KelabMama

Dietitian Jelaskan Mengenai Diet Bebas Gluten & Kesannya Kepada Kesihatan Kita

Mama Siti percaya kebanyakkan kita biasa dengar tentang amalan diet bebas gluten, bukan?

Puan Mardhiah Mat Din, Pakar Pemakanan dari Hospital Columbia Asia – Puchong.

Namun, adakah kita benar-benar memahami konsep pemakanan yang disarankan ini? Mengapa diet bebas gluten diperkenalkan?

Adakah ia menyihatkan atau memberi kesan sampingan sekiranya gluten tidak diambil dalam tubuh?

Secara asasnya, amalan diet gluten disarankan oleh pakar kesihatan sebagai alternatif untuk kumpulan individu yang didiagnos dengan sesuatu penyakit dan terpaksa berpantang daripada makananan mengandungi bahan tersebut.

Bagaimanapun, dunia pada hari ini telah memperluaskan kaedah diet berkenaan sekaligus menjadi kebebasan untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Kini, search sahaja resepi daripada internet, pelbagai cadangan makanan gluten free boleh ditemukan sekaligus membuktikan diet bebas gluten ini semakin popular dan menjadi ikutan.

Namun, menjadi persoalan pula adakah ramuan tersebut merbahaya kerana kita boleh lihat banyak makanan tanpa gluten pada hari ini dijual secara meluas?

Untuk memahami dengan lebih lanjut, ikuti kupasan oleh Pakar Pemakanan dari Hospital Columbia Asia – Puchong, Puan Mardhiah Mat Din dalam menjawab persoalan diutarakan Kelab Mama berkaitan diet bebas gluten dan kesannya kepada tubuh.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan makanan bebas gluten?

Gluten adalah sejenis protein yang terdapat dalam kernel gandum dan terdiri daripada gliadin larut dan glutenin tidak larut. Ia mudah didapati dalam sumber bijirin terutamanya gandum, roti rai, dan barli. 

Manakala, makanan bebas gluten ialah makanan yang tidak berasaskan bijirin dan bebas kandungan gluten untuk memastikan keperluan nutrisi individu yang mempunyai masalah alahan gluten masih dapat dipenuhi.

2. Siapakah kumpulan yang perlu atau disarankan untuk mengamalkan diet bebas gluten?

Mereka yang mengalami masalah autoimun atau Celiac Disease. Ia penyakit berkaitan alergi makanan yang menghalang badan dari menggunakan nutrien tertentu. Alahan adalah untuk bahan (protein) yang dipanggil gluten.

Gluten terdapat dalam banyak bijirin, seperti gandum, rai, oat dan barli. Alahan kebanyakannya memberi kesan kepada usus kecil, di mana makanan bergerak selepas ia meninggalkan perut. Ia biasanya mula-mula muncul pada bayi apabila mereka mula makan makanan yang mengandungi gluten.

Justeru, golongan yang mengalami masalah autoimun akan menyebabkan kerosakan lapisan dinding usus (villous) apabila dirangsang oleh gluten, sekaligus menghalang penyerapan nutrisi.

Celiac Disease memerlukan pesakit mengurangkan atau mengelakkan pengambilan gluten dalam pemakanan harian.

3. Adakah terdapat risiko merbahaya sekiranya mereka yang alah kepada gluten mengambil bahan ini tanpa sengaja?

Individu yang mempunyai simptom Celiac Disease dan mengabaikan diet bebas gluten boleh mengalami pelbagai komplikasi seperti kekurangan nutrisi, penurunan berat badan, keradangan usus dan sebagainya.

Jika anda sering mengalami masalah penghadaman seperti cirit-birit (diarrhea), kembung perut (bloating), penurunan berat badan dan kekurangan darah merah, anda amat disarankan untuk menukar diet biasa kepada diet bebas gluten.

4. Jika ya (bagi jawapan pada soalan nombor 3) apakah rawatan atau ubat yang sesuai untuk diberikan?

Apabila simptom menjadi lebih teruk seperti cirit-birit berpanjangan, penurunan darah merah, pengurangan berat serta kelesuan tubuh badan, pastikan anda mendapatkan sokongan perubatan daripada doktor dan pegawai dietetik untuk rawatan lanjut.

Kebiasaannya, rawatan penggantian elektrolit dan air serta rawatan lain yang bertujuan untuk mengurangkan simptom akan diberikan.

