Kalau dulu mungkin boleh anggap demam ni perkara biasa, tetapi sekarang ni boleh dikatakan punca bayi dapat penyakit disebabkan demam yang berpanjangan.
Terutama sekali dalam keadaan sekarang yang pelbagai jenis penyakit mudah merebak hanya melalui demam.
Ini membuatkan Mama Papa risau untuk bawak anak-anak di tempat orang ramai.
Tapi macam mana Mama Papa nak bezakan demam biasa dengan demam berpanjangan dekat bayi?
Dalam entri kali ini, Dr Adam Al-Anas, Pakar Kanak-Kanak dari Putra Specialist Hospital, Melaka dan juga seorang penceramah professional menjawab persoalan Mama dan Papa berkaitan dengan demam bayi.
1. Apakah suhu badan normal bagi seorang bayi dan pada tahap berapakah ia dianggap sebagai demam?
Secara purata suhu badan kanak-kanak dan bayi adalah kira-kira 36.4°C. Seseorang bayi atau kanak-kanak akan dianggap demam jika suhu badan mereka mencecah 38°C atau lebih tinggi. (Lingkungan suhu badan normal: 36.5)
2. Adakah suhu badan yang tinggi sahaja simptom demam? Atau terdapat simptom lain yang perlu diberi perhatian?
- Selain suhu badan yang tinggi, terdapat beberapa gejala lain yang mungkin muncul ketika seseorang bayi atau kanak-kanak demam.
- Seseorang bayi yang demam mungkin menunjukkan perubahan tingkah laku misalnya lebih merengek, kekurangan selera ataupun kitaran aktif dan tidur yang terganggu.
- Seseorang kanak-kanak yang demam mungkin mengadu sakit kepala, pening, loya, kekurangan selera atau kelihatan lemah.
- Gejala lain seperti batuk, nafas laju, sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah mungkin memberi petanda kepada penyakit.
- Sekiranya terdapat sebarang tanda-tanda yang membimbangkan, Mama Papa atau penjaga disyorkan membawa anak-anak untuk penilaian oleh staf kesihatan.
3. Bolehkah Doktor syorkan beberapa kaedah untuk mengukur suhu bayi dan manakah yang paling tepat untuk bayi?
- Kaedah paling tepat untuk mengukur suhu badan seseorang bayi kecil (kurang daripada 3 bulan) adalah dengan mengukur suhu rektal iaitu menyukat suhu di dalam dubur dengan menggunakan termometer.
- Bayi yang lebih besar (3 – 6 bulan) boleh disukat suhu badan melalui dubur ataupun di ketiak.
- Suhu boleh disukat di telinga, ketiak ataupun dubur bagi kanak-kanak kecil (6 bulan to 4 tahun)
- Kanak-kanak (4 tahun ke atas) yang mampu menekan lidah ke bawah boleh menggunakan kaedah termometer di mulut untuk tujuan mengukur suhu. Suhu juga boleh diukur di telinga, ketiak dan dubur.
- Kaedah untuk mendapatkan bacaan suhu yang tepat bergantung kepada panduan penggunaan alat termometer.
- Bahagian badan yang dipilih untuk penyukatan suhu bergantung kepada tahap keselesaan.
4. Sekiranya Mama Papa mendapati anak mereka demam, apakah perkara pertama yang mereka perlu lakukan?
Apabila anak demam, langkah pertama yang perlu diambil adalah mengukur suhu badan anak dengan termometer. Keselesaan dan tahap keaktifan anak perlu dipantau.
Pastikan anak masih boleh makan dan minum dalam kuantiti yang memuaskan serta perhatikan tabiat kencing dan berak anak.
Ubat demam ringkas seperti paracetamol boleh diberikan dalam dos dan kekerapan yang disyorkan.
Ubat NSAIDs seperti diclofenac tidak disyorkan memandangkan risiko acute necrotising of childhood (ANEC) (sejenis radang otak yang teruk) yang membahayakan nyawa.
