KelabMama

Dinding Rahim Tebal – Pakar Kongsikan Masalah Kesihatan Wanita Jarang Diketahui

masalah dinding rahim tebal

Mama pernah dengar masalah kesihatan tentang dinding rahim tebal? Mungkin Mama pernah dengar tetapi Mama tidak didedahkan secara meluas bagaimana penyakit berlaku.

Dr. Wan Syahirah Yang Mohsin

Seperti yang kita tahu penyakit paling popular dalam kalangan Mama ialah PCOS atau kanser ovari tapi untuk kali ini Mama Siti kongsikan masalah ini supaya Mama sentiasa alert dengan masalah kesihatan yang Mama alami.

Mesti Mama tertanya-tanya adakah penyakit ini normal sahaja? Atau penyakit ini boleh menjadi kanser juga? Dan adakah ia boleh menjadi penyebab Mama berisiko untuk mengandung?

Untuk menjawab soalan Mama tentang penyakit ini, jom baca temu bual bersama Dr. Wan Syahirah Yang Mohsin iaitu Pakar Sakit Puan dan Pakar Kesuburan di Alhaya Fertility Centre.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan dinding rahim tebal? Adakah keadaan ini menjadi  suatu kebiasaan yang akan dihadapi oleh semua wanita? 

Dinding rahim boleh menebal disebabkan oleh beberapa faktor. Dalam banyak keadaan, penebalan dinding rahim adalah disebabkan oleh perubahan fisiologi biasa hormon mengikut kitaran haid.

Ia juga boleh berkait dengan peringkat awal kehamilan seorang wanita. Walau bagaimanapun, ia mungkin juga disebabkan oleh penyakit ketebalan dinding rahim yang luar biasa, juga dipanggil endometrial hyperplasia.

2. Bagaimanakah dinding rahim yang tebal boleh menjejaskan kesuburan Mama? 

Ketebalan dinding rahim yang disebabkan oleh endometrial hyperplasia perlu dirawat dengan hormon untuk tempoh masa tertentu.

Ini menyebabkan rawatan kesuburan perlu ditangguhkan sehingga sembuh sepenuhnya.

3. Apakah faktor yang boleh menyebabkan dinding rahim Mama menjadi lebih tebal daripada biasa?

Kredit Gambar: Healthdirect

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini termasuk obesiti, sindrom polisistik ovari (PCOS), wanita yang tidak pernah mengandung atau mempunyai jumlah anak yang sedikit.

4. Selain gangguan haid, apakah gejala lain yang mungkin dialami oleh Mama yang mempunyai masalah kesihatan ini?  

Tiada gejala lain berkait dengan masalah ini.

5. Boleh doktor ceritakan apakah yang dilakukan untuk penyakit ini? 

Rawatan ubat hormon akan diberikan untuk merawat masalah endometrial hyperplasia.

Pada masa yang sama, rawatan susulan akan dilakukan termasuk pengambilan tisu dinding rahim bagi pemantauan tahap kesihatan dinding rahim sehingga normal.

6. Dinding rahim yang tebal ini menjadi salah satu tanda Mama menghadapi masalah kesihatan atau adakah terdapat situasi di mana ia adalah keadaan normal sahaja?

Dinding rahim yang tebal tidak semestinya berkait dengan masalah kesihatan. Hal ini demikian kerana dinding rahim juga boleh menebal dengan perubahan hormon dalam kitaran haid.

Perkembangan telur di dalam kitaran haid akan menghasilkan hormon estrogen yang boleh merangsang penebalan dinding rahim. Sekiranya seseorang wanita itu mengandung, dinding rahim juga akan terus menebal bagi menampung kandungan.

7. Adakah terdapat hubungan antara masalah dinding rahim ini dan keadaan lain, seperti endometriosis atau PCOS?

Wanita yang mengalami PCOS mengalami gangguan hormon yang menyebabkan mereka berisiko mengalami endometrial hyperplasia. Endometriosis pula tidak ada kaitan dengan penebalan dinding rahim.

8. Selain itu, adakah terdapat risiko penyakit lain yang boleh dijangkiti oleh Mama yang menghadapi atau komplikasi yang berkaitan dengan dinding rahim yang tebal?

Wanita yang mengalami endometrial hyperplasia berisiko mengalami kanser dinding rahim sekiranya endometrial hyperplasia tidak dirawat dan berpanjangan.

Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang wanita itu perlu melalui pembedahan buang rahim yang akhirnya melenyapkan fungsi reproduktif seorang wanita. 

9. Apakah proses bagi Mama yang mempunyai dinding rahim yang tebal untuk memantau keadaan mereka dengan kerap?

Wanita yang mengalami masalah endometrial hyperplasia perlu konsisten dengan rawatan hormon yang diberikan. Pemantauan sampel tisu dinding rahim perlu dilakukan setiap tiga ke enam bulan sehingga sembuh sepenuhnya. 

10. Apakah pilihan rawatan yang tersedia untuk dinding rahim yang tebal? Dan adakah rawatan yang dilakukan boleh menjejaskan kitaran haid Mama?

Terdapat beberapa pilihan rawatan hormon progesteron termasuk oral, juga alat darah rahim yang dipanggil mirena. Rawatan ini akan menipiskan dinding rahim dan oleh itu, jumlah haid berkurangan juga haid akan bertambah pendek.

11. Adakah perubahan hormon mempunyai peranan dalam perkembangan dinding rahim yang tebal?

Perubahan hormon dalam kitaran haid khasnya hormon estrogen berfungsi dalam merangsang penebalan dinding rahim.

12. Apakah nasihat doktor dari segi gaya hidup, seperti diet dan senaman, dalam mengurus atau mencegah dinding rahim yang tebal kepada Mama di luar sana?

Amalan pemakanan yang sihat dan seimbang, serta gaya hidup sihat, kekal aktif dan mengekalkan berat badan ideal akan membantu kestabilan hormon dalaman wanita dan mengurangkan risiko masalah ketebalan dinding rahim luar biasa endometrial hyperplasia.

Dr. Wan Syahirah juga aktif di akaun TikTok beliau, jadi Mama Siti kongsikan TikTok Dr Syahirah supaya Mama dapat lihat lebih banyak perkongsian tentang masalah kesihatan yang lain.


Mama nak tahu apa lagi masalah kesihatan wanita? Klik di SINI.