KelabMama

Dedahkan Anak Kepada Rutin Harian Di Usia Muda

Sesetengah mama papa di luar sana mungkin tak biasa dengan cara menetapkan rutin harian untuk anak-anak. Ada yang lebih selesa dengan konsep “let’s go with the flow”. Ada juga yang beranggapan bila dah besar nanti anak akan tahu lakukan rutin harian sendiri.

Ini mungkin berpunca daripada pengalaman mama papa sendiri yang tak didedahkan dengan rutin harian sedari kecil. Akan tetapi, apabila mama papa tak menerapkan disiplin dari segi mengikuti rutin kepada anak-anak, anak-anak mungkin akan lebih mudah untuk memberontak, tak menepati masa ataupun hubungan antara ahli keluarga boleh menjadi renggang. 

Banyak faedah yang anak-anak boleh perolehi dengan mengikuti rutin harian:

#1 Anak-anak lebih berdikari bila ada rutin harian sendiri

Foto kredit: Adobe Stock

Mereka tak lagi bergantung kepada mama papa bila nak lakukan sesuatu. Anak-anak yang mengikuti rutin harian yang telah ditetapkan akan menjadi lebih berdikari. Mereka sudah terbiasa melakukan sesuatu perkara tanpa disuruh dan tanpa pemantauan orang lain. Badan mereka juga akan menjadi terbiasa dengan rutin tersebut dan mereka tak akan liat apabila ingin melakukan sesuatu. Sebagai contoh, kanak-kanak memerlukan tidur yang secukupnya dan mereka dah pun dibiasakan tidur pada pukul 10 malam setiap hari. Jadi, masalah susah untuk tidur cepat tak akan berlaku.

#2 Tak ada lagi power struggle di dalam keluarga 

Power struggle di dalam keluarga biasanya berlaku apabila anak-anak tak berpuas hati dengan keputusan mama papa. Contohnya pada hari sekolah, mereka sepatutnya tak boleh tidur terlalu lewat tapi mereka tak mahu mendengar kata-kata mama papa kerana nak menonton televisyen. Bila tak ada peraturan tentang hal ini, anak-anak akan mula memberontak apabila disuruh untuk berhenti. Jadi, dengan menetapkan rutin harian, power struggle dapat dielakkan. 

#3 Mengurangkan stress anak

Foto kredit: Adobe Stock

Siapa cakap stress hanya berlaku kepada orang dewasa je? Kanak-kanak juga boleh mengalami stress apabila terlalu banyak benda diluar jangkaan yang berlaku. Stress dalam kalangan kanak-kanak dapat dikurangkan kerana mereka dah boleh menjangka apa yang bakal berlaku pada masa yang akan datang. Namun, mama papa perlulah meluangkan sedikit masa untuk perkara yang diluar jangkaan. Dengan melakukan cara ini, mereka akan bertindak lebih tenang jika berhadapan dengan masalah yang tak diduga. 

#4 Melakukan rutin harian juga sihatkan tubuh badan

Foto kredit: Adobe Stock

Mama papa mesti tak percaya kalau Mama Siti kata dengan melakukan rutin harian boleh menyihatkan tubuh kan? Yelah bila kita jadikan basuh tangan dengan sabun dan membersihkan diri secara berkala sebahagian daripada rutin anak-anak, tubuh badan mereka akan lebih bersih dan terjaga. Bila mereka dalam keadaan yang bersih, kemungkinan untuk terkena demam, selsema atau batuk tu tak lah tinggi. Jadi lepas ni tak adalah mama papa selalu kena bawa anak jumpa doktor.

#5 Mengeratkan hubungan kekeluargaan

Antara aspek penting yang perlu ada dalam rutin mereka adalah masa bersama keluarga. Hidup mereka bukan hanya perlu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran dan pertumbuhan minda semata-mata malah masa bersama keluarga juga sangat penting. Anak-anak akan rasa seperti mereka mempunyai tanggungjawab setiap kali mereka melakukan rutin harian.

#6 Kesihatan mental ahli keluarga juga akan bertambah baik

Mempunyai rutin harian dapat memberikan kesan yang baik kepada seluruh ahli keluarga. Semua ahli keluarga tak akan menjadi cepat marah kerana kehidupan yang teratur. Mengamalkan rutin harian dapat menggalakkan sikap suka berbincang sesama ahli keluarga. Melalui cara ini, pergaduhan dan perselisihan faham dapat dielakkan. 

Kesimpulannya, membiasakan anak-anak dengan rutin harian ni bukan je buatkan mereka lebih berdisiplin tapi juga mewujudkan rasa positif dan persekitaran yang sihat sesama keluarga. Tak adalah insiden arah mengarah sesama adik beradik berlaku.

Semoga membantu!

BACA JUGA BAGUSNYA DEDAHKAN ANAK KEPADA AIR SEJAK KECIL

Pesanan Mama Siti

Tak salah kalau kita dedahkannya kepada anak di usia yang muda. Lagi cepat mereka tahu untuk uruskan diri atau buat sesuatu lagi bagus. Sekurang-kurangnya mereka tak adalah terlalu bergantung pada mama papa atau orang lain. Ia juga bagus untuk tanamkan sifat berdikari dan bertanggungjawab dalam diri anak-anak. Apa pun jangan terlalu memaksa. Slowly but surely!