5. Adakah terdapat kesan sampingan dalam kesihatan kepada individu yang terpaksa menolak makanan mengandungi gluten?

Makanan kaya gluten (bijirin) adalah sumber vitamin dan mineral yang baik dalam diet harian. Gangguan sistem pencernaan dan penyerapan nutrisi akibat Celiac Disease pula akan menyebabkan kekurangan sumber vitamin dan mineral dalam badan. 

Pesakit Celiac juga kebiasaannya mempunyai masalah pencernaan laktosa dalam produk tenusu menyebabkan risiko masalah tulang rapuh (osteoporosis) meningkat.

Disebabkan itu, antara kesan utama diet bebas gluten adalah kekurangan nutrisi dalam bentuk vitamin dan mineral terutamanya kalsium, magnesium, vitamin B dan D. 

Namun kini, kemajuan industri makanan membolehkan pengamal diet bebas gluten untuk mendapatkan produk yang bukan sahaja bebas gluten, malah turut diperkaya dengan vitamin dan mineral penting untuk tubuh badan.

6. Adakah terdapat risiko merbahaya bagi individu normal yang kerap mengambil gluten dalam pemakanan seharian?

Kebanyakan populasi dunia pada masa kini cuba mengelak daripada mengambil makanan yang mengandungi gluten atas pelbagai faktor, termasuklah sensitiviti terhadap sistem pencernaan, tidak toleransi, dan reaksi alergik. 

Sebenarnya, individu normal juga boleh mengamalkan diet bebas gluten. Kajian terbaru mendapati gluten dan protein gandum yang lain juga berpotensi mencetuskan simptom kepada individu tanpa penyakit Celiac.

7. Adakah golongan individu yang alah dengan gluten ini boleh diubati? (Contohnya ubat khas atau mengubah diet pemakanan untuk membolehkan mereka menikmati makanan mengandungi gluten tanpa risau).

Sehingga kini, tiada ubatan khusus untuk merawat alahan kepada gluten melainkan hanya untuk meredakan simptom. Namun, mengamalkan diet bebas gluten secara konsisten didapati boleh merawat masalah ini. 

Berdasarkan sebuah kajian, diet bebas gluten sepanjang hayat adalah rawatan yang efektif untuk mengurangkan dan mengelakkan simptom, menyelaras semula antibodi dan merawat lapisan mukosa usus bagi pesakit Celiac. 

Lebih 95 peratus kanak-kanak yang mengalami Celiac Disease berjaya menyembuhkan lapisan mukosa usus (mucosal recovery) selepas mengamalkan diet bebas gluten selama 2 tahun berbanding pesakit Celiac dewasa.

8. Jenis makanan sesuai dan selamat untuk mereka yang mengamalkan diet bebas gluten.

Dari sudut pemakanan, pesakit perlu menyingkirkan semua makanan berasakan gluten seperti gandum, rai, dan barli serta gantikannya kepada sumber karbohidrat tanpa gluten seperti jagung, kentang, nasi, soya, ubi kayu dan makanan bebas gluten yang lain.

Antara cadangan sumber serat bebas gluten seperti:

Pastikan pengambilan vitamin dan mineral tambahan seperti vitamin A, D, E, K, vitamin B12, thiamin, riboflavin, niasin, asid folik, zat besi dan kalsium mencukupi.

Makanan seperti ikan salmon, sardin, udang dan ikan kod bukan sahaja tinggi kandungan vitamin D, malah turut kaya dengan kandungan omega 3 yang berpotensi mengurangkan keradangan usus dalam masalah Celiac yang teruk. 

Akhir sekali, pastikan semak label pemakanan untuk memastikan tiada bahan yang mengandungi gluten tanpa disedari.

Cakna pada kesihatan dan pemakanan anda untuk kesejahteraan hidup.

Rujukan:

  1. Rostami K, Bold J, Parr A, Johnson MW. Gluten-Free Diet Indications, Safety, Quality, Labels, and
    Challenges. Nutrients. 2017 Aug 8;9(8):846. doi: 10.3390/nu9080846. PMID: 28786929; PMCID:
    PMC5579639.
  2. Rubio-Tapia A, Rahim MW, See JA, Lahr BD, Wu TT, Murray JA. Mucosal recovery and mortality in adults
    with celiac disease after treatment with a gluten-free diet. Am J Gastroenterol. 2010 Jun;105(6):1412-20.
    doi: 10.1038/ajg.2010.10. Epub 2010 Feb 9. PMID: 20145607; PMCID: PMC2881171.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkaitan kesihatan boleh klik di SINI!