KelabMama

Pilihan Doa Belajar Dan Manfaatnya Untuk Mama dan Anak

Mama semua ingat tak dulu masa dekat sekolah, baca doa belajar dalam kelas tu dah jadi macam satu ritual. Macam aneh kalau mulakan kelas tak baca doa sama-sama.

Dulu masa Mama Siti di sekolah rendah, kami kena baca doa belajar beramai-ramai siap ada nada yang sama pula tu. Kalau terimbau kenangan lama, barulah terfikir siapa yang ajar ritma lagu bacaan doa ni. Sebab memang tak ada yang ajar pun sebenarnya. Mungkin naluri kanak-kanak yang menyatukan kami. 

SEMUA ORANG KENA BELAJAR KE ?

Kredit gambar: Pixabay

Imam As-Syafiee Rahimatullah Taala ada berkata dalam wasiatnya yang berbunyi seperti ini. 

“Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjaga kamu dan membuat kamu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala”

Beliau menyarankan kita untuk sentiasa mempelajari ilmu baru. Ini bermaksud ianya tiada had dari segi umur, jantina atau harta kekayaan. Semua orang berhak mendapatkan ilmu pengetahuan samada ilmu keagamaan atau ilmu yang lainnya.

Dan tahukah anda? Setiap orang yang berusaha mencari ilmu pengetahuan akan mendapat kelebihan luar biasa dari seluruh makhluk tuhan di dunia ini. Sebagaimana sabda baginda Nabi Muhammad SAW; 

وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ

وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ

“Sungguh, para malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimohon keampunan oleh penduduk langit dan bumi, bahkan hingga ikan yang ada di dasar laut” [HR. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah]

DOA BELAJAR

Kredit gambar: Freepik

Mama Siti yakin mesti kebanyakkan orang pernah dengar doa yang macam ni semasa di sekolah dahulu. Mungkin ada yang tak ingat atau nak betulkan bacaan. Oleh itu, Mama Siti telahpun sediakan sekali cara bacaan dalam rumi serta maksud setiap doa sebelum dan selepas belajar seperti di bawah.

Doa Sebelum Belajar #1

اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَانْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ

رَحْمَتِكَ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْن

‘Allahummaftah ‘alaina hikmataka wansyur ‘alainaa min khozaa, ini rohmatika yaa arhamarraahimiin’

(Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahkanlah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)

Jika anda memohon kefahaman dan ingin dimudahkan urusan menuntut ilmu, anda boleh mulakan dengan ayat ini. Sebagai tambahan, doa ini juga boleh dibacakan dalam keadaan lain seperti ketika membaca buku.

Doa Sebelum Belajar #2

(Doa Penerang Hati)

Kredit gambar: qamarislamkhan.com

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ

عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

‘Robbisyrohlii sodri wa yassirlii amrii wahlul ‘uqdatammillisaani yafqahu qauli’

(Ya Allah, lapangkanlah dadaku, permudahkan bagiku urusanku dan lancarkanlah lidahku agar mereka faham pembicaraanku) [Surah Taha: Ayat 25-28]

Berdasarkan maksud lafaz doa ini, kita faham bahawa kita sedang memohon kepada tuhan agar setiap bait kata dapat difahami oleh yang mendengarnya. Doa ini boleh diamalkan ketika anda perlu melakukan pembentangan atau perlu berucap di khalayak. Insya Allah dengan kuasa tuhan, Dia akan mengizinkanNya. 

Doa Sebelum Belajar #3

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

‘Rabbana atina min ladunka rahmatan wahayyi lana min amrina rasyada’

(Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami) [Surah Kahfi: Ayat 10]

Ini adalah doa yang dibacakan oleh pemuda di dalam gua yang ceritanya digazetkan di dalam Al-Quran. 

Bacakanlah doa ini kerana ianya bertujuan untuk meminta petunjuk serta jalan keluar dari setiap kebuntuan.

