Siapa menyangka, kandungan yang pada awalnya dijangka tak dapat mampu diselamatkan telah pun selamat dilahirkan secara pembedahan walaupun si ibu dalam keadaan koma selepas kejang dan sawan kerana tumor pada Disember lalu.
SEAWAL usia dua bulan dalam kandungan, bayi perempuan ini hanya bergantung kepada susu yang dimasukkan melalui tiub di leher ibunya.
Sebaik dilahirkan menerusi proses pembedahan, bayi pra matang yang diberi nama Farah Hanis Fairol Haziri yang kini berusia 41 hari belum merasa setitik pun susu daripada ibu kandungnya, Kamareeah Arwae, 36, kerana wanita itu koma sejak tujuh bulan lalu.
Dianggap satu keajaiban oleh pengamal perubatan, bayi perempuan itu pada awalnya dijangka tidak mampu diselamatkan kerana Kamareeah yang menghidap tumor di kepala Disember lalu menjalani banyak proses rawatan termasuk proses imbasan sekali gus memberi kesan kepada janin ketika itu.
Suami Kamareeah, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata, rawatan berterusan terpaksa dibuat terhadap isterinya yang berada dalam koma selepas kejang dan sawan kerana tumor semakin membesar Disember lalu.
“Pada awal usia kandungan, saya sudah mengetahui isteri mengandung dan ketika menerima rawatan, doktor memaklumkan bahawa janin mungkin tidak dapat bertahan.
“Isteri terpaksa melalui banyak proses imbasan dan doktor menerangkan mengenai risiko proses itu terhadap janin,”
katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.
Fairol Haziri berkata, isterinya menjalani pembedahan membuang tumor sebesar bola ping pong dan ketika itu keadaan janin semakin membesar sehingga memasuki usia empat bulan.
Katanya, doktor memberitahu janin itu kemungkinan akan meninggal dunia dalam kandungan atau gugur sendiri kerana keadannya yang sangat lemah dan dia perlu menunggu detik itu dengan reda kerana nyawa isteri lebih penting.
“Selepas menjalani dua pembedahan termasuk membuang tempurung kepala, isteri dibenarkan pulang dan dalam tempoh itu kandungannya masih tiada tanda negatif.
“Sehingga usia kandungan 33 minggu, dia semakin membesar dengan normal dan pembentukan sifat yang sempurna sekaligus menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan pegawai perubatan dan mereka mengambil keputusan untuk melahirkan anak kami melalui pembedahan.
“Bayi perempuan pra matang kami ini menghadapi sedikit komplikasi ketika proses kelahiran dan ditahan di wad kira-kira tiga minggu sebelum dibenarkan pulang,”
katanya yang sebelum ini menguruskan kedai makan sebelum premis itu ditutup selepas kejadian yang menimpa isterinya.
Farah Hanis sempat diberikan susu ibu oleh seorang ibu tumpang (susuan) selama dua minggu dan kini bayi ajaib itu bergantung kepada susu formula khas untuk bayi pra matang.
Selain Farah Hanis, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, Farras Hazim, 19 bulan, dan menurut Fairol Haziri, sebelum isterinya koma, anak sulung mereka masih menyusu badan.
“Selepas isteri koma, Farras terus terputus susu ibu dan dia juga enggan minum susu formula kerana sebelum ini dia memang menyusu badan sepenuhnya… mungkin ia berlaku dengan mengejut menyebabkan dia tidak mahukan susu formula,”
katanya yang kini tidak bekerja dan hanya mengharapkan ihsan orang ramai serta beberapa pihak bagi pembelian susu khas dan lampin pakai buang isterinya.
Fairol Haziri berkata, mereka ada menerima bantuan kewangan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan bantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan bebannya.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Fairol Haziri iaitu 0300141000081183.
Sumber : hmetro
BACA JUGA SENTUHAN PERTAMA KALI SETELAH 5 BULAN KOMA SELEPAS MELAHIRKAN ANAK
Pesan Mama Siti
Manusia hanya mampu merancang, selebihnya Allah yang menentukan. Alhamdulillah adik Farah Hanis selamat dilahirkan. Semoga si ibu, Puan Kamareeah cepat sembuh dan semoga keluarga tabah menghadapi ujian Allah ini. Amin