riwayat al-Bukhari (154)
Amalkanlah Doa Dan Adab Masuk Ke Tandas
Sebagai orang Islam, kita haruslah berusaha untuk mengamalkan sunnah dan amalan elok yang dianjurkan dalam agama Islam.
Semoga dengan berdoa dan beradab ketika masuk dan keluar tandas, Allah S.W.T. akan melindungi dan memelihara kita dengan sebaik-baik perlindungan. InsyaAllah…