KelabMama

Maksud Doa Malam Lailatul Qadar, Malam Jauh Lebih Baik Dari 1,000 Bulan

lelaki sujud, sambil memperbanyakkan doa lailatul qadar

Kita tidak tahu bilakah tibanya malam lailatul qadar. Iaitu satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. 

Namun begitu, malam istimewa itu akan berlaku dalam 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Sepanjang berlalunya 10 hari itu, umat Islam disarankan untuk membacakan doa khusus untuk malam lailatul qadar. 

Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَيَّنُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ

Maksudnya: Carilah lailatul qadar itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadhan).

(Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, Rasulullah SAW sendiri menganjurkan agar melipat gandakan amalan sunnah pada 10 malam terakhir ini. Semakin Ramadan hampir di penghujung, hendaklah semakin ‘rancak’ ibadah kita. 

Doa Malam Lailatul Qadar

Kredit gambar: Seeker Guidance

Mama Siti merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapatkan doa malam lailatul qadar yang dibacakan oleh baginda Nabi SAW. 

اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

‘Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii’

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”

Intipati Doa Malam Lailatul Qadar

Kredit gambar: Pinterest

Doa ini menzahirkan pengampunan dari seorang hamba kepada zat yang maha kuasa iaitu Allah SWT. Memandangkan di akhir bulan Ramadan ialah hari-hari yang diberi perhatian, baiklah kita mengambil peluang yang diberikan. 

Doa malam lailatul qadar secara jelas diterjemahkan tentang rayuan kita kepada Allah agar Dia menerima taubat atas dosa-dosa yang lampau. Dosa yang mungkin pernah kita lakukan di suatu masa dahulu dan tidak mengingatinya lagi.

Cara Membaca Doa Malam Lailatul Qadar

Tambahan pula, lebih bagus jika Mama atau Ayah berkesempatan berada di masjid dan niat beriktikaf sambil banyakkan membaca doa malam lailatul qadar. 

Namun jika keadaan tidak mengizinkan, tiada masalah untuk kita banyakkan membaca doa ini di rumah, asrama dan di mana-mana sahaja.

Asalkan kita membaca doa ini dengan penuh keyakinan dan pengharapan agar Allah yang maha pengampun menerima permohonan maaf kita. 

Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan

Kredit gambar: Fluent Arabic

Ada beberapa amalan yang boleh kita lakukan di 10 malam terakhir di bulan Ramadan menurut artikel di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

#1 Mendirikan solat malam (Qiamulail)

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (bersungguh-sungguh dalam beribadah dan melakukan kebaikan)”

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis diatas membawa maksud hendaklah kita bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan menangguhkan hubungan suami isteri di 10 malam terakhir. 

Kemudian, sebaiknya kita menghidupkan malam tersebut bersama-sama ahli keluarga sebagaimana yang dilakukan baginda Nabi SAW.  

#2 Banyakkan mohon keampunan

Kredit gambar: Suara Jatim

Kita tidak tahu, mungkin kita akan berjumpa dengan malam lailatul qadar ketika menghidupkan 10 malam terakhir itu. Di kesempatan itu, marilah kita meminta sebanyak-banyak keampunan kepada Allah SWT. 

Sesuai dengan hadis dari Rasulullah SAW:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) bersabda:

Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

#3 Beriktikaf

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata:

“Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW”

(Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah)

#4 Solat fardhu secara berjemaah

Kredit gambar: Sinar Harian

Para imam dari mazhab Syafi’e menyebutkan bahawa;

Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperoleh kebaikan malam itu. Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.”

[Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159) ]

Malam lailatul qadar ialah malam dimana Rasulullah SAW mengajarkan kita agar ianya dihidupkan dengan amalan bersesuaian. 

Contohnya, pada 10 malam terakhir, kita hendaklah memperbanyakkan berdoa, terutamanya doa lailatul qadar, solat berjemaah dan beriktikaf. 

Doa lailatul qadar itu sendiri ialah doa seorang hamba berdosa terhadap tuhannya. Maknanya secara jelas menjelaskan agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita. 

Paling penting, agar amalan yang telah kita lakukan di bulan Ramadan ini dapat diteruskan hingga ke akhir hayat, insya Allah. 


Tingkatkan amal ibadah bulan Ramadan dengan pelbagai panduan di SINI.