Sekiranya keadaan anak tidak bertambah baik atau merosot, sila bawa anak untuk penilaian oleh staf kesihatan.
5. Adakah demam biasa ini boleh menyebabkan demam panas yang boleh menyebabkan sawan dengan tiba-tiba kepada anak-anak?
- Demam adalah satu gejala yang mungkin disebabkan pelbagai jenis penyakit.
- Kebiasaannya, demam biasa kerap kali berikutan jangkitan virus dan boleh sembuh dengan rawatan simptomatik.
- Terdapat satu keadaan iaitu demam sawan (febrile seizure) di mana kanak-kanak kecil yang demam mungkin mengalami sawan. Ini kebiasaannya berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur 6 bulan sehingga 6 tahun. Demam sawan biasanya terjadi pada hari pertama mula demam dan dikaitkan dengan peningkatan suhu yang mendadak.
- Walaupun demam sawan tidak dikaitkan dengan masalah jangka masa panjang, Mama Papa adalah disyorkan untuk membawa anak-anak untuk pemeriksaan oleh doktor sekiranya ini terjadi.
6. Apakah perbezaan antara demam biasa dan demam yang disebabkan oleh jangkitan serius seperti infeksi bakteria atau virus? Bagaimanakah cara untuk bezakan kedua-dua demam ini?
Demam adalah salah satu respons badan terhadap jangkitan atau penyakit. Ini mungkin disebabkan pelbagai sebab termasuk jangkitan kuman seperti virus atau bakteria.
Terdapat juga penyakit tidak berjangkit yang lain yang mungkin membawa demam.
Cara untuk membezakannya pula dari segi jangka masa demam. Sekiranya demam tinggi berlarutan lebih daripada 3 hari, jangkitan virus seperti demam denggi perlu dipertimbangkan.
Demam yang berlanjutan lebih daripada 1-2 minggu memerlukan penilaian doktor.
Antara simptom tambahannya seperti hidung tersumbat atau berair, batuk ringan, sakit badan dan sakit kepala yang ringan mungkin disebabkan oleh jangkitan virus.
Pernafasan yang laju, tahap kesedaran atau respons anak yang merosot, serta anak-anak kelihatan pucat adalah antara gejala serius yang perlu penilaian oleh doktor.
Tahap keselesaan dan kelemahan yang ringan boleh diatasi dengan rehat dan penjagaan diri Kelemahan dan ketidakselesaan mungkin lebih ketara bagi kes jangkitan terus dan rawatan perubatan segera mungkin diperlukan.
Tidak ada petanda atau gejala yang boleh dengan yakinnya membezakan tahap keseriusan demam seseorang kanak-kanak. Perlu ditegaskan agar Mama Papa dan penjaga dapat mengambil perhatian terhadap simptom-simptom yang datang bersama demam.
Mama Papa disyorkan untuk mencari nasihat perubatan jika terdapat kebimbangan atau gejala serius. Doktor dapat melakukan penilaian yang lebih mendalam untuk menentukan penyebab demam dan merancang rawatan yang sesuai.
7. Bagaimanakah pula cara untuk Mama Papa bezakan antara demam biasa dengan demam yang mungkin disebabkan oleh penyakit lain seperti alergi?
Untuk membezakan antara demam biasa dan demam yang mungkin disebabkan oleh penyakit lain seperti alahan, Mama Papa perlu memberi perhatian kepada simptom yang mengiringi demam itu.
Demam biasa disertai dengan gejala seperti sakit kepala, hidung tersumbat, dan keletihan.
Sebaliknya, demam yang disebabkan oleh alahan mungkin disertai dengan gejala seperti bersin, mata atau hidung gatal, dan lendir.
Pengukuran suhu badan juga penting; jika suhu badan meningkat melebihi julat normal, kemungkinan besar ia adalah demam yang disebabkan oleh jangkitan.
Jika terdapat ketidakpastian, dapatkan nasihat doktor untuk penilaian yang lebih tepat.
