Terutamanya jika ahli keluarga Mama tidak ramai, rasa macam tak perlu je untuk beli atau sewa rumah yang besar-besar. Ada ruang tamu, ruang makan, dapur dan beberapa bilik tidur dan bilik air pun sudah cukup.
Senang nak mengemas dan menghias kan? Tapi banyak rumah yang ruangnya kecil dan sederhana macam ni, Mama Siti perhatikan, menjadi sempit dan kelihatan kecil ruang tamunya disebabkan dekorasi yang tidak sesuai.
8 Tips Untuk Dekorasi Ruang Tamu Yang Kecil
Dah tu, macam mana nak deko ruang tamu yang kecil ni, supaya ia kelihatan luas dan tidak sempit?
Jom, kita tengok beberapa tips ini. Moga-moga membantu Mama untuk mendapatkan ruang tamu idaman yang selesa:
1. Warna Cat Yang Lembut
Pernah tak Mama ke restoran atau rumah sesiapa yang luas ruangnya, tetapi terasa sempit dan gelap kerana pemilihan warna catnya yang gelap?
Cuba bezakan, ruang yang sama tetapi warna cat yang berlainan. Satu warna cerah dan satu lagi gelap. Tentu yang menggunakan warna gelap membuatkan ruang itu kelihatan lebih sempit.
Ini kerana warna cat memang memainkan peranan tau. Sebaiknya, untuk ruang yang kecil, gunakanlah warna cat yang lembut dan cerah seperti warna pastel.
Jangan lupa juga, jangan pilih banyak warna cat ya? Kalau Mama mahukan kelainan sedikit, bolehlah jadikan satu ruang dinding di ruang tamu Mama menjadi feature wall seperti dalam gambar di bawah ini.
Itu sudah cukup untuk menimbulkan kontra warna pada ruang dan memberi kelainan.
Elakkan guna banyak warna cat tau!
2. Guna Pembahagi Ruang/Wall Divider Yang Sesuai
Banyak reka bentuk rumah yang ruang di ruang tamu dan ruang makannya bersambung kan? Ada yang memilih untuk hiaskan begitu sahaja kedua-dua ruang tanpa pembahagi ruang dan ada juga yang memilih untuk menggunakan wall divider untuk membezakan ruang antara keduanya.
Jika Mama merancang untuk guna pembahagi ruang, Mama Siti sarankan untuk cari wall divider yang akan membantu Mama menjimatkan ruang. Macam mana tu?
Contohnya, Mama ingin menghias ruang tamu Mama dengan rak buku dan menyusun buku-buku kegemaran untuk dibaca nanti. Apa kata, Mama pilih rak yang mempunyai ruang di kedua-dua belah sisi untuk diletakkan sebagai pembahagi ruang antara ruang tamu dan ruang makan?
Di ruang sisi wall divider sebelah ruang tamu, bolehlah susunkan buku-buku dan hiasan-hiasan lain. Manakala di ruang sisi sebelah ruang makan pula, bolehlah susun pinggan mangkuk dan cawan untuk kegunaan tetamu.
Tetapi pastikan Mama tidak memuatkan begitu banyak barang dalam ruang wall divider ini ya. Nanti kelihatan sesak dan serabut pula.
Dah ada wall divider macam ni, tak perlu dah beli rak atau kabinet untuk letakkan buku-buku Mama dan ruang pun dapat dijimatkan, kan?
3. Guna Konsep Pantulan
Impak pantulan pun dapat membantu untuk menampakkan ruang tamu Mama lebih luas dari yang sebenar.
Antara yang Mama boleh gunakan untuk mendapat impak pantulan ini adalah cermin dan finishing perabot yang berkilat.
Perasan tak, banyak rumah yang gantungkan cermin di ruang tamu dan ruang makan mereka? Ia bukan sahaja bertujuan untuk hiasan dan kegunaan tau.
Sebenarnya, dengan menggantungkan cermin, cahaya akan terpantul dengan lebih banyak dalam ruang itu dan impak pantulan inilah yang akan menampakkan ruang tamu Mama lebih besar.
Perabot yang permukaannya licin dan bukannya matte juga akan memberikan impak yang sama. Boleh cuba lah nanti ya?
