KelabMama

Demam Semasa Hamil, Ini Sebab Mama Hamil Mudah Dijangkiti Penyakit

Mama yang hamil ni kalau tak jaga kesihatan betul-betul memang mudah sangat berjangkit penyakit. Sebab tu kerap tak sihat dan demam. Kalau mama nak tahu mama hamil lagi senang dijangkiti penyakit berbanding wanita yang tak hamil tau. Sekiranya mama hamil tak sihat, cepat-cepatlah pergi klinik jangan biarkan je okay?

Demam semasa hamil

Ramai orang yang tidak tahu ibu yang hamil lebih senang dijangkiti penyakit yang berjangkit dan lebih senang mendapat jangkitan yang lebih serious daripada wanita yang tidak hamil.

Sebabnya ialah kekebalan badan atau immuniti yang melawan kemasukan benda asing ke dalam badan itu ditindas supaya ibu hamil tidak melawan janin yang membawa baka bapanya yang berlainan dari baka ibunya.

Mudah kena dapat keracunan makanan

Inilah perubahan badan wanita yang normal bila hamil. Inilah yang dinamakan ‘physiological change of pregnancy’. Semuanya berlaku untuk perlindungan janin di dalam kandungan.

Sebab inilah ibu hamil lebih cenderung mendapat keracunan makan jika dibandingkan dengan wanita yang tidak hamil. Saya selalu tekankan kebersihan tangan sebelum makan, kebersihan air yang diminum, kebersihan makanan, pastikan telur/daging/ikan/Ayam dimasak dengan betul sebelum dimakan. Ibu hamil patut elakkan memakan telur mentah atau telur separuh masak atau susu mentah.

Boleh menyebabkan keguguran

Jangkitan penyakit atau infection semasa hamil boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang jika dibiarkan menjadi jangkitan yang serious tanpa rawatan awal. Sebab inilah doktor-doktor dan misi-misi di klinik sangat rajin memantau dan memeriksa air kencing ibu yang hamil. Jangkitan kuman yang di kesan dalam air kencing lebih senang masuk ke pundi kencing dan buah pinggang ibu yang hamil jika dibiarkan tanpa rawatan yang berkesan.

Vaksin pencegah itu penting juga untuk perlindungan ibu dan bayi. Jika anda tidak pernah terima vaksin MMR, tidak telambat mendapatkan vaksin sebelum hamil.

Terus ke hospital

Jika ibu hamil demam, kami ambil berat. Ini tidak sama seperti orang yang tidak hamil yang demam. Sila ke HOSPITAL jika anda hamil dan demam. Jangan duduk di rumah dan tanya di media sosial. Pemeriksaan dan penilaian kesihatan ibu dan janin di dalam kandungan mesti dijalankan oleh doktor dari Jabatan sakit puan (Obgyn) jika ibu hamil demam.

Apakah akan saya buat jika dipanggil berjumpa ibu hamil yang demam di Hospital? Saya akan cari punca yang menyebabkan demam dengan pemeriksaan semua organ badan termasuk meningitis (keradangan selaput otak), kerongkong, paru-paru, hati, buah pinggang, ada ruam atau tidak, kantung air ketuban sudah pecah atau tidak, ujian darah dan air kencing. Saya akan pantau ibu dan janin untuk memastikan adakah ini jangkitan penyakit yang serious atau tidak. Saya akan memastikan ibu tiada dehydration, mengurangkan kesakitan ibu, pantau pernafasan ibu, pantau nadi ibu, pantau suhu badan ibu, pantau nadi janin di dalam kandungan.

Jika perlukan rawatan, ia diberikan dengan segera di dalam wad, sehingga ibu menunjukkan kesan pemulihan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Rawatan untuk mama hamil

Rawatan yang diberikan pula berbeza, bergantung kepada apakah organisma yang menyebabkan penyakit. Jika bakteria, barulah kita gunakan antibiotik dan jenis antibiotik yang digunakan bergantung kepada jenis bakteria. Ada jenis antibiotik yang dilarang semasa kehamilan, maka saya akan pilih antibiotik yang selamat untuk ibu yang hamil dan janin di dalam kandungan.

Antibiotik tidak berkesan untuk virus, parasit atau demam denggi. Untuk virus, boleh juga menggunakan antiviral bergantung kepada apakah jenis penyakit. Jika penyakit yang senang berjangkit, kami akan asingkan ibu ini daripada ibu hamil yang lain.

Selepas ibu hamil pulang ke rumah, saya akan berikan temujanji untuk ibu ini datang ke klinik pula dalam beberapa hari berikutnya untuk memastikan ibu sudah benar-benar pulih dan pembesaran anak di dalam kandungan dipantau.

Pemantauan rapi

Zaman dulu, ramai ibu yang bersalin di rumah meninggal dunia sebab jangkitan kuman penyakit selain dari masalah pendarahan. Zaman dulu tiada antibiotik (antibiotik hanya ada selepas tahun 1940 dan mula digunakan di Hospital dalam lingkungan 1950an), tetapi dulu juga tiada kemudahan Hospital berdekatan dengan rumah dan tak cukup doktor.

Zaman sekarang kami pantau rapi, jika ibu demam semasa atau selepas bersalin, kami tak benarkan ibu pulang ke rumah sehingga sembuh. Jururawat akan datang ke rumah ibu selepas bersalin untuk memantau kesihatan ibu dan bayi. Jika demam, jururawat akan bawa ibu masuk ke Hospital semula. Kalau nak bersalin di rumah pun, wajib ada kehadiran bidan bertauliah, bukan doula saja.

Hargailah kesihatan anda. Jangan tanya di media sosial.

#ApaApaPunJumpaDoktorNaaaaa

Sumber : Imelda Balchin

BACA JUGA KALAU SELSEMA & BATUK KETIKA HAMIL BOLEH AMBIL UBAT KE?

Pesanan Mama Siti

Mama hamil kalau tak sihat jangan biar je nanti melarat kesian kat baby. Seeloknya dapatkan rawatan doktor. Jangan risau sebab doktor tahu ubat apa yang sesuai untuk mama hamil. Demam jangan dibiarkan kerana jika ia melarat ia boleh mendatangkan keburukan kepada janin dalam kandungan.