Sejak i baca doa dhuha ni, hidup i macam lebih tersusun lah. Kalau sebelum ni kelam kabut nak buat itu ini.
Ini pengakuan kawan Mama Siti yang berkongsi perubahan dalam hidupnya selepas rajin mengamalkan solat dan dua dhuha yang lengkap. Memang tak asing lagi yang doa dhuha selalu memberi kesan positif dalam hidup kita.
Kadang-kadang tak perlukan masa yang lama pun nak nampak hasilnya. Ada yang lepas 2, 3 hari, dah ada khabar baik. Tapi Mama Siti harap agar kita selalu ikhlas beribadah. Kita solat dan berdoa untuk lebih dekat dengan Allah dan bukan hanya mengharapkan sesuatu balasan sahaja.
Personaliti televisyen, Fedtri Yahya, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi pernah membincangkan tentang hal solat dhuha dalam live di Instagram.
Abang doa apa bang? Dapat rezeki selalu travel, apa amalan abang?
Jawapan dari Fedtri Yahya ialah dia telah mula amalkan solat dhuha sejak tahun 2007 tanpa gagal. Walaupun kadang kala ada tuntutan kerja atau penerbangan, beliau akan sedaya upaya menyempatkan waktu untuk solat dhuha. Kalau tertinggal pada hari tersebut, akan digantikan pada hari lain.
Berkat amalan dhuha ini, beliau selalu direzekikan untuk menjelajah ke luar negara untuk program televisyen. Sehingga pada tahun 2021, beliau telah pergi ke hampir 70 buah negara. Masya allah, kita yang dengar pun boleh merinding kan. Sangat luar biasa keistimewaan solat dan doa dhuha ni. Mari kita lihat doa dhuha yang disyorkan dan boleh diamalkan, lengkap dengan bacaan dalam rumi dan maksudnya.
DOA DHUHA 1
(Dengan bacaan rumi)
‘Allahumma inna dhuha a dhuhaa uka
Walbahaa’a bahaa uka
Waljamaala jamaaluka
Walquwwata Quwatuka
Walqudrota Qudrotuka
Wal’ismata ‘ismatuka
Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu
Wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu
Wa’in kaana mu’assaron fayassirhu
Wa’in kaana harooman fathohhirhu
Wa’inkaana ba’idan faqorribhu
Bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika
waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita min ‘ibaadikassolihiin’
“Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu, keindahan keindahanMu, kekuatan kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu. Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh”..
Doa dhuha ini dibacakan selepas menunaikan solat sunat dhuha. Untuk Mama yang lebih mudah untuk menghafal doa ini melalui audio, Mama boleh tonton Youtube Bacaan Doa Dhuha yang dialukan dalam bentuk nasyid. Bukan sahaja sedap didengar, malah lebih mudah untuk dihafal.
Macam mana kalau sedang dalam haid atau bila keadaan tak mengizinkan untuk kita solat dhuha? Tak apa, kita masih boleh amalkan doa dhuha walaupun tak boleh solat. Doa ini boleh dijadikan sebagai zikir harian setiap hari pada waktu dhuha.
WAKTU SOLAT DAN MEMBACA DOA DHUHA
Selepas waktu syuruk hingga sebelum matahari tergelincir. Sebagai panduan yang lebih praktikal waktu dhuha adalah;
- 20-30 minit selepas terbit matahari hingga 10 sebelum masuk waktu zuhur
- Diamalkan selepas bacaan Al-Mathurat di waktu pagi
DOA DHUHA 2
Ada hadis yang menyatakan baginda Nabi Muhammad SAW membacakan doa tertentu selepas memberi salam. Ianya dikuatkan lagi dengan hadis;
“Dari Aisyah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW selesai solat sunat dhuha baginda mengucapkan,
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
‘Allahummaghfirli wa tub ‘alayya, innaka antat tawwabur rohiim’
“Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
[HR. Bukhari]
BACAAN LENGKAP
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
اَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَصْبَحْتُ عَبْدَك وَعَهْدَك وَوَعْدَك أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَلَمْ أَكُ شَيْئًا أَسْتَغْفِرُكَ لِذَنْبِيْ فَإِنَّهُ قَدْ أَرْهَقَتْنِيْ ذُنُوْبِي وَأَحَاطَتْ بِيْ إِلاَّ أَنْ تَغْفِرَهَا لِيْ فَاغْفِرْهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
“Ya Tuhanku ampunkan dosaku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Ya Allah bagiMu segala pujian, aku di waktu pagi sebagai hamba-Mu dan atas perjanjian dengan-Mu dan apa yang Kamu janjikan, Kamu menciptakanku dan tiadalah aku sesuatu, aku beristighfar kepada-Mu dari segala dosaku kerana sesungguhnya ia telah membelenggu dosa-dosaku dan meliputiku kecuali Engkau mengampuninya, maka ampunkanlahnya hai Tuhan yang bersifat Maha Rahmat dan Kasih Sayang.”
KEISTIMEWAAN SOLAT & DOA DHUHA
1. Diberikan kecukupan
Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata,
“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Allah menjanjikan kecukupan kepada sesiapa sahaja yang solat di pagi hari. Rezeki yang diberikan juga boleh jadi dari pelbagai bentuk sama ada makanan, tubuh badan yang sihat, anak-anak yang soleh dan bijak, keluarga yang bahagia, bidang pekerjaan yang baik dan sebagainya.
2. Mendapat pahala umrah
Daripada Abu Umamah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”
[Sahih Al-Targhib]
Sungguh baik tuhan kita bila Dia memberikan pahala menunaikan umrah bagi sesiapa yang melakukan solat Dhuha. Mana ada orang yang tak nak pergi ke tanah suci tapi mungkin kerana beberapa kekangan, mereka tidak mampu untuk menunaikan umrah di Mekah.
Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan. Jadi, dari hari ini kita dah boleh mula melazimi membaca doa dhuha dan mendirikan solat dhuha walaupun hanya 2 rakaat sahaja.
3. Diampunkan dosanya
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhaNya, nescaya diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”
(Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, Dia juga akan memaafkan segala kesalahan manusia ketika mereka mengerjakan solat dhuha. Tuhan yang maha pengampung selalu berada dekat kepada hamba yang berusaha mendekatiNya.
4. Sebagai sedekah
Daripada Abi Zar r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat dhuha.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Solat dhuha cukup dengan kalimah memuji Allah. Ketika kita melakukan solat sunat dhuha, kita pasti akan membaca tasbih, tahmid dan takbir. Jadi setiap kali kita solat, kita juga akan mendapat kelebihan berganda iaitu bersedekah.
Itulah keajaiban solat dhuha. Walaupun hanya 2 rakaat tetapi ganjaran dan kelebihannya sangatlah besar dan membantu manusia meningkatkan kualiti kehidupan. Paling penting Allah menjanjikan pintu rezeki bagi yang selalu mengamalkan rutin solat dan doa dhuha.