KelabMama

Viral Budak 9 Tahun Disengat Obor-obor Ketika Mandi Pantai: Rawatan Awal & Apa Yang Harus Dielakkan

Budak 9 Tahun Disengat Obor-Obor Ketika Mandi di Pantai Batu Feringghi

Dalam satu video yang dikongsikan oleh aenlufya, dia dan keluarganya dilihat sedang bergembira mandi-manda di Pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang bersama anaknya tetapi bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang anaknya disengat obor-obor.

“Berhati-hati semasa berenang di pantai Batu Ferringhi”

Aen (Mama) berkata bahawa semasa anak-anaknya sedang gembira bermain di dalam air, salah seorang daripada anaknya tiba-tiba menjerit meminta tolong, mengadu sakit dan gatal yang teruk di seluruh badannya.

Kredit Gambar: TikTok aenlufya

Aen mendedahkan bahawa pada mulanya dia juga keliru mengapa anak perempuannya yang berusia 9 tahun berada dalam keadaan yang begitu teruk. Tetapi selepas memeriksanya, Aen mendapati terdapat benjolan yang jelas pada tubuh badan anaknya.

Aen meneruskan penjelasan bahawa beberapa pengunjung pantai yang melihat kejadian itu datang dan memberitahu bahawa anak perempuannya telah disengat obor-obor yang ada di sekitar pantai tersebut.

“Salah seorang pengunjung bahkan memanggil ambulans untuk kami. Semasa kami menunggu, kami cuba mencari kedai makan berhampiran. Pemilik kedai memberikan kami limau, dan saya menghantar seorang kawan untuk membeli cuka” jelas Aen.

Untuk pengetahuan Mama, cuka adalah asid lemah dan salah satu rawatan awal yang boleh dilakukan sekiranya disengat obor-obor.

Ketika ambulans tiba, doktor telah memeriksa keadaan anak perempuannya dan diberikan suntikan. Keadaan anaknya bertambah baik tetapi rasa gatal-gatal pada badannya mungkin akan ambil masa untuk hilang.

“Nasihat saya ialah berhati-hati jika anda pergi ke pantai. Jika boleh, elakkan berenang, kerana walaupun berada di tepi pantai, anda masih berisiko terdedah kepada obor-obor,” ujar Aen sebagai tanda ingatan kepada Mama Papa yang ingin membawa anak-anak mandi di pantai.

Rawatan Kecemasan Apabila Disengat Obor-obor

Sekiranya anda disengat obor-obor, berikut adalah beberapa langkah rawatan awal yang boleh diambil:

  1. Langkah Pertama: Segera keluar dari air! Ini penting untuk mengelakkan sengatan lebih lanjut dan untuk mendapatkan bantuan segera.
  2. Langkah Kedua: Tenangkan mangsa, ini membantu mengurangkan pergerakan yang boleh menyebabkan racun tersebar lebih banyak dalam badannya.
  3. Langkah Ketiga: Bilas kawasan sengatan dengan cuka (asid asetik). Ini adalah untuk melumpuhkan nematocyst yang belum melepaskan racun.
  4. Langkah Keempat: Sekiranya ada, buang tentakel yang melekat dengan menggunakan sarung tangan atau apa-apa objek untuk mengikis tentakel dengan berhati-hati. Jangan buang dengan tangan kosong tau Mama kerana ini boleh menyebabkan sengatan lebih lanjut.
  5. Langkah Kelima: Dapatkan rawatan perubatan segera jika sengatan menyebabkan reaksi alahan yang teruk, kesukaran bernafas, atau kesakitan yang berterusan.
  6. Langkah Tambahan: Menggunakan ubat seperti antihistamin atau krim kortikosteroid yang boleh membantu mengurangkan gatal-gatal, bengkak, dan mengurangkan keradangan.

Penting: JANGAN Lakukan Perkara-perkara Ini

Mama Siti scroll semula berita tahun lepas, sudah ada berita mengenai serangan obor-obor di sekitar kawasan pantai Pulau Pinang. Malah sudah dinasihati kepada pengunjung untuk lebih berwaspada ketika mandi atau melakukan sebarang aktiviti air di kawasan pantai.

Kejadian ini bukan hanya berlaku kepada keluarga aenlufya sahaja, komen di TikTok juga turut kongsikan kejadian yang sama berlaku kepada ahli keluarga mereka apabila mandi di kawasan tersebut.

Sekiranya Mama Papa selalu beriadah di pantai, Mama Siti nasihatkan sediakan sebotol cuka sebagai langkah berjaga-jaga, mengetahui klinik atau hospital terdekat untuk rawatan kecemasan dan pastikan kawasan tersebut bebas dari serangan obor-obor.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak lagi tips keibubapaan di SINI.