Doktor boleh membantu menentukan punca demam dan menasihati pengurusan atau rawatan yang sesuai, terutamanya jika demam atau gejala alahan berterusan atau bertambah teruk.
8. Apakah gejala tambahan yang mungkin berkaitan dengan demam pada bayi, seperti kehilangan selera makan atau keadaan tidak selesa?
- Demam pada bayi mungkin menunjukkan beberapa gejala tambahan, termasuk kehilangan selera makan, ketidakselesaan, lebih banyak tidur, lebih kerap menangis dan perubahan dalam corak kencing dan pembuangan air besar.
- Gejala lain termasuk suhu badan yang sejuk atau menggigil, serta kulit kemerahan atau berkerak.
9. Apakah perkara yang perlukan dilakukan oleh Mama Papa ketika menjaga bayi yang demam di rumah?
Beberapa langkah disyorkan untuk Mama Papa ketika menjaga bayi yang demam di rumah:
- Ukur suhu bayi dengan kerap.
- Memastikan bayi menyusu atau minum dengan mencukupi. Jumlah susuan/minuman mungkin perlu dikurangkan tapi diberi dengan lebih kerap.
- Memantau tahap hidrasi bayi dengan memastikan bayi kencing dan membuang air besar yang mencukupi.
- Memberi ubat yang disyorkan oleh doktor.
- Memastikan bayi berada dalam keadaan persekitaran yang selesa dengan pakaian yang sesuai.
- Meneruskan amalan kebersihan yang baik dan hubungi doktor dengan segera jika demam berterusan atau gejala bertambah teruk, untuk mendapatkan nasihat dan tindakan lanjut.
10. Bagaimanakah cara untuk Mama Papa memastikan bayi mereka sentiasa terhidrasi ketika mereka mengalami demam dan apakah tanda-tanda yang perlu Mama pantau untuk mengesan dehidrasi?
Untuk memastikan bayi kekal terhidrat semasa demam, Mama Papa boleh memberi cecair seperti susu, air, atau larutan elektrolit secara berkala. Cuba berikan cecair dalam jumlah yang kecil tetapi kerap.
Gunakan gelas atau botol yang menarik perhatian bayi jika mereka enggan minum. Pantau lampin basah dan perhatikan tanda-tanda dehidrasi seperti bibir kering, air kencing pekat, dan mata cekung.
Teruskan memberi makanan lembut dengan kerap jika bayi sudah makan makanan pejal. Ukur berat bayi dengan kerap dan pastikan kelembapan udara di dalam bilik tidur bayi sesuai.
Jika tanda-tanda dehidrasi muncul, dapatkan bantuan perubatan dengan segera.
Tanda-tanda dehidrasi pada bayi termasuk mulut kering, air kencing pekat, mata cekung, bilangan lampin basah yang berkurangan, dan kurang minat untuk makan atau minum.
Jika Mama Papa mengesan tanda-tanda ini, segera dapatkan bantuan perubatan untuk penilaian dan rawatan lanjut.
Adalah penting untuk tidak teragak-agak untuk mendapatkan nasihat perubatan jika terdapat kebimbangan mengenai status penghidratan bayi.
11. Bolehkah Doktor berikan beberapa cadangan tentang makanan supaya anak-anak ada selera untuk makan?
- Salah satu langkah untuk mengalakkan selera makan anak-anak termasuklah menyediakan hidangan yang berwarna-warni untuk menarik minat anak-anak. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan bahan-bahan penuh kepelbagaian warna, tekstur, rasa dan bentuk. Terdapat banyak resipi dan teknik kuliner yang boleh dirujuk di laman web internet.
- Mama Papa didorong untuk menggunakan waktu makanan sebagai pengalaman aktiviti sekeluarga serta mengelakkan pengunaan peranti mudah-alih seperti telefon pintar dan tablet di meja makan.
- Selain itu, proses pendedahan makanan baru kepada anak-anak kecil perlu dilaksanakan dengan perlahan-lahan. Peluang memilih makanan yang baru boleh diberikan kepada anak-anak. Ini boleh meningkatkan minat mereka dalam menerokai makanan baru.
