KelabMama

Baca 1 Doa Keluar Rumah, Dapat 5 Kelebihan

Islam ialah satu agama syumul iaitu merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Dari sekecil-kecil hal kepada sebesar-besar perkara, Islam ada memberikan panduan agar hidup kita sentiasa dipandu dan tidak terumbang-ambing.

Walhal menjejakkan kaki ke luar rumah pun ada doa dan adabnya. Mari kita ikuti artikel kali ini dengan himpunan doa keluar rumah serta amalan tambahan yang boleh dilakukan.

Jangan salah sangka maksud Mama Siti ya. Istilah keluar rumah disini bukan bermaksud Mama keluar ke laman rumah untuk menyidai pakaian atau menyiram tanaman. Sebaliknya, yang dimaksudkan ialah keluar daripada rumah untuk bekerja, bermusafir dan tujuan baik yang lain.

Doa Keluar Rumah #1

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

“Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah”

Maksudnya: Dengan nama Allah (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah

(Hadis Riwayat Tirmidzi dari Anas bin Malik)

Kredit gambar: Dekoruma

Doa Keluar Rumah #2

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَىَّ

“Allahumma inni a-‘udzu bika an adilla au udholla, aw azilla aw uzala, aw azhlima aw uzhlama, aw ajhala aw yujhala ‘alayya”

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, janganlah sampai aku tersesat atau disesatkan (syaitan atau orang jahat), tergelincir atau digelincirkan orang lain, menganiaya atau dianiaya orang lain, dan berbuat bodoh atau dibodohi orang lain.

(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Benarkah Membaca Ayat Kursi Ialah Sunnah Nabi SAW?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Mama Siti merujuk kepada individu yang lebih arif tentang status kebenaran hadis.

‘Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya’

Dr. Ustaz Rozaimi Ramle ialah seorang ahli hadis dan juga salah seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis. Menurut beliau dalam perkongsian di laman Facebook, hadis tersebut tidak diketahui asalnya. 

Kredit gambar: Gerakan PENA Malaysia

Tambahan pula, ia tidak termaktub di dalam mana-mana kitab hadis. Secara peribadi, beliau menyimpulkan bahawa hadis membaca ayat kursi sebelum keluar rumah bakal didoakan oleh 70 000 malaikat mempunyai kecenderungan sebagai hadis palsu

Kelebihan Membaca Doa Keluar Rumah

Menurut Syeikh Ali Jabeer, sesiapa yang membaca doa keluar rumah, 

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maka dia akan mendapat lima kelebihan sepanjang mereka berada di luar. Berikut Mama Siti senaraikan manfaat membaca doa keluar rumah. 

  1. Diberikan petunjuk dalam perjalanan.
  2. Diberikan perlindungan dari kemalangan, keburukan, bahaya dan godaan.
  3. Diberikan kecukupan terutamanya mereka yang keluar mencari rezeki, maka dengan izin Allah, Dia akan memberikan kecukupan kepada diri dan keluarga kita.
  4. Dijauhkan daripada tipu daya syaitan.
  5. Syaitan yang lain juga tidak mampu menggoda manusia kerana telah dikhabarkan kepada syaitan pertama bahawa orang tersebut telah membaca doa keluar rumah.

Ianya berpadanan dengan hadis di bawah;

Dari Anas bin Malik, Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang keluar dari rumahnya kemudian dia membaca 

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Baginda bersabda: “Maka pada saat itu dikatakan kepadanya: Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan (perlindungan), hingga syaitan-syaitan menjauhi darinya. Lalu syaitan yang lainnya berkata kepada temannya: Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan (perlindungan)” 

(HR Abu Daud)

Maha suci Allah, sesungguhnya Dia sentiasa berada dekat dengan hambaNya asal saja kita sentiasa ingat kepadaNya. Bacaan doa yang ringkas itu, memberikan kelebihan yang luar biasa untuk kita semua.

Semoga Allah memberkati perjalanan dan urusan kita sepanjang berada di luar.