KelabMama

Diari Hati Ibu: First Step Selepas Tahu Hamil

Waktu pertama kali hamil, perkahwinan kami masuk dua tahun. Selepas banyak prosedur, terasa begitu lama sekali tempoh penantian walhal ikutkan tidaklah begitu lama berbanding pasangan lain. Begitulah bila diuji Allah, baru sedikit tapi kita terasa dah terlalu susah. Itu memang hakikatnya sebab Allah beri ujian, supaya kita rasa down dan kembali hanya kepada Dia.

Kali ni As nak kongsi apa yang As terus lakukan sebaik sahaja tahu hamil anak pertama. Mungkin boleh jadi panduan buat ibu-ibu yang sedang merancang kehamilan.

Sujud Syukur

Hidup kita antara dua, alhamdulillah. Bila diberi nikmat kita bersyukur, bila diuji juga kita bersyukur. Barulah Allah tambahkan lagi nikmatNya untuk kita. Sebaik sahaja nampak dua garisan merah selepas banyak episod hasil ujian hamil yang negatif, terus As sujud syukur tanpa henti. Sukar nak nyatakan rasa hati waktu itu hanya ucap syukur menggambarkan segalanya.

Berkongsi Berita Gembira

Disebabkan ia kehamilan yang ditunggu-tunggu, As masa tu antara kerisauan dan excited nak share berita gembira ni. Waktu itu As penuh dengan rasa masih tak percaya dan juga takut. Takut akan kehilangan, macam-macam di fikiran. Jadi di peringkat awal, hanya ahli keluarga dan sahabat terdekat sahaja tahu tentang berita ini.

Ada sahabat yang menangis kerana tumpang gembira dan tahu perjalanan trying to conceive kita waktu itu. Keluarga juga tak putus mendoakan supaya akhirnya berita gembira ini datang buat kami.

Jurnal Ibu Hamil

Kredit gambar: Snugglebugz

Kemudian, As terus rekodkan semua maklumat penting di dalam jurnal kehamilan yang telah siap disediakan. Semua maklumat anggaran kali terakhir period, tarikh positif dan sebagainya untuk awal penulisan diari hamil kali pertama ini. Jika baru sahaja cukup 4 minggu daripada tarikh akhir period, atau anggaran usia kehamilan baru 4 minggu, seeloknya tangguh dulu berjumpa dengan doktor untuk scan baby. Mesti tak sabar kan.

As tunggu sekurang-kurangnya anggaran kehamilan adalah 6 minggu ke atas, kerana waktu ini barulah janin jelas sedikit kelihatan, dan mungkin sudah ada degupan jantung. Jika Mama gunakan Clear Blue digital test, akan dipaparkan usia kandungan pada skrin, berdasarkan jumlah hormon hCG yang dikesan. Tambahkan dua minggu lagi daripada hasil test itu untuk tahu waktu sesuai sebelum berjumpa doktor. As prefer biarkan nature to take its course sebelum rushing untuk check up.

Emosi

Pertama sekali sebelum alahan mula datang, As cuba menyusun emosi supaya dapat berikan suasana terbaik yang mampu buat bayi dalam kandungan. Emosi ibu ketika hamil sangat mempengaruhi perkembangan anak dalam kandungan. Boleh juga kita catatkan segala perasaan ketika itu, di dalam jurnal buat kenangan hari mendatang.

As juga terus susunkan nota di dalam jurnal akan pilihan pelan kehamilan dan kelahiran; termasuk perawat pilihan hati, cadangan hospital tempat untuk bersalin dan lain-lain perkara. Kita boleh merancang apa sahaja; beri rasa gembira dalam diri juga beri signal kepada bayi yang kehadiran dia sangat dinantikan. Ini akan membantu perkembangan janin. Kita merancang, rezeki semua Allah tentukan. Jadi why not, teruskan nyatakan harapan dan doa kita, ya Mama.

Jumpa lagi dalam sesi Diari Hati Ibu seterusnya.

Love, As.