- Para dewasa dalam keluarga perlu menunjukkan tabiat makan yang sihat dan positif. Ini boleh menjadi teladan kepada anak-anak dalam memupuk selera dan tabiat makan yang baik.
12. Adakah ada situasi khusus yang mungkin membuatkan bayi lebih rentan kepada demam dan apakah langkah-langkah berjaga-jaga yang boleh Mama Papa ambil dalam kes-kes sedemikian?
- Sistem ketahanan bayi masih kurang matang berbanding dengan kanak-kanak yang lebih besar atau dewasa. Ini menyebabkan bayi lebih senang terdedah kepada jangkitan.
- Saban hari, banyak bayi kecil berada di pusat asuhan harian ketika Mama Papa bekerja. Perhimpunan ramai anak-anak di pusat-pusat jagaan ini mungkin meninggikan risiko kepada jangkitan.
- Penyusuan susu Mama membawa manfaat menambah daya imuniti di kalangan bayi. Kandungan sel ketahanan badan dalam susu ibu dapat meningkatkan perlindungan daripada jangkitan.
- Perubahan musim adalah dikaitkan dengan kadar jangkitan yang meningkat; khususnya pada musim hujan.
13. Beberapa langkah berjaga-jaga yang boleh diambil oleh Mama Papa untuk melindungi bayi daripada demam termasuk:
- Amalan Kebersihan: Sentiasa basuh tangan sebelum dan selepas menyentuh bayi dan pastikan setiap orang yang berinteraksi dengan bayi turut menjaga kebersihan tangan.
- Elakkan Bersentuhan dengan Orang Sakit: Jauhkan bayi daripada orang sakit, terutamanya jika orang itu mengalami demam atau simptom penyakit berjangkit.
- Imunisasi: Pastikan bayi mendapat imunisasi yang diperlukan mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor. Vaksin tambahan boleh diberikan berdasarkan kemampuan keluarga.
- Penjagaan di Rumah: Sekiranya boleh, pertimbangkan untuk mengehadkan pendedahan bayi kepada persekitaran di luar rumah, terutamanya semasa musim jangkitan tinggi.
- Menjaga Botol Bayi dan Peralatan Penyusuan Bersih: Pastikan peralatan penyusuan dan botol susu bayi bersih dan steril untuk mengelakkan pencemaran.
- Penyusuan Susu Mama: Jika Mama menyusu, penyusuan susu Mama boleh memberikan imunisasi tambahan melalui antibodi dan nutrien dalam susu ibu.
- Elakkan Asap Rokok: Elakkan merokok di dalam rumah atau di sekeliling bayi, kerana asap rokok boleh meningkatkan risiko jangkitan pernafasan.
Penting untuk berunding dengan doktor untuk mendapatkan nasihat khusus untuk setiap situasi dan keperluan bayi.
14. Bolehkah doktor berikan panduan mengenai bilakah masa yang sesuai untuk Mama Papa dapat meneruskan aktiviti biasa, seperti pemakanan dan bermain selepas bayi mengalami demam?
Selepas bayi demam, Mama Papa boleh meneruskan aktiviti biasa seperti memberi makan dan bermain dengan mengambil kira beberapa garis panduan am.
Dalam pemakanan, adalah disarankan agar penyusuan bayi dapat diteruskan seperti biasa dan berikan snek jika bayi sudah makan makanan pejal.
Dalam aktiviti bermain, beri masa untuk berehat, elakkan terlalu banyak aktiviti fizikal, dan pantau tanda-tanda pemulihan seperti selera makan meningkat.
Sentiasa ikut nasihat doktor, perhatikan tanda-tanda positif dalam pemulihan bayi, dan elakkan sentuhan dengan orang yang sakit sehingga bayi pulih sepenuhnya.
Jika Mama Papa ragu-ragu, segera dapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan nasihat yang lebih khusus.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ikuti temu bual eksklusif dengan pakar-pakar kesihatan yang lain di SINI.