KelabMama

Doa Awal Muharram dan Asal Usul Kalendar Hijrah

Kali ini, Mama Siti nak fokuskan tentang doa di awal tahun, iaitu Doa Awal Muharram, dalam kalendar Islam. Mama Siti juga akan kongsikan mengenai kelebihan, manfaat dan kisah tentang bulan Muharram.

Apa yang pasti, Mama Siti sertakan sekali dalil sahih untuk rujukan Mama. Ada beberapa persoalan lazim yang akan dijernihkan dalam artikel kali ini. 

Jom, kita tengok apa lagi yang berkaitan tentang bulan Muharram. 

‘Penetapan Bulan Pertama Dalam Kalendar Hijrah Bukan Dari Nabi Muhammad SAW’ 

Individu yang pertama mengusulkan kalendar hijrah ialah Khalifah Umar Al-Khattab. Beliau ialah pemimpin kedua dari kalangan Khalifah ar-Rasyidin.

Kepimpinan khalifah berlaku selepas kewafatan baginda Nabi SAW. Jadi kita faham bahawa di zaman Rasulullah SAW, sistem pentarikhan dalam kalendar Islam belum wujud.  

Lalu kenapa Khalifah Umar Pembuat Penetapan Bulan Hijrah?

Baik, ada tiga kisah yang membuatkan beliau mencetuskan idea ini. Disebabkan ketika pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab Islam sedang berkembang luas, maka kebanyakkan faktornya adalah kerana pentadbiran dan persuratan.

Pertama, seorang gabenor dari Kota Basrah mengutuskan surat dan menuliskan “Kami telah menerima surat dari anda (Saidina ‘Umar al-Khattab) yang tiada padanya tarikh surat”. Tanpa arahan yang terperinci, sukar untuk sesuatu organisasi melaksanakan tugas.

Kedua, Saidina Umar pernah menerima dokumen kewangan yang tertulis bulan Sya’ban namun tidak pasti samada itu untuk bulan tersebut atau sebelumnya. Jadi, menurut beliau penetapan tahun yang rasmi perlu diperkenalkan untuk memudahkan masyarakat.

Ketiga, seorang lelaki Yaman memberitahu beliau tentang budaya masyarakat di tempat tinggalnya yang menggunakan kalendar khusus. Ianya seperti sesuatu yang baik menurut kalifah itu dan beliau ingin melaksanakannya.

Doa Awal Muharram atau Doa Awal Tahun

Kredit gambar: Akuislam.com

‘Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain
Allahumma Antal Abadiyyul Qadiimul Awwal, Wa ‘Ala Fadlikal ‘Azimi Wujuudikal Mu ‘Awwal
Wahazaa ‘Amun Jadiidun Qad Aqbala ‘Alaina, NasAlukal ‘Ismatafiihi Minassyaitaanir-rajim Wa Auliyaaihi Wajunuudihi Wal ‘Auna ‘Alaa Hazihin-Nafsil Ammarati Bissu’i Wal Isyta-rgholi Bima Yuqorribuna Ilaika Zulfa.
Ya Dzaljalaali Wal Ikram, Ya Arhamar-rohimiin, Rabbanaa Aatinaa Fiddunyaa Hasanatan Wafil Akhiroti Hasanatan Waqinaa ‘Azaabannar
Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Aalamin.

Maksudnya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerah Mu yang Agung dan dermawan Mu tempat bergantung.

Dan tahun baru ini benar-benar telah datang. Kami memohon kepadaMu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan bala tenteranya.

Dan kami memohon pertolongan  untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak kepada kejahatan, agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepadaMu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.

Anjuran Di Bulan Muharram

Puasa Asyura

Kredit gambar: ismaweb.net

Dari Ibnu Abbas: Dia berkata, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW sangat bersemangat untuk berpuasa di suatu hari, kecuali di hari ini (hari Asyura) dan di bulan Ramadhan”. (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Hari Asyura ialah hari ke 10 dalam bulan Muharram. Di Malaysia, hari Asyura tahun 1444 Hijrah jatuh pada tarikh 8 Ogos 2022, bersamaan dengan hari Isnin. 

Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah dapat menghapuskan dosa tahun lalu. Seperti yang tertulis di dalam hadis berikut;

Rasulullah SAW ditanya berkenaan berpuasa pada Hari Asyura, baginda mengatakan :

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Maksudnya: (Puasa hari Asyura) menghapuskan (dosa-dosa kecil) setahun yang berlalu. (HR Muslim)

Bersedekah dan Menyenangkan Ahli Keluarga

Kredit gambar: Freepik

Dari Abi Sa’id Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menyenangkan keluarganya di hari Asyura, maka Allah akan memberikan kesenangan kepadanya (meluaskan rezekinya) di tahun-tahun berikutnya”.
(HR Al-Baihaqi dan At-Tabrani)

Perbanyakkan Ibadah

Kredit gambar: Freepik

Bulan Muharram antara yang istimewa dalam agama Islam. Disebabkan ianya salah satu daripada empat bulan haram maka terdapat larangan dan suruhan yang perlu dipatuhi umat Islam. 

Surah At-Taubah;

 الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan menurut Allah ialah dua belas bulan pada ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.

Kita diseru untuk melakukan amal soleh sebanyak-banyaknya di bulan Muharram. Di samping itu, kita juga disarankan untuk melakukan taubat semasa berada dalam bulan ini. 

Dari Aswad bin Yazid dia berkata: “Aku bertanya kepada Ubaid bin Umair perihal puasa di hari Asyura, Dia menjawab: Muharram adalah bulan Allah yang penting. Di dalamnya Nabi Adam diterima taubatnya. Bila kamu mampu untuk tidak melewatinya tanpa puasa, maka puasalah”

Jadi sekarang kita dah tahu bagaimana kalendar hijrah diwujudkan. Ternyata banyak kelebihan yang boleh kita usahakan dalam bulan mulia ini. Harap-harap Mama Siti dapat bantu Mama menjawab persoalan tentang bulan Muharram ini ya dan jangan lupa untuk membaca doa awal Muharram atau doa awal tahun ini nanti ya. Jom baca doa awal tahun dan akhir tahun pula!

Selamat beramal.