4. Saiz dan Kegunaan Perabot Yang Sesuai
Selain itu, pemilihan saiz dan kegunaan perabot pun penting tau untuk menjimatkan ruang. Berdasarkan saiz ruang tamu Mama, pilihlah saiz perabot seperti sofa yang sesuai.
Jangan pilih yang terlalu besar atau terlalu kecil. Saiz perabot yang sesuai akan menampakkan keseragaman dan tidak menyempitkan ruang di ruang tamu rumah Mama.
Tidak dilupakan juga, bagi Mama Siti, kita mestilah bijak memilih perabot yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi. Ada banyak je reka bentuk sofa yang Mama boleh gunakan untuk menyimpan barang dalam ruang tersembunyinya. Bolehlah jimatkan ruang kan?
5. Tema Yang Sesuai
Bila dah ada rumah sendiri ni, tidak kiralah dengan menyewa ataupun beli, mesti rasa teruja kan? Nak menghias itu ini. Letak perabot tu, hiasan ni, sampaikan boleh pening jadinya.
Antara yang terpenting sebenarnya dalam susun atur ruang ini adalah, pemilihan tema yang sesuai. Memang banyak tema hiasan yang cantik tetapi untuk satu ruang, hanya sesuai untuk satu tema sahaja sebenarnya. Jika Mama pilih lebih dari satu, akan nampak cacamarba nanti.
Contohya, Mama pilih tema hiasan Scandinavian, itu sudah mencukupi. Fokuslah kepada keseluruhan design yang berdasarkan tema pilihan Mama. Walaupun ruangnya kecil, akan nampak mewah dan cantik apabila seragam nanti!
6. Hiasan Yang Ringkas
Seperti kata-kata arkitek Ludwig Mies van der Rohe, Less is More. Tak perlu pun untuk Mama padatkan ruang dengan meletakkan semua hiasan yang Mama rasakan cantik.
Mama Siti faham je bila Mama excited nak hias sebanyak ruang yang mungkin dengan hiasan yang Mama berkenan. Tetapi, lebih-lebih lagi dengan ruang yang terhad, Mama perlu bersikap lebih praktikal ya?
Pilih yang cantik dan perlu, kemudian susun aturkan dengan sesuai mengikut ruang di ruang tamu Mama ya?
7. Guna Konsep Pencahayaan
Berdasarkan perkongsian daripada Decoo, pencahayaan memang memainkan peranan penting dalam deko ruang tamu yang kecil di rumah.
Seperti yang telah kita bincangkan tentang konsep pantulan tadi, ia sebenarnya memerlukan cahaya untuk terjadinya impak itu. Cahaya tersebut, boleh didapati daripada cahaya semula jadi seperti cahaya matahari dan cahaya lampu.
Bergantung kepada ruang di ruang tamu Mama, jika tingkapnya luas dan Mama mendapat cahaya yang mencukupi di siang hari, itu boleh membantu untuk menaikkan seri di ruang tamu rumah anda. Peredaran udara pun akan lebih baik.
Tetapi jika ruang tamu Mama mempunyai tingkap yang kecil dan tidak menerima cahaya semula jadi dengan cukup, Mama perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan bantuan dari cahaya lampu hiasan.
Bergantung kepada bentuk ruang tamu Mama, pemasangan lampu pilihan memang penting. Mama mesti bijak mengatur lokasi pemasangan lampu supaya cahayanya mencukupi untuk menaikkan seri dan mencerahkan ruang tamu Mama.
Percayalah, pasti ia akan nampak lebih luas apabila menerima cukup pencahayaan.
8. Manfaatkan Ruang Yang Tertutup
Banyak je kan reka bentuk dinding dan rak televisyen yang Mama boleh muatkan barang dalam ruang tertutupnya?
Kadang-kadang, dengan hanya menggunakan ruang tertutup ini, sudah cukup untuk Mama menyimpan barang-barang yang diperlukan di ruang tamu. Tak perlu dah rak atau kabinet yang lain. Ia pun tersorok dari pandangan, tak adalah nampak serabut ke apa kan?
Tips Untuk Ruang Tamu Yang Kecil Tetapi Mewah Dan Cantik
Tak susah pun kan untuk menghias ruang tamu yang kecil supaya ia kelihatan luas dan mewah? Dengan tips-tips deko ruang tamu kecil di atas, Mama boleh cuba praktikkan untuk dapatkan ruang tamu idaman Mama!