KelabMama

Tata Cara Susunan Membaca Doa Majlis Perpisahan Pegawai Syarikat

Doa majlis perpisahan adalah untuk menghargai jasa seseorang dalam suatu organisasi. Doa perpisahan bukanlah bermaksud kita meraikan kepergiannya tetapi lebih kepada memohon agar bakti yang telah dijalankan diterima Allah.

Ustaz Mizi dalam bukunya; Call Upon Him, ada memberitahu agar setiap doa yang dipanjatkan mestilah dimulakan dengan berterima kasih kepada Allah atas nikmat kurniaanNya. Kemudian, diteruskan dengan memohon keselamatan dan keberkatan untuk nabi kita yang dikasihi.

Kredit gambar: Carousell Singapore

Doa majlis perpisahan boleh diubah pada beberapa perkataan agar dapat disesuaikan dengan peranan individu yang diraikan dan majlis yang dijalankan. 

Susunan Bacaan Doa Untuk Majlis Perpisahan

Kredit gambar: Kementerian Perpaduan Negara

Susunan Doa Pertama

Dimulakan dengan bacaan basmalah dan pujian ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

الْحَمْدُ اللهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ

وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى الهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

Susunan Doa Kedua

Menyebutkan nama pegawai atau individu yang terlibat iaitu orang yang akan berpindah atau bersara. Dilanjutkan dengan kata-kata syukur dan taubat kepada Allah SWT. 

“Sempena majlis pertukaran/perpisahan kakitangan/anggota kerja Jabatan/Bahagian/Organisasi yang diraikan pada saat ini kami menadah tangan memohon kehadrat-Mu ya Allah agar mereka diberkati, dikurniakan rahmat dan nikmat yang berpanjangan, sihat walafiat yang berkekalan.

Di pagi/petang/bulan yang indah/mulia ini, limpahkanlah Taufiq HidayahMu, petunjuk dan inayahMu kepada kami. Sedarkan kami atas segala kesalahan dan kesilapan yang telah kami lakukan. Mudah-mudahan hari/bulan yang akan datang akan menjadi lebih bermakna bagi kami semua. “

Susunan Doa Ketiga

Kredit gambar: The Humble I

Melafazkan nama-nama Allah SWT, Asmaul Husna yang bersesuaian. Contohnya, ‘Yang Maha Pemurah’ dan ‘Maha Pengasih’.

اَللَّهُمَّ يَا رَحْمَنُ يَا رَحِيمُ

‘Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim’

Maksudnya: Wahai tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kami berdoa ke hadratMu ya Allah agar mereka dikurniakan kekuatan fizikal dan mental untuk meneruskan kerja mereka dalam suasana berbeza serta dapat menjalankan tugas-tugas mereka dengan jayanya.

Susunan Doa Keempat

Menyebut Asmaul Husna serta doa untuk kakitangan lain yang masih berkhidmat di organisasi tersebut. Ditambah dengan harapan agar perpisahan ini tidak menjauhkan hubungan sesama manusia melainkan sekadar berpisah kerana faktor pekerjaan. 

“Jadikanlah kami yang masih bertugas di dalam Jabatan/Bahagian/Organisasi ini agar dapat meneruskan tugas-tugas dengan cemerlang dan berkualiti demi memajukan Jabatan/Bahagian/Organisasi dan Kementerian/Syarikat serta dipelihara dalam pemuliharaan dan keredhaanMu.

Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperolehi rahmat. “

Susunan Doa Kelima

Doa majlis perpisahan diakhiri dengan ‘Ya Aziz’ dan ‘Ya Ghaffar’ serta selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. 

رَبَّنَا وَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الأَبْرَارِ يَا عَزِيز يَا غَفَّارُ يَا رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

‘Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina ‘adzabannar. Wa adkhilnal-jannata ma‘al-abraar, yaa ‘aziizu yaa ghaffaaru yaa rabbal-‘alamin.’

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari seksa neraka.” (Surah. al-Baqarah : 201)

“Masukkanlah kami ke dalam syurga bersama orang-orang yang berbuat baik. Wahai Tuhan Yang Maha Mulia.”

Kredit gambar: Kementerian Kewangan Malaysia

Tujuan doa majlis perpisahan adalah untuk mendapat keberkatan majlis kerana di dalam doa ini banyak pujian kepada Allah dan Rasul. 

Semoga dengan doa-doa yang baik ini, orang yang diraikan dapat menjalankan hidupnya di tempat baru dengan lebih baik dengan pertolongan Allah. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.