Doa Selepas Belajar #1

رَبَّنَا انْفَعْنَا بِمَاعَلَمْتَنَا الَّذِيْ يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالْحَمْدُلِلّٰهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

‘Rabbanan fa’naa bima ‘allamtana ladzi yanfa’una wa zidna ‘ilman walhamdulillahi ‘ala kulli hal’

(Ya Tuhan kami, jadikanlah ilmu kami ilmu yang bermanfaat, ajarkan kami apa-apa yang bermanfaat bagi kami serta tambahkan ilmu bagi kami, segala puji hanya bagi Allah dalam setiap keadaan)

Penting untuk kita selalu berdoa supaya pengetahuan yang kita miliki dipelihara kesuciannya. Sifat manusia yang lemah selalu membuatnya mudah terpengaruh dengan sesuatu yang hanya memberikan kelebihan di dunia. 

Contohnya, kemahiran menggodam adalah ilmu paling ingin dimiliki pada zaman ini. Seseorang yang pandai ‘hacking’ ada kelebihan mengawal gerak geri pengguna internet. Ilmu perlu di jaga darjatnya. Kalau perlu ‘hack’ kerana ingin membantu pihak berkuasa, itu tidak mengapa. Jangan sampai ada yang terjerumus dalam lembah kesesatan.

Doa Selepas Belajar #2

(Doa Peperiksaan)

Kredit gambar: Islamituindah.my

اَللّٰهُمَّ اِنِّى اِسْتَوْدِعُكَ مَاعَلَّمْتَنِيْهِ فَارْدُدْهُ اِلَىَّ عِنْدَ حَاجَتِىْ وَلاَ تَنْسَنِيْهِ يَارَبَّ الْعَالَمِيْنَ

‘Allaahumma innii istaudi’uka maa ‘allamtaniihi fardud-hu ilayya ‘inda haajatii. Wa laa tansaniihi yaa robbal ‘alamiin’

(Ya Allah, sesungguhnya ku titipkan kepada-Mu apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku, maka kembalikanlah dia kepadaku disaat aku membutuhkannya. Janganlah Engkau buat aku lupa kepadanya wahai Tuhan pemelihara alam)

Dalam doa ini, kita memohon Allah untuk mengembalikan ingatan tentang segala apa yang pernah dipelajari sebelum ini. Setelah berusaha, kita bertawakal dan berharap agar tuhan membantu dengan memberikan ilham ketika keadaan memerlukan

Doa Selepas Belajar #3

اَللّٰهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّـبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

‘Allahumma arinal haqqa haqqan warzuqnat tibaa’ahu. Wa Arinal baathila baa-thilan warzuqnaj tinaabahu’

(Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran, sehingga kami dapat mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kejelekan sehingga kami dapat menjauhinya)

Sesungguhnya, hanya tuhan yang tahu tentang segala apa yang berlaku. Kadang-kadang kita tersilap langkah kerana salah fahaman ketika belajar. 

Seperti yang sedang heboh sekarang ini, ramai orang di kalangan penentang vaksin menyatakan bahawa suntikan vaksin Covid-19 adalah agenda pihak tertentu. Itulah yang berlaku jika kita tidak dilihatkan dengan perkara yang benar. Ada ramai yang terpedaya kerana mereka percaya pada perkara yang sebaliknya. 

Doa ini untuk kita memohon agar tuhan memperlihatkan natijah untuk ilmu yang benar dan yang salah. 

Menuntut ilmu adalah jalan seorang muslim menjadi lebih baik. semudah membaca sehelai risalah juga sudah memadai. Kita tidak perlu menjadikan sesuatu cara berpakaian sebagai syarat mempelajari ilmu. Tuhan tahu isi hati hambanya dan Dia akan luruskan jalan bagi yang berusaha. Mama Siti harap doa ini dapat kita amalkan bersama dan semoga berguna untuk anak-anak kita juga nanti.