Deretan api kecil yang lazimnya disusun dalam kediaman atau di sekitar halaman rumah sempena perayaan Deepavali pastinya tampak indah dan berseri.
Namun tahukah Mama, sambutan pesta cahaya itu tidak akan lengkap sekiranya api kecil ini tidak dinyalakan pada hari penting itu.
Ya, deretan api yang dipasang itu bukan semata-mata untuk perhiasan, namun ia membawa kisah dan maksud tersendiri dimana acara wajib akan dilakukan sempena Deepavali
Bagi kaum India, mereka percaya deretan api berkenaan merupakan simbolik kepada kejayaan dalam sebuah kebaikan yang mengatasi kejahatan berdasarkan lagenda diturunkan kepada mereka mengenai Raja Narakasura dan Dewa Krishnan.
Malah, seiring dengan maksud Deepavali iaitu ‘sebarisan pelita’, ia turut merupakan simbolik kepercayaan bahawa kecerahan akan mengatasi kegelapan, kebaikan akan mengatasi kejahatan, keadilan akan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan akan mengatasi kejahilan.
Menurut Wikipedia, perkataan Deepavali berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu दीप = dīpa membawa maksud cahaya atau lampu manakala आवलि = āvali bermaksud deretan, garisan atau jalan. Maka दीपावली = dīpāwali atau deretan cahaya dapat diberi maksud menggambarkan perjalanan menuju ke arah cahaya.
Terdapat dua kisah dikaitkan dengan pesta cahaya ini iaitu:
Kembalinya Maharaja Rama ke Ayodhya
Kisah ini dikatakan berlaku pada 2 juta tahun dahulu di mana penduduk meraikan kepulangan pemerintah negeri Ayodhya, Maharaja Rama bersama ratu, Maharani Sita dan adindanya yang menjadi ketua medan tempur iaitu Lakshmana.
Mereka sebelum itu hidup dalam buangan selama 14 tahun selepas berlaku satu perang hebat menyaksikan Maharaja Rama membunuh raja raksasa Ravana.
Dikatakan rakyat Ayodhya telah menyalakan pelita sepanjang jalan untuk menerangi laluan keluarga ini dalam kegelapan.
Oleh sebab Maharaja Rama bergerak dari India Selatan (Sri Lanka) ke kerajaannya di India Utara, maka baginda merentasi bahagian Selatan terlebih dahulu.
Inilah sebabnya perayaan Deepavali disambut sehari lebih awal di India Selatan sementara di India Utara, perayaan ini disambut pada hari terakhir kalendar Vikram. Hari berikutnya menandakan tahun baru India Utara yang digelar Annakut.
Keinsafan Narakasura
Dua hari sebelum kedatangan Deepavali, masyarakat India akan menyambut hari Naraka Chaturdasi iaitu hari memperingati keinsafan Narakasura (Naragasuri dalam bahasa Tamil).
Narakasakura merupakan seekor raksasa yang bijak dan berkuasa, namun menjadi takbur durjana dan mula mencetuskan huru-hara.
Akhirnya dia menemui ajal di tangan Ratu Satyabhama, isteri Dewa Krishna. Peristiwa ini berlaku di Dwapara Yuga sekitar beberapa ratus ribu tahun dahulu semasa jelmaan Dewa Krishna.
Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Narakasura sedar akan kesalahannya lalu memohon maaf dan meminta dicucuri rahmat oleh ibunya, Satyabhama (dipercayai merupakan jelmaan Bhudevi.
Narakasura turut meminta rakyat jelata supaya mengambil iktibar dari cerita hidupnya dan menyambut peristiwa keinsafannya dengan perayaan yang berwarna-warni.
Hiasan Kolam
Selain daripada kerlipan cahaya, perayaan Deepavali juga tidak asing dengan hiasan kolam yang dikreativitikan daripada taburan beras. Ia sebenarnya adalah sebagai simbolik bersedekah antara manusia dengan hidupan lain.
Menurut laman Wikipedia, kolam asalnya dibuat daripada tepung beras yang tidak diwarnakan sebagai makanan untuk semut dan serangga lain kerana agama Hindu percaya bahawa Tuhan atau Atman wujud di dalam setiap ciptaan Tuhan di dunia ini.
Maka, kaedah ini merupakan cara paling mudah untuk memberi sedekah atau pun berkongsi sumber alam itu dengan benda hidup yang lain.
Lazimnya, pada pintu masuk rumah penganut Hindu akan dihiasi kolam dan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah.
Kolam atau juga dikenali sebagai Rangoli ini bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi memiliki maksud sosial, kerohanian, dan simbolik padanya.
Ia merupakan lambang penyembahan Dewa Lakshmi yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah yang mempunyai hiasan kolam di pintu masuk kediaman mereka.
Melakar kolam juga merupakan acara bagi wanita Tamil berdoa pada Dewa Lakshmi untuk kecantikan dan tuah yang merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu.
Manisan
Dalam masyarkat India, manisan sering menjadi starter menu sebelum memulakan sesuatu majlis, acara termasuklah hari perayaaan.
Mereka percaya ia mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Itulah juga sebabnya manisan yang lebih manis dan sedap dianggap lebih baik dan dialu-alukan. Ia turut dihidangkan dengan juadah tradisional kaum India yang terkenal seperti halwa dan laddu.
Malah sembilan jenis hidangan sayur-sayuran juga disediakan pada pagi Deepavali. Antaranya ialah ‘Aloogobi’ iaiu campuran ubi kentang dan kobis bunga ‘paneer’ campuran masala bersama yourgat dan kari dhal.
Tidak ketinggalan kuih-muih tradisional lain seperti muruku ,adirasam dan payasam. Muruku, Neiurundai dan Atherasam adalah merupakan kuih-muih tradisional orang India.
Bagi tahun ini, perayaan Deepavali akan disambut pada 12 November nanti. Justeru, Mama Siti ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Deepavali kepada Mama yang menyambut pesta cahaya ini!
Untuk mengetahui pelbagai info menarik dan acara terkini, boleh klik di SINI!