Sekiranya ada antara ahli keluarga atau kenalan Mama yang menghidap strok atau angin ahmar, selain rawatan perubatan, Mama boleh kongsikan doa angin ahmar yang penuh manfaat untuk mereka amalkan.
Mama sendiri pun boleh mendoakan mereka dengan doa angin ahmar ini.
Apa itu Serangan Angin Ahmar?
Angin ahmar atau juga dikenali sebagai strok adalah penyakit kronik yang berlaku disebabkan oleh berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah yang menyebabkan sebahagian tisu otak rosak berpunca dari kekurangan bekalan oksigen ke otak.
Apabila hal ini berlaku, otak akan mati dan akan mula kehilangan fungsinya. Angin ahmar ini sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan segera boleh menyebabkan kerosakan pada fungsi badan malah lebih teruk lagi penyakit ini turut boleh membawa maut.
Selain mendapatkan rawatan di hospital, antara cara lain yang boleh diikhtiarkan adalah dengan mengamalkan satu doa angin ahmar yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W..
Dari sudut agama, angin ahmar ini disebut sebagai Angin Rihul Ahmar.
Hal ini dikisahkan pada zaman Nabi Sulaiman a.s, yang pada suatu ketika Nabi Sulaiman a.s sedang duduk di atas singgahsana kemudian datang ‘satu angin’ yang besar lalu Nabi Sulaiman bertanya “siapakah engkau?”
Angin tersebut menjawab, “Akulah Angin Rihul Ahmar. Apabila aku memasuki rongga anak adam, maka lumpuh, darah akan mengalir keluar dari hidung dan apabila aku memasuki otak maka akan gilalah anak adam…” .
Selepas itu Nabi Sulaiman a.s memerintahkan agar angin tersebut dibakar lalu berkatalah angin itu kepada baginda, “Aku akan kekal sehingga hari kiamat tiba, tiada siapa yang mampu membinasakan aku melainkan Allah S.W.T” selepas berkata-kata angin tersebut pun menghilang.
Faktor & Risiko
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit angin ahmar ini. Antara faktor tersebut adalah faktor umur, jantina, dan sejarah keluarga. Individu yang berumur 65 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini.
Selain itu, kaum lelaki dikatakan lebih berisiko untuk mendapat angin ahmar berbanding wanita dan risiko lebih tinggi juga sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit ini.
Di samping itu, terdapat juga faktor lain yang boleh menyumbang kepada penyakit ini. Antaranya ialah:
- tekanan darah tinggi
- kencing manis
- paras kolesterol yang tinggi
- tabiat merokok
- berat badan berlebihan
- cara hidup yang tidak aktif
- tertekan
- pemakanan yang tidak sihat
- minum minuman keras secara berlebihan
Seseorang itu lebih mudah untuk mendapat angin ahmar sekiranya mempunyai masalah seperti di atas.
Selain mendapatkan rawatan dari hospital jangan dilupakan juga untuk mengamalkan satu doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W..
Doa ini yang telah diambil dari satu kisah yang terjadi pada zaman Rasulullah S.A.W, di mana cucunda baginda, Hassan a.s terkena Angin Rihul Ahmar ini sehingga keluarnya darah dari rongga hidungnya.
Lalu Jibril datang menemui Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W bertanya kepada Jibril samada ada ubat untuk penyakit cucunda baginda. Lalu jawab Jibril “Ada”. Kemudian Jibril menghilangkan diri buat seketika dan muncul semula dan telah mengajari satu doa kepada Rasulullah.
Rasulullah S.A.W kemudiannya telah membacakan doa tersebut kepada Hassan, dan dengan berkat dan kehendak Allah S.W.T cucunda baginda beroleh kesembuhan serta merta dan bangun dalam keadaan sihat. Lalu baginda bersabda bahawa:
“Sesiapa yang membaca doa Rihul Ahmar ini walau sekali dalam hidupnya, maka akan dijauhkan dari penyakit Rihul Ahmar“.
Cara Baca Doa Angin Ahmar
Berikut merupakan cara bacaan doa untuk menyembuhkan penyakit angin ahmar iaitu:
اللهم إني أعوذبك من الريح الأحمر والدم الأسود والداء الأكبر
Allahumma inni a’uzubika minarrihil ahmar, waddamil aswad, waddail akbar
Maksudnya:
“Ya Allah tuhanku lindungi aku dari angin merah & lindungi aku dari darah hitam (strok) dan dari penyakit berat“.
Jadikan amalan membaca doa ini satu rutin harian samada dibaca selepas solat atau di mana sahaja, paling kurang sekali dalam seumur hidup.
Bacalah dengan penuh tertib (mematuhi kaedah dan adab-adab berdoa) seperti mana kita meminta sesuatu daripada tuan kita disamping berikhtiar, InsyaAllah, mudah-mudahan doa kita diangkat dan dikabulkan.
Setiap penyakit mempunyai ubat dan nescaya hanya Allah yang boleh menyembuhkan segala jenis penyakit.
Oleh itu, tidak salah sekiranya kita mengamalkan doa ini dalam doa harian kita dan semoga Allah menjauhkan kita dari penyakit berbahaya ini.
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.