Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَحَبُّ الْبِلاَدِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلاَدِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
Maksudnya: Tempat yang paling Allah suka adalah masjid-masjid manakala tempat yang paling Allah benci adalah pasar-pasar.
(Hadis Riwayat Muslim)
Agak berat topik kita kali ini. Ianya berkenaan doa masuk ke pasar. Sebenarnya, Mama Siti sendiri baru sahaja tahu tentang kewujudan doa ini.
Tidak sangka bukan bagaimana Islam memelihara kita hingga ke tempat kita berjual-beli?
Pasar Tempat Dibenci Allah?
Baiklah, berbalik kepada hadis diatas berkaitan pasar sebagai tempat yang paling dibenci Allah. Mama Siti merujuk di Portal Mufti Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan.
Hadis tersebut adalah gambaran keadaan yang sering berlaku di pasar seperti penipuan dalam jual beli, riba, lagha, lalai dari mengingati dan seumpama dengannya.
Oleh yang demikian, kita disarankan untuk membaca doa ketika melangkah ke pasar, kompleks membeli-belah, karnival dan sebagainya.
Doa Masuk Pasar
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Laa ilaaha illalloohu wahdahu laa syariika lahu, lahulmulku walahulhamdu, yuhyii wa yumiitu wa huwa hayyun laa yamuutu, biyadihil khoiir, wa huwa ‘ala kulli syai’in qodiir”
Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan, bagiNya segala pujian. Dia lah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Dialah Yang Hidup, tidak akan mati. Di tanganNya semua kebaikan. Dan Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu
Tujuan kita berdoa adalah supaya tidak terpedaya atau tergolong dari golongan yang tidak jujur, bercakap hal yang tidak benar serta melupakan tuhannya.
Kelebihan Membaca Doa Masuk Pasar
Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Sesiapa yang masuk ke dalam pasar lalu dia membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maka Allah menetapkan satu juta kebaikan buatnya dan menghapuskan satu juta kejahatannya serta mengangkat kedudukannya sebanyak satu juta darjat.
(Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Adab Berjual Beli Menurut Islam
- Adil Dalam Sukatan
Di dalam surah ar-Rahman ayat 9, Allah SWT berfirman,
Maksudnya: dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
- Bertutur Dengan Sopan
Keadaan ini mungkin terjadi apabila seseorang membuat penilaian berdasarkan kriteria luaran seperti status, pangkat, tata rias dan harta.
Ketahuilah, semua manusia itu berhak mendapat layanan yang baik, tidak kira siapapun dia. Inilah allah seorang muslim yang sebenar, melayani orang lain dengan penuh hormat dan berbudi bahasa.
- Tidak Menjual Barang Haram
Dari Jabir bin Abdullah, katanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.
- Menjaga Kualiti
Ketika berniaga, kita mestilah selalu mengambil berat perihal kualiti. Contohnya, memastikan rasa masakan yang dijual sedap.
Selain itu, jika seseorang menjalankan perniagaan jenis perkhidmatan mereka hendaklah memberikan servis terbaik sesuai pakej yang dipilih pelanggan.
- Berterus Terang
Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari,
Sesungguhnya ia telah mendengar rasulullah SAW bersabda, awas kamu dari banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan barakahnya.
Kesimpulannya, kita diharuskan pergi ke pasar. Walaupun ia sering dikaitkan dengan penipuan dalam jual beli, riba, lagha dan lalai tetapi amalan yang dianjurkan adalah dengan berdoa.
Doa masuk pasar ini dinilai sebagai riwayat yang sahih dan boleh diamalkan tanpa ragu-ragu. Tambahan pula, terdapat kelebihan kepada orang yang membaca doa masuk pasar.
Akhir sekali, jangan kita lupakan adab sebagai peniaga dan pembeli sesama melakukan urus niaga dia pasar atau kompleks beli-belah. Semuanya penting agar kita mendapat keberkatan sebagai pembeli dan penjual.
Semoga dengan perkongsian tentang doa masuk pasar ini memandu kita menjadi seorang muslim yang lebih baik. Jom amalkan doa masuk masjid